Robert Monroe dan projek CIA cuba menyingkap rahsia alam

Dalam entri lepas saya menulis mengenai kemungkinan terdapat dua organisma berbeza dalam beluncas yang menjadi rama-rama (Mentega Terbang: Provokasi yang perlu). Bagaimana jika manusia juga sebenarnya mempunyai satu lagi badan? Saya berkesempatan membaca buku Journey Out of the Body oleh Robert Monroe, pakar dalam pemikiran bawah sedar dan mimpi sedar (lucid dream). Dalam buku yang diterbitkan pada tahun 1972, Robert Monroe menulis tentang pengalaman beliau di luar badan fizikal (Out of Body Experience atau OBE) berkali-kali dengan menggunakan Badan Kedua. Beliau menyifatkan "Badan Kedua" sebagai badan bukan fizikal yang boleh meninggalkan badan fizikal dan melakukan perjalanan ke dimensi-dimensi dan alam lain.

Menurut Monroe, Badan Kedua terdiri daripada tenaga, dan bersambung dengan badan fizikal melalui "tali perak" atau sambungan tenaga yang membolehkan Badan Kedua ditambat pada badan fizikal ketika melakukan perjalanan di alam lain. Badan Kedua ini mempunyai deria berbeza daripada badan fizikal dan boleh melihat perkara yang tidak boleh dilihat oleh badan fizikal.

Monroe menerangkan pengalamannya mengembara dalam Badan Keduanya ke pelbagai tempat dan dimensi, dan berinteraksi dengan makhluk lain yang juga wujud di luar alam fizikal. Beliau menyatakan bahawa Badan Kedua tidak terhad oleh kekangan fizikal, seperti masa dan ruang, dan ia mampu meneroka kemungkinan alam semesta yang luas dan tidak terhingga.

Realiti mengikut apa yang minda kita bentuk

Selepas buku pertamanya Out of the Body, Monroe menulis dua lagi buku Far Journeys (1985) dan Ultimate Journey (1994). Dalam buku pertamanya Monroe ada menyebut tentang beberapa lokal atau tempat atau dimensi yang beliau boleh lawati ketika berada di luar badan fizikal. Saya belum berkesempatan membaca dua lagi buku beliau.

Tapi dalam menyebut pengalaman luar badan, beliau boleh melakukan perjalanan ke beberapa dimensi.  Dimensi pertama atau lokal satu ialah alam fizikal tempat kita tinggal sekarang. Lokal yang tidak dapat dilawati oleh badan fizikal tetapi boleh dilawati oleh Badan Kedua ialah Lokal Dua dan Tiga. (Monroe mengembangkan lagi konsep ini dan memperluaskan lokal-lokal ini dalam dua buku beliau berikutnya). Apa yang menarik antara tempat yang Monroe lawati di Lokal Dua termasuk tempat seperti neraka dan tempat seperti syurga. Mengikut Monroe dalam tempat seperti neraka ini, penghuninya terdiri daripada mereka yang percaya kepada hukuman seksaan selepas mati. Sementara tempat seperti syurga dihuni oleh mereka yang percaya kepada kehidupan aman dan harmoni selepas mati. Tempat-tempat ini dihuni dan dikongsi oleh mereka yang mempunyai kepercayaan yang sama