Meneroka idea-idea penciptaan manusia

Topik kali ini berkaitan penciptaan alam, terutamanya manusia. Sekurang-kurangnya ada dua teori utama dalam hal ini iaitu creationism dan evolusi Darwin. Jujurnya saya masih kurang berpengetahuan mengenainya tapi saya perlu mencatat dan memulakannya perbincangan mengenainya kerana ia ada berkaitan dengan pencarian makna dan tujuan kehidupan bagi kebanyakan orang. Tulisan ini hanya pandangan peribadi saya sahaja, bukannya satu tulisan akademik. 

Tulisan ini lebih kepada galakan untuk kita terus mencari dan mempersoalkan perkara-perkara yang masih belum terjawab kerana tidak dapat dibuktikan. Mana mungkin kita dapat mendapat jawapan evolusi satu spesis selama berjuta-juta tahun kepada suatu spesis yang lain kerana hayat kehidupan kita pun secara puratanya tidak mencecah 100 tahun. Begitu juga manusia masih tidak dapat membuktikan kewujudan satu kuasa agung yang mendakwa bahawa dia seorang yang menciptakan manusia dan alam ini selain daripada kata-kata dan tulisan daripada buku-buku lama yang ditulis oleh manusia juga.

Pengaruh mitos purba Sumeria

Sejak kecil saya diajar yang manusia awal iaitu Adam dicipta daripada tanah liat. Besar kemungkinan idea penciptaan manusia daripada tanah liat  berasal daripada mitos purba Sumeria. Berdasarkan rekod "Enuma Elish" iaitu kisah mitos tamadun purba Sumeria, tuhan Enki mencipta manusia daripada tanah liat dan darah tuhan yang dibunuh dalam pertempuran sesama mereka. Dengan pertolongan tuhan Enki, nyawa ditiup ke dalam tanah liat berbentu manusia untuk menghidupkannya dan membolehkannya bercakap dan berkomunikasi dengan tuhan-tuhan Sumeria. 

Manusia dicipta untuk memberi khidmat kepada tuhan-tuhan Sumeria dan menyembah mereka. Manusia bekerja sebagai buruh dan hamba kepada tuhan-tuhan ini. Manusia menyediakan makanan, pakaian, dan tempat tinggal untuk tuhan-tuhan Sumeria. Manusia juga membina kuil dan melakukan amalan keagamaan dan memberi korban untuk tuhan-tuhan. Sebagai balasan, tuhan-tuhan Sumeria akan memberi perlindungan dan keberkatan kepada manusia.

Mitos dalam Enuma Elish ini dipercayai ditulis semasa pemerintahan Hammurabi pada kurun ke-18 sebelum masihi. Namun dipercayai mitos penciptaan ini sudah lama wujud berkurun lamanya dalam bentuk oral. Kisah ini ditulis dalam tujuh tablet dan digunakan dalam upacara keagamaan di Babylon.

Salah satu tablet Enuma Elish di Muzium British yang dikatakan rekod paling awal mengenai cerita kejadian manusia.


Allah dan penciptaan langit dan bumi dalam enam hari

Seperti yang saya sebut, pengaruh mitos Sumeria ini terbawa-bawa ke dalam Islam. Allah dikatakan membentuk Adam, yang kononnya manusia pertama daripada tanah selama 40 hari (terdapat hadis yang mengatakan Allah mencipta Adam dalam masa 40 hari). Allah juga dikatakan mencipta langit dan bumi dalam masa 6 hari (sittata ayyam). Walaupun ada yang mentafsirkan sittata ayyam sebagai 6 era dan sebagainya untuk membayangkan satu jangka masa yang panjang, perkataan Arabnya "ayyam" secara literal bermaksud hari. Anda boleh rujuk kepada Surah Hud 11:7, Surah Al-A'raf 7:54, dan Surah Al-Furqan 25:59. 

Ini sebenarnya menimbulkan pertanyaan tentang logik bagi saya. Dalam Surah Al-Baqarah 1:117, Allah dikatakan maha berkuasa dan boleh menjadikan sesuatu terjadi cukup dengan menyebut Kun Fayakun atau Jadilah. Makanya kenapa Allah yang dikatakan sangat berkuasa  mengambil masa untuk mencipta langit dan bumi? 

Mengapa Allah memerlukan bahan seperti tanah liat untuk mencipta Adam? Seolah-olah menunjukkan Allah memerlukan sesuatu untuk mencipta Adam. Keperluan Allah sebagai kononnya pencipta maha agung kepada benda seperti tanah liat untuk mencipta sesuatu sudah cukup bagi saya untuk menunjukkan kepada kekurangan pada Allah. 

Creationism lawan Evolusi Darwin

Kerana ketidaklogikan inilah saya masih mencari-cari mistei kejadian manusia. Antara perdebatan hangat dalam perkara ini adalah Creationism atau Penciptaan dengan Intelligent Design dan Evolusi oleh Darwin yang lebih menjurus kepada natural selection atau pemilihan semula jadi. Antara ciri penting dalam Teori Evolusi Darwin adalah organisma hidup berasal daripada common ancestor atau keturunan yang sama atau asal-usul yang sama. Contohnya manusia dan monyet dikatakan berasal daripada keturunan yang sama lebih kurang 6-7 juta tahun lalu tetapi melahirkan dua spesis yang berbeza iaitu manusia dan monyet.

