Kenapa saya tak takut kepada neraka jahanam Allah

Neraka yang dicipta Allah digambarkan dalam Quran sebagai tempat penyeksaan, penderitaan, dan pembakaran kepada mereka yang melakukan dosa, tidak taat dan tidak mempercayai ketuhanan Allah. Penghuni neraka juga terdiri kepada mereka yang menyekutukan Allah dengan makhluk lain. Penyeksaan di neraka digambarkan sangat panas dengan semuanya mendidih dan penghuninya yang menidakkan Allah akan berada di dalamnya "abadan abada" atau kekal selama-lamanya. Malah dalam bahasa Arab, neraka dipanggil Jahannam untuk menggambarkan ia sebagai tempat penyeksaan yang begitu panas dengan api yang menyala dan membara. 

Dalam satu hadis Sahih Bukhari, dikatakan lebih 99 peratus manusia adalah penghuni neraka dan kebanyakan mereka adalah perempuan. Selain manusia, jin yang dibuat daripada angin api yang panas (Surah Al-Hijr 15:27) juga menjadi penghuni neraka. Di sini juga timbul kemusykilan, bagaimana agaknya jin yang dicipta daripada angin api boleh terseksa dengan api juga? Tapi perkara ini untuk perbincangan pada masa depan. Begitu juga dengan golongan perempuan yang dikatakan banyak menghuni neraka. Sesungguhnya memang patutlah Islam ini digelar agama kaum lelaki.

Dengan ugutan dan ancaman neraka jahanam ini menyebabkan ramai orang Islam yang takut untuk menjadi tidak taat kepada imaginari tuhan Allah. Mereka takut mengkaji Islam dan mempersoalkan dogma-dogmanya yang meragukan, apatah lagi memikirkan untuk keluar daripada Islam. Kerana gambaran neraka jahanam inilah, terdapat orang Islam yang bersungguh-sungguh menjadi juara mahu memaksa fahaman keras mereka ke atas orang lain. Kerana ketakutan kepada neraka jahanam inilah menyebabkan mereka, sepanjang hidup mereka, hanya memikirkan cara untuk tidak menjadi atau mengelak daripada menjadi penghuni neraka. Jadi kenapa saya tidak takut kepada neraka Allah?

Sebenarnya ada banyak poin, tapi kali ini saya hanya akan membawa dua poin seperti di bawah.



Lukisan Parsi abad ke-15 yang memaparkan Muhammad yang menunggang Buraq bersama malaikat Jibrail menonton perempuan-perempuan yang diseksa oleh syaitan di neraka jahanam selama-lamanya.

Penyeksaan kekal abadi bertentangan dengan sifat tuhan yang rahman dan rahim serta keadilan

Tuhan Allah digambarkan dengan sifat Rahman dan Rahim iaitu yang sayang dan belas kasihan terhadap ciptaannya. Sifat Rahman, terutamanya, kononnya menunjukkan Allah itu mempunyai perasaan belas kasihan dan sayang kepada semua makhluknya tanpa mengira yang beriman dan tidak beriman atau kafir. 

Hukuman penyeksaan selama-lamanya adalah bertentangan dengan sifat tuhan, jika dia wujud, yang bersifat belas kasihan dan sayang kepada semua makhluk ciptaannya. Adakah seorang kafir seperti Nelson Mandela yang berjuang ke arah penghapusan dasar diskriminasi kaum di Afrika Selatan akan dimasukkan ke dalam neraka jahanam selama-lamanya kerana dia mati sebagai seorang Kristian yang jelas menjadikan Jesus Christ sebagai tuhan, bukannya Allah?

Penyeksaan kekal abadi selama-lamanya juga bertentangan dengan konsep keadilan. Dalam konsep keadilan, seseorang akan dihukum setimpal dengan kejahatan yang dilakukannya. Bukan selama-lamanya. Tetapi Allah yang dikatakan Rahman dan Rahim meliputi seluruh umat manusia sanggup membakar makhluknya dalam api neraka selama-lamanya hanya kerana orang itu tidak menerima Allah sebagai tuhan. Sedangkan tuhan bernama Allah ini katanya tidak mendapat apa-apa atau terkesan dengan apa-apa pun kalau makhluk ciptaaannya tidak memujanya. Melainkan tuhan Allah ini sejenis tuhan yang sadis, yang suka menyeksa orang, makanya mungkinlah dia mendapat kenikmatan menyeksa manusia.

