Kisah terjadinya planet Zuhrah atau Venus daripada wanita cantik

Jika anda melihat planet Zuhrah atau Venus, ingatlah dalam Islam ia asalnya adalah seorang wanita cantik bernama Zuhrah. Kisahnya berkait rapat juga dengan kisah Harut dan Marut. Rasanya ramai yang tahu mengenai versi kisah malaikat Harut dan Marut mengajar sihir kepada manusia seperti sihir untuk memisahkan pasangan suami dan isteri. Dalam Quran disebut:

Mereka mengikut ajaran-ajaran sihir yang dibacakan oleh puak-puak Syaitan dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman, padahal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi puak-puak Syaitan itulah yang kafir; dan mereka mengajarkan manusia ilmu sihir dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat: Harut dan Marut, di negeri Babil, sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka berkata: "Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan, oleh itu janganlah engkau menjadi kafir". (Quran 2: 102)

Dalam Arais Al-Majalis atau Kisah Nabi-Nabi terdapat satu kisah yang menerangkan ayat di atas. 

Apabila para malaikat melihat perbuatan keji yang dilakukan oleh manusia pada masa Nabi Idris, mereka mencela manusia dan berkata kepada Allah: 'Mereka ini engkau jadikan khalifah di muka bumi dan dipilih oleh engkau namun mereka mengingkari engkau.' Allah kemudian berkata: 'Jika aku menghantar kamu ke bumi dan melengkapkan kamu dengan apa yang aku lengkapkan mereka, kamu juga akan melakukan apa yang mereka lakukan.'

Para malaikat menjawab: 'Wahai Tuhan, kami sama sekali tidak akan menderhakaimu.' Kemudian Allah berkata: 'Pilihlah dua orang malaikat yang terbaik dalam kalangan kamu dan aku akan menghantar mereka berdua ke bumi.'

Para malaikat kemudian memilih Harut dan Marut, iaitu malaikat yang terbaik dan paling taat. Menurut satu lagi riwayat daripada Al Kalbi, Allah meminta para malaikat memilih tiga orang malaikat, dan mereka memilih Azz (Harut), dan Azabi (Marut), dan Azrail. Kemudian nama-nama malaikat itu diubah kepada Harut dan Marut apabila mereka melakukan dosa, dan Allah juga menukar nama Azrail kepada Azazil atau Iblis. Mereka kemudian diberikan nafsu seperti yang diberikan kepada manusia dan diturunkan ke bumi. Allah mengingatkan mereka untuk berlaku adil, dan melarang mereka menyembah selain daripada Allah, membunuh, berzina, dan meminum arak. Apabila nafsu menguasai hati Azrail, dia bertaubat kepada Tuhan dan meminta untuk kembali diangkat ke syurga.

Sementara bagi dua lagi malaikat, mereka terus tinggal di bumi. Mereka terus beribadat kepada Allah sehinggalah pada suatu hari mereka didatangi dengan seorang wanita cantik bernama Zuhrah. Zuhrah dikatakan seorang wanita Farsi dan permaisuri di negaranya sendiri. Kecantikan Zuhrah telah menawan hati kedua-dua malaikat itu yang cuba memujuknya untuk bersama mereka. Zuhrah menolak dan meninggalkan mereka. Pada hari berikutnya Zuhrah datang kembali dan mereka sekali lagi mengajaknya untuk bersama. 

Zuhrah kemudian berkata: 'Tidak, kecuali kamu berdua menyembah apa yang aku sembah, melakukan pembunuhan, dan meminum arak.' Kedua-dua malaikat itu menolak kerana perbuatan itu telah dilarang oleh Allah. Zuhrah kemudian meninggalkan mereka. Pada hari ketiga, Zuhrah kembali dengan segelas arak dan sekali lagi diajak oleh Harut dan Marut untuk bersama mereka. Zuhrah sekali lagi meminta apa yang diminta pada hari sebelumnya. Kedua-dua malaikat itu kemudiannya setuju untuk meminum arak kerana menganggap ia yang paling mudah antara tiga perkara yang diminta oleh Zuhrah.

Selepas meminum arak, mereka mabuk dan berzina dengan Zuhrah. Mereka kemudian membunuh seorang lelaki yang menyaksikan mereka berzina. Menurut satu lagi riwayat, Zuhrah meminta Harut dan Marut mengajar cara untuk naik ke syurga dan mereka pun mengajar Zuhrah. Zuhrah kemudian naik ke syurga dan ditukar menjadi planet Zuhrah atau Venus.

