Siri kisah aneh mengenai bulan Ramadan 4
Kisah aneh mengenai bulan Ramadan kali ini tentang ganjaran berlipat kali ganda. Seperti biasa apabila masuk bulan Ramadan banyaklah iklan meminta Muslim membuat banyak amal kebajikan. Kononnya sesiapa yang melakukan amal kebajikan dalam bulan puasa ini seperti bersembahyang terawih, bertadarus Quran dan bersedekah, maka pahala didapati akan berlipat kali ganda berbanding pada bulan-bulan biasa. Selain itu mereka digalakkan mencari malam Lailatul Qadar yang kononnya lebih baik daripada 1,000 bulan. Jadinya bulan Ramadan ini seperti lubuk untuk mengumpul banyak pahala, analoginya seperti mengumpul banyak poin untuk ditebus di akhirat nanti!
Dalam satu hadis riwayat, Muhammad berkata mereka yang berpuasa pada bulan Ramadan kemudian meneruskan berpuasa sunat enam hari bersamaan puasa selama setahun. Dalam logik matematik mata ganjaran mereka, seperti yang dikatakan ulama besar Islam Imam Nawawi: “Ganjarannya seolah-olah puasa sepanjang tahun, kerana satu hasanah (pahala) mendapat 10 gandaan. Jadi puasa Ramadan sebulan seumpama puasa 10 bulan. Manakala puasa 6 hari seumpama puasa dua bulan.”
Sistem permainan video pahala dan hasanat
Konsep pahala dalam Islam ialah seperti pemberian mata atau poin kerana melakukan amalan baik. Dalam contoh di atas, orang yang berpuasa pada bulan Ramadan mendapat 10 pahala dan apabila dikalikan dengan 22 hari setakat ini, mata pahala berpuasa berjumlah 220 pahala. Dan jika digandakan dengan amalan yang dilakukan pada malam Lailatul Qadar, jumlah pahala itu digandakan pula dengan 1,000 bulan. Sudah jadi macam satu permainan video game apabila terdapat stage bonus untuk pemain mengumpul banyak poin atau mata. Dan dalam bulan Ramadan ini ada stage bonus dengan malam Lailatul Qadar yang memberi mata paling banyak.
Berdasarkan hadis riwayat Abu Hurairah ini, setiap pembunuhan cicak itu diberi pahala:
"Barang siapa yang membunuh cicak dengan satu pukulan diganjarkan kepadanya seratus kebaikan, dan sekiranya pada pukulan kedua, ganjarannya kurang daripada yang pertama dan sekiranya pada pukulan ketiga, ganjarannya kurang daripada yang kedua."
Bayangkan bonus pahala yang diberi kerana membunuh cicak pada malam Lailatul Qadar yang malamnya sama seperti 1,000 bulan!
Konsep pahala dan hasanat ini tidak ada dalam agama Yahudi dan Kristian yang banyak cerita-cerita dan watak-watak dalam agama-agama ini disalin oleh Islam. Dalam Kristian melakukan amalan yang baik bukan syarat untuk memasuki syurga. Namun itu tidak bermakna perbuatan melakukan kebaikan tidak mendatangkan apa-apa faedah, sebaliknya mereka yang melakukan kebaikan akan mendapat blessing atau berkat dalam kehidupan dan merasa kenikmatan hidup. Seperti yang saya tulis sebelum ini berbuat baik menjadikan kita gembira kerana badan kita mengeluarkan hormon yang menjadikan kita gembira. Dengan perasaan gembira, hidup kita menjadi lebih baik dan kita akan berusaha untuk melakukan lebih banyak kebaikan.
Menghadapi big bos Allah di stage akhir
Tuhan-tuhan Mesir Kuno menimbang amalan manusia yang diwakili oleh hati berbanding bulu pelepah selepas mati untuk meneruskan kehidupan selepas mati.
Mengikut naratif standard Islam, pahala dan hasanat ini akan ditimbang di akhirat nanti untuk mengukur sama ada seseorang itu masuk syurga atau neraka. Sebenarnya perkara ini pun ditiru daripada agama lama seperti Zoroastrian dan Mesir Purba.
Dalam kepercayaan Zoroastrian, roh akan berjalan di atas jambatan menuju ke syurga. Sekiranya mata pahalanya semasa hidup lebih banyak daripada dosanya maka dia akan dapat menyeberang ke syurga dan tidak jatuh.