Saya juga suka membawa perumpamaan seorang atlit sukan atau penjudi yang ada kalanya menang dan ada kalanya kalah dalam sesuatu permainan. Jika mereka kalah mereka akan berduka, sementara jika mereka menang, mereka akan gembira. Sekiranya syurga dan neraka Allah ini memberi kenikmatan dan penyeksaan yang kekal abadi, apakah jenis manusia di dalamnya. Mereka mungkin sudah lali atau tidak mempunyai emosi seperti robot. Oh, aku sudah diseksa 1,000 tahun, aku sudah tidak rasa apa-apa. Atau oh aku sudah berpesta seks 1,000 tahun, aku sudah tidak merasa apa-apa kenikmatan. 

Kenapa mencipta makhluk yang anda tahu akan derhaka?

Selain Rahman dan Rahim dalam 99 nama Allah, nama lain yang mencerminkan sifat dan zat Allah termasuklah Al-'Alim (yang maha mengetahui), Al-Hakim (yang maha bijaksana), Al-Khabir (yang maha mengetahui akan segala hal secara mendalam), Al-Wasi' (yang maha luas pengetahuannya), dan Al-'Adl (yang maha adil). Namun dengan menghumbankan manusia ke dalam api neraka jahanam tidak mencerminkan langsung sifat Allah ini.

Dalam Kata-kata terakhir saya kepada Allah, saya berkata bahawa Allah semestinya juga tahu apa di dalam hati saya ini yang telah membuat yang terbaik untuk mencari kebenaran, namun tidak dijumpai dalam Islam. Dan jika dimasukkan ke dalam neraka maka Allah juga perlu dipertanggungjawabkan kerana dia yang mencipta syaitan dan manusia dengan hawa nafsu, kebebasan memilih, dan berfikir secara rasional.

Sifat Allah dengan pengetahuannya yang tak terbatas oleh waktu, luas, sehinggakan hidup kita telah ditentukan dalam luh mahfuz. Jadi apa gunakan memberikan free will atau kebebasan memilih kepada manusia. Adakah kebebasan memilih itu benar ada sekiranya segala-galanya sudah ditentukan? Kenapa menciptakan berbilion manusia yang akhirnya hanya 1 peratus akan masuk syurga jika anda tahu majoritinya akan derhaka dengan tidak mempercayai anda?

Alat untuk menakut-nakutkan

Apa yang saya fikirkan adalah ancaman seksaan neraka jahanam ini adalah alat untuk menakut-nakutkan orang Arab abad ke-7, dan berlanjutan sehinggalah zaman sekarang. Kalau dilihat zaman sekarang ini, hanya ada dua agama utama sahaja iaitu Islam dan Kristian yang mempercayai kewujudan syurga dan neraka. Mereka menggunakan umpan syurga dan ancaman neraka ini untuk menjadikan orang takut untuk mempersoalkan apatah lagi meninggalkan ajaran dongeng mereka. Ironinya, agama Yahudi yang mana dua agama ini menggunakan watak dan cerita dalam agama Yahudi sebagai asas, tidak mempercayai pun sepenuhnya tentang syurga dan neraka. Ajaran tradisional Yahudi lebih tertumpu kepada kehidupan sekarang di dunia ini daripada sibuk memikirkan tentang syurga dan neraka.

Saya lebih tertarik dengan ajaran Buddha yang menekankan konsep karma dan kelahiran semula sebagai balasan kepada apa yang manusia lakukan ketika hidup. Tapi semua ini tidak dapat dibuktikan secara saintifik. Apa yang boleh kita buat adalah menjalani kehidupan di dunia ini dengan sebaik mungkin. Tidak melakukan sesuatu yang tidak baik kepada orang dan alam sebagaimana kita tidak mahu diperlakukan sedemikian. 

Sebenarnya banyak lagi teori dan pandangan tentang ini. Kita tidak memerlukan konsep syurga dan neraka untuk menjadi manusia yang baik. Saya akan menulis mengenai konsep-konsep baharu atau sebenarnya lama ini nanti. Antaranya konsep bahawa terdapat banyak lagi roh atau jiwa kita yang hidup di dimensi atau alam lain dan jika kita melakukan kejahatan atau kebaikan kepada seseorang maka orang itu akan membalas balik kepada kita di dunia ini atau di dunia lain. 

Ulasan

  1. Ulasan yg sgt bernas, jgn berlama2 utk artikel seterusnya... Kalo boleh stp artikel biarlah lg panjang...

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan Popular Terpilih

Siri 3: Keindahan ateisme, penentuan sendiri tujuan hidup

Siri 2: Keindahan ateisme, memperakui kepelbagaian, hak manusia untuk berfikir

Masyarakat barat yang sentiasa ingin tahu