Sementara itu dalam tafsir Tabari, Harut and Marut menyesal atas dosa yang mereka lakukan dan tidak lagi dapat naik ke syurga. Allah bertanya apa hukuman yang mereka mahu sama ada di dunia atau di akhirat nanti. Kedua-dua mreka memilih dihukum di dunia. Mereka kemudian dihantar ke Babel sebagai godaan kepada manusia dengan mengajar manusia sihir tetapi hanya selepas mereka memberi peringatan kepada manusia agar jangan menderhaka kepada tuhan. Dalam satu riwayat lain, dikatakan sebagai hukuman, Harut dan Marut digantung dari kakinya di dalam sebuah gua sehingga hari kiamat. 


Sumber Wikipedia: Lukisan Harut dan Marut digantung (1703)

Muslim menggunakan alasan kisah Israiliyat

Seperti biasa, walaupun terdapat riwayat daripada sumber yang kukuh, sekiranya cerita itu tidak masuk akal akan dikatakan ia berasal daripada kisah Israiliyat. Israiliyat adalah kisah, cerita atau naratif yang dianggap diambil daripada sumber bukan Islam, selalunya daripada sumber Yahudi, Kristian, Zoroastrian dan agama-agama lain. Ada sumber Israiliyat yang diterima oleh sarjana Islam, sementara ada juga yang tidak diterima dengan alasan ia bertujuan jahat untuk merendah dan memburukkan Islam dengan cerita yang tidak masuk akal. Begitulah hujah yang saya selalu terima apabila saya membawa kisah atau cerita yang tidak munasabah dalam Quran dan Hadis daripada Muslim.

Saya ada menulis sebelum ini yang Islam itu sendiri dibina atas sumber lisan yang senang diubah dan berubah apabila tiada catatan bertulis seperti permainan telefon buruk (lihat Islam dibina seperti permainan telefon buruk). Malah dalam kalangan Muslim sendiri yang berpuak dan bermazhab seperti Sunni dan Syiah terdapat sumber Islam yang ditolak dan diambil berdasarkan kepentingan politik masing-masing. Syiah misalnya membuka buku-buku hadis dan ulama mereka sendiri yang terdiri daripada Ahli Bait seperti Imam Zayn Al-Abidin, Imam Ali al-Ridha, dan pengumpul hadis seperti Kulayni yang kalau ditanya kepada Muslim Sunni, mereka tidak kenal pun siapa dia.   

Perkara ini diburukkan lagi dengan Islam itu sendiri tidak mempunyai sumber asal yang kukuh kerana ia mengambil banyak cerita-cerita daripada masyarakat zaman sebelumnya termasuk daripada Yahudi, Kristian, dan agama-agama lain. Jadinya memang tidak boleh dielakkan untuk menggunakan cerita-cerita ini dan membina dogma, dan ajarannya daripada cerita-cerita tersebut. Malah selain cerita planet Zuhrah ini, cerita kejadian Adam daripada tanah dan Jesus yang boleh bercakap semasa kecil pun diambil daripada sumber luar dan diserap di dalam Quran dan Hadith. Cerita Jesus yang bercakap semasa bayi, contohnya, terbukti diambil daripada cerita yang ditolak sendiri oleh orang Kristian. 

Dalam kesarjanaan moden, dakwaan tentang satu teks yang datang terus daripada tuhan dan tidak diubah sejak ia disampaikan kepada manusia adalah satu dakwaan yang tidak masuk akal. Terutamanya jika ia tidak disertakan dengan bukti kukuh. Tiada siapa boleh membuktikan bahawa Muhammad berjumpa dengan Jibrail. Dan bagaimana mahu membuktikan Jibrail itu sebagai malaikat bukannya syaitan atau hanya khayalan Muhammad kerana hanya Muhammad yang dapat melihatnya. Dan kenapa pula Allah memerlukan perantara seperti malaikat Jibrail untuk menyampaikan wahyu sedangkan Nabi Musa dikisahkan dalam Quran dapat bercakap dengan Allah yang memberikannya Taurat di atas bukit Tursina? 


Ulasan

Catatan Popular Terpilih

Siri 3: Keindahan ateisme, penentuan sendiri tujuan hidup

Siri 2: Keindahan ateisme, memperakui kepelbagaian, hak manusia untuk berfikir

Masyarakat barat yang sentiasa ingin tahu