Sementara itu, kedua-dua kepercayaan Mesir Kuno dan Islam percaya kepada mereka yang sudah mati akan menghadapi ujian dan salah satu daripadanya adalah timbangan amalan. Dalam kepercayaan Mesir Kuno, mereka yang sudah mati akan dinilai berdasarkan timbangan berat hati mereka berbanding berat bulu pelepah. Jika hati mereka lebih ringan daripada bulu, bermakna mereka orang baik dan dibenarkan memasuki alam kerajaan tuhan dan hidup kekal abadi. Jika hati mereka lebih berat, bermakna mereka banyak melakukan kejahatan semasa hidup. Roh mereka akan dimamah oleh binatang buas, dan mereka akan hilang terus tanpa peluang untuk hidup kekal abadi atau dihidupkan semula.
Dalam kepercayaan-kepercayaan agama kuno ini termasuk Islam, orang yang sudah mati akan menghadapi hakim akhir iaitu tuhan Osiris, dan tuhan Allah untuk menentukan nasib mereka seterusnya. Seperti dalam permainan video game, inilah bos stage akhir yang mereka perlu hadapi.
Tiada keikhlasan dalam mengharapkan balasan
Namun, menjadikan amalan baik diukur secara mekanikal dan matematik mempersoalkan kebijaksanaan Allah sebagai hakim yang adil, mengetahui dan pengampun. Konsep ini menimbulkan sikap tidak ikhlas dalam melakukan amal kebajikan. Betapa dalam pemerhatian saya sendiri, kebanyakan orang Melayu memilih-milih untuk memberi sedekah atau membantu orang susah. Mereka lebih suka membantu pelajar tahfiz daripada orang tua bukan Islam yang terbiar di rumah-rumah kebajikan contohnya.
Semuanya ini adalah konsep yang dibuat sendiri oleh Muhammad dan ulama Islam. Ia tidak menggambarkan dan menangkap realiti kehidupan sebenar. Ia juga subjektif dan berbeza antara tafsiran dan mazhab yang berbeza dalam Islam sendiri.
Tiada bukti empirikal untuk menyokong konsep hasanah atau kepercayaan bahawa perbuatan yang baik boleh diukur secara kuantitatif dan diberi ganjaran selepas mati. Perkara ini berkaitan dengan kepercayaan dan tidak boleh dibuktikan.
Memberi motivasi untuk melakukan perkara kebaikan berdasarkan sistem ganjaran tidak semestinya cara yang paling berkesan atau bentuk paling baik untuk motivasi melakukan kebaikan. Perbuatan yang baik sepatutnya berdasarkan belas ikhsan yang ikhlas, empati dan prinsip etika, bukannya mencari ganjaran selepas mati.
Pendekatan legalistik apabila diguna pakai terhadap konsep hasanah ini membawa kepada pemahaman mekanistik dan transaksi tentang agama, apabila manusia melakukan kebaikan dengan tujuan untuk memungut mata ganjaran. Bukan atas tanggungjawab moral atau hubungan spiritual dengan tuhan.
Terdapat juga peluang yang tidak sama kerana konsep hasanah ini juga tidak adil dan tidak sama, kerana tidak semua individu mempunyai peluang yang sama atau kebolehan untuk melakukan sesetengah perbuatan baik atau mengumpul ganjaran. Faktor-faktor seperti status sosio-ekonomi, kesihatan, dan akses kepada sumber boleh mempengaruhi kebolehan seseorang melakukan perbuatan baik dan mengumpul ganjaran, yang membawa kepada kezaliman. Ia kezaliman kepada mereka yang sedikit poin atau ganjaran kerana halangan-halangan yang mereka sendiri tidak dapat kawal. Ia juga menunjukkan tuhan Allah bukan seorang hakim yang adil.
Baca juga:
Siri kisah aneh mengenai bulan Ramadan 1
Siri kisah aneh mengenai bulan Ramadan 2
Tulisan yg bagus sekali. Konsep keikhlasan tu rata-rata tidak ada pd orang Islam, sbb mreka mnderma dgn masih mngharap juga, mngharap balasan tuhan, mngharap pahala, mngharap apa yg didermakan tu akan dibagi ganjaran sama ada di bumi atau di syurga.
BalasPadamYg sy lihat btul ikhlas adalah mmberi tnpa mngharap ganjaran, dn inilah yg dilakukan oleh org yg tak prcaya kepada mitos2 tanpa bukti sperti pahala, syurga dn sbagainya
Setuju sekali. Kalau dengar radio dan melihat TV begitu banyak menyebut rebutlah peluang bulan Ramadan untuk beramal ibadat. Lepas tu dalam khutbah Jumaat dan tazkirah pun sama. Sebut suruh rebut lailatul qadar lah. Seolah-olah agama materialisme. Pahala nampak seperti wang.
Padam