Pulau Besar keramat, manusia gergasi dan hadiah mistik

 Baru-baru ini saya berpeluang pergi ke Pulau Besar Melaka. Sebenarnya sudah lama juga saya berhasrat untuk ke Pulau Besar, terutama selepas mendengar berbagai cerita mistik mengenai pulau ini. Pulau yang terletak lebih kurang 13km dari Melaka ini dikatakan sebuah pulau yang dikatakan sebuah pulau keramat kerana terdapat beberapa makam atau kubur yang dikatakan kepunyaan wali dan pengembang awal agama Islam. Antaranya yang masih dijaga dengan baik adalah Kubur Sultan Al-Ariffin dan Kubur Syarifah Rodziah. Disebabkan ini, kebanyakan orang dikatakan mengunjungi Pulau Besar untuk meminta hajat dengan berdoa di tepi kubur-kubur ini. Malah ada juga yang ke pulau ini untuk meminta nombor ekor.

Sebenarnya saya lebih tertarik dengan kewujudan kubur-kubur yang lebih panjang daripada kubur biasa di pulau tersebut. Contohnya untuk kubur Syarifah Rodziah ada lebih kurang lebih 20 jubin panjangnya. Saya cuba cari di Internet untuk mendapat lebih tepat ukuran tapi tidak temui panjang sebenar. Ada yang banyak diberi tahu adalah sejarah kononnya mereka wali, bermimpi bertemu Rasulullah dan diperintahkan berdakwah ke Tanah Melayu dan sebagainya. Inilah kelemahan orang kita, tidak menitik beratkan perkara-perkara perincian seperti panjang, tetapi lebih kepada menguar-nguarkan cerita lisan yang entah betul atau tidak. Malang sekali juga, tempat yang dulunya Muzium Pulau Besar ditutup kerana dikatakan sedang membuat penyelenggaraan. Tengok sajalah gambar di bawah untuk membayangkan betapa panjangnya kubur Sultan Al-Ariffin ini.


Cerita mitos Adam di Sri Lanka dan makhluk gergasi Nephilim

Berbalik kepada kubur yang panjang ini, apabila saya bertanya kepada penduduk tempatan di situ, jawapan yang diberikan adalah orang zaman dulu besar-besar (mungkin maksudnya tinggi-tinggi). Jawapan ini tentunya jikalau dikaji akan menimbulkan lebih banyak persoalan. Ini kerana tidak semua kubur di Pulau Besar itu panjang, terdapat juga kubur yang bersaiz normal seperti masa ini. Dalam hadith, dikatakan Adam itu tingginya 60 cubit atau lebih kurang 30 meter. Dan apabila dia dicampakkan ke dunia dia jatuh di Sri Lanka. Hari ini ada satu gunung di sana yang dipanggil Puncak Adam dan terdapat kesan seperti tapak kaki besar dalam 1.8 meter yang dikatakan kesan tapak kaki Adam. Dari Sri Lanka itu Adam dikatakan berjalan kaki sehinggalah sampai ke bukit Arafah di Arab Saudi untuk disatukan semula dengan Hawa. 

Jadi kalau mahu dikaitkan bahawa manusia zaman dahulu sangat tinggi seperti gergasi, makanya termasuklah juga Muhammad sehingga Sultan Ariffin. Ini kerana Sultan Ariffin, yang kuburnya itu juga panjang, meninggal pada tahun 1520 Masihi. Tentu sekali tiada bukti sejarah yang kukuh mengatakan manusia yang hidup pada kurun ke-15/16 merupakan manusia yang tinggi. Jadinya berkemungkinan besar, ini adalah merupakan cerita mitos bahawa manusia zaman dahulu itu tinggi. Seperti juga mitos cerita Adam sebagai manusia pertama.

Dalam Bible ada dikatakan tentang manusia atau makhluk gergasi hasil percampuran antara Malaikat dan manusia. Malaikat ini dikatakan "the fallen angels" iaitu mereka yang dihalau daripada syurga kerana memberontak terhadap tuhan.  Bagaimanapun ini bukan pandangan umum Kristian, tetapi hanya antara tafsiran kitab mereka yang dibuat oleh sesetengah sarjana. Tetapi ia masih mengingatkan saya tentang cerita kejadian manusia dalam teks gnostik tentang niat jahat Yaldabaoth yang menyuruh kuncu-kuncu Archonnya untuk merogol Eve bagi mencemarkan jiwa manusia. 

Hadiah misteri khazanah pulau

Pengunjung pergi ke Pulau Besar dengan menaiki feri atau bot laju. Feri lebih murah dengan tiker RM15 pergi balik tetapi hanya mengambil penumpang pada pukul 8 pagi dan kembali mengambil penumpang pukul 5 petang. Sementara itu bot laju lebih fleksibel mengikut kemahuan kita tapi sewa bagi sebuah bot ialah RM120 untuk pergi balik. Ketika saya sampai di jeti pada pukul 930 pagi, feri sudah tiada dan terpaksa mengambil bot laju. Mula-mula saya agak keberatan untuk berbelanja tambang untuk bot laju tetapi saya melihat ada seorang wanita yang menunggu bot laju. Dalam hati saya, jika wanita ini sanggup membayar sewa RM120 untuk menyewa bot laju seorang, tentu ada sesuatu yang istimewa di Pulau Besar. Jadi saya pun meneruskan niat untuk ke Pulau Besar dengan menaiki bot laju.