Tentu sekali teori evolusi ini ditolak oleh golongan agama terutama agama bersifat kepercayaan kepada satu tuhan seperti Kristian dan Islam. Dalam menghadapi gelombang manusia yang mahukan penjelasan saintifik mengenai kejadian manusia dan alam, wujud aliran yang dipanggil Creationism. Aliran ini lebih banyak diperjuangkan oleh mereka yang percaya kepada kejadian seperti yang diterangkan dalam Bible.  

Tulisan ini sedikit sebanyak tercetus selepas saya "membaca" buku audio bertajuk Darwin Devolves oleh Prof Dr Michael J. Behe. Dalam bukunya, Behe mengatakan organisma hidup pada peringkat molekul atau selnya menunjukkan ia dicipta dengan kepintaran atau apa yang dipanggil sebagai intelligent design. Behe memperkenalkan istilah irreducible complexity yang lebih kurang bermaksud sistem biologi pada asasnya terdiri daripada pelbagai komponen kompleks yang saling berkaitan dan tidak akan dapat berfungsi sekiranya tidak lengkap. Dan kerana inilah Behe membuat hipotesis bahawa sistem ini direka oleh sesuatu yang pintar. 

Disebabkan Behe ialah seorang profesor bertauliah dalam bidang biologi molekular di Lehigh University yang agak terkenal juga di Amerika Syarikat, teori beliau mendapat reaksi keras daripada saintis dan penyelidik lain terutama mereka yang menyokong teori Darwin. Behe tidak mengatakan teorinya bukti kewujudan tuhan. Malah Behe tidak menolak idea tentang common ancestry, cumanya beliau menolak sesuatu yang bersifat kompleks seperti sel hidup itu berevolusi untuk berubah daripada satu spesis kepada spesis yang lain sama sekali. 

Bagi Behe kewujudan kepelbagaian dalam spesis beruang contohnya adalah apabila spesis baharu itu kehilangan sesuatu daripada spesis asal atau devolusi. Beliau memberi contoh kewujudan beruang kutub (polar bear) yang bagi Behe ialah satu bentuk devolusi bukannya evolusi apabila ia kehilangan fungsi dalam DNAnya untuk menyesuaikan dirinya di kutub utara. Ia ibarat sebuah kapal yang dilanda ribut dan ombak besar yang terpaksa membuang banyak muatan untuk menyelamatkan kapal daripada tenggelam. Apa pun itulah apa yang saya faham daripada mendengar buku audionya.

Pengajaran dan tafsiran lain

Apa yang saya suka tentang penyelidik barat adalah mereka berani menyoal dan mengkaji sesuatu tanpa ada garisan merah atau redline seperti dalam masyarakat Muslim Islam. Contohnya, Quran tidak boleh dipersoalkan akan kebenarannya meskipun terdapat banyak percanggahan fakta sains di dalamnya seperti matahari yang tenggelam di dalam lumpur, air mani yang datang dari tulang belakang dan sebagainya. Ulama memberi berbagai tafsiran untuk menjustifikasikan ayat Quran yang salah ini dengan tafsiran mereka sendiri. Apa boleh buat sebab dikatakan Quran itu adalah kata-kata Allah yang tidak boleh diubah. Sedangkan dalam agama Kristian, Bible itu dianggap sebagai tulisan manusia tetapi mendapat inspirasi daripada tuhan. Jadinya ia boleh dikritik dan dibahas oleh masyarakat Barat. Ini yang membawa kepada kemajuan masyarakat Barat.

Berbalik kepada persoalan penciptaan manusia ini, sebenarnya terdapat teori konspirasi jika kita rajin menggali lubang arnab. Penulis teori konspirasi British David Icke contohnya percaya manusia ini dicipta oleh makhluk asing dengan teknologi maju genetik. Ia bak seperti dalam mitos Sumeria dan teori Intelligent Design. 

Tetapi kenapa manusia dicipta? Bagi Robert Monroe, seorang penyelidik dalam pengalaman keluar daripada jasad atau Out of Body Experience yang pernah saya tulis sebelum ini, manusia menghasilkan satu bentuk tenaga yang dipanggil loosh. Tenaga ini terhasil daripada emosi dan pengalaman manusia. Emosi manusia yang negatif seperti sedih, marah, dan takut menghasilkan loosh yang lebih kuat. Loosh ini dikatakan di"harvest" (dikumpul) oleh entiti-entiti yang manusia tidak dapat lihat. Ada yang berkata inilah antara sebabnya kenapa dunia ini penuh dengan ketidakadilan, kejahatan dan penderitaan kerana ia sememangnya direka begitu untuk pengumpulan loosh yang banyak.


Ulasan

  1. Menarik, dan padat... Harap perbanyakkan lagi info2..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih atas sokongan anda! Saya akan tulis lagi banyak.

      Padam

Catat Ulasan

Catatan Popular Terpilih

Siri 3: Keindahan ateisme, penentuan sendiri tujuan hidup

Siri 2: Keindahan ateisme, memperakui kepelbagaian, hak manusia untuk berfikir

Masyarakat barat yang sentiasa ingin tahu