Perjalanan mengambil masa kurang 10 minit dengan bot laju. Di Pulau Besar terpampang papan-papan tanda yang melarang pengunjung melakukan perkara khurafat. Tapi itu tidak bermakna larangan itu diikuti. Ketika saya sampai sudah nampak beberapa orang berdoa di tepi kubur-kubur ini. Antara tujuan saya datang juga adalah untuk melakukan eksperimen. Jadi apabila sahaja menjejakkan kaki di atas pulau, saya pun meminta hajat tetapi bukan kepada Allah, sebaliknya kepada semangat alam mengikut fahaman gnostik. Saya bukanlah percaya, tapi hanya sebagai satu eksperimen. Saya meminta untuk mengetahui "rahsia dunia", manalah tahu ha.. ha.. ha... Saya bukanlah percaya sangat, hanya suka-suka.



Dikatakan pulau ini tempat yang keras, kerana itu tidak dapat dibuat banyak pembangunan untuk pelancongan. Pulau juga tidak begitu dijaga dengan sampah sarap dan tidak mesra pelancong. Hanya ada satu resort yang masih berfungsi, itu pun saya lihat macam tidak ada orang. Saya sempat melakukan tour dengan menyewa pemandu pelancong yang membawa saya menaiki motorsikal. 

Selepas habis menjelajah tempat-tempat penting, saya ada bersembang dengan seorang lelaki di situ. Dia menceritakan sejarah pulau itu dengan memberi penekanan ia tempat pengembangan agama Islam. Saya dengar sahaja tanpa banyak menyampuk. Tiba-tiba seorang wanita yang berada di sebelahnya mengeluarkan 10 biji kecil seperti kacang kepadanya. Lelaki itu berkata biji-biji kecil ini dipanggil buntat lipan dan berkata kepada saya ia khazanah pulau. Pada masa itu saya tidak tahu apa itu buntat lipan, dalam fikiran saya mungkin ia telur lipan. Saya tidak melakukan carian maklumat kerana liputan internet di pulau tidak baik.

Dipendekkan cerita sampai di hotel di Melaka, saya bertanya kepada rakan saya tentang buntat lipan. Menurut dia, buntat lipan atau geliga lipan itu boleh dibuat pendinding dan mempunyai khadam. Ada juga rakan yang menyuruh saya membuangnya kerana ditakuti akan dikacau oleh makhluk halus dari buntat lipan itu. 

Apa pun sehingga entri ini ditulis, saya masih menyimpan buntat lipan itu. Carian saya di Internet mendapati ada orang yang percaya buntat lipan ini benda mistik boleh membawa tuah dengan memenangi nombor ekor dan sebagainya terutama bagi orang cina. Sementara bagi Muslim pula, ada yang percaya ia boleh memberi seorang itu nampak menembusi dinding dan kebal. Apa-apalah. Saya hanya menyimpannya kerana tertarik dengan proses pembentukannya yang unik. 



Ulasan

  1. Menarik perjalanan saudara. Saudara pergi dngan siapa, seorang ke? Dah berumah tangga?

    Lihatlah, Sultan Ariffin yang hidup sekitar kurun ke 16 pun orang boleh percaya mempunyai ketinggian yang macam itu. Begitu mudah orang terpedaya. Sedangkan kubur nabi mereka yang hidup ratusan tahun sebelum itu pun tidak panjang macam itu. Kekarutan berkenaan Adam yang dulunya tinggi sampai 30 meter itu juga sepatutnya kita jawab balik dengan bertanya dimanakah sumber fosil rangka manusia yang hidup tinggi macam itu, atau yang hampir kepada ketinggian mcam tu dari keturunan Adam yang menjadi pendek sedikit demi sedikit?

    BalasPadam
  2. Kamu salah disini.
    Ketinggian beliau tidak penting, malah tidak perlu diolah atau diambil tahu pun, tiada kena mengena dgn akidah.

    Ini sekadar info utk awak:
    Awak tanya mana2 ulamak islam, dan cendikiawan islam,
    Tidak terdapat riwayat yang kuat dan setaraf riwayat menyebutkan tentang ketinggian Nabi Adam alaihissalam di bumi.
    Wallahua’lam.

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan Popular Terpilih

Siri 3: Keindahan ateisme, penentuan sendiri tujuan hidup

Siri 2: Keindahan ateisme, memperakui kepelbagaian, hak manusia untuk berfikir

Masyarakat barat yang sentiasa ingin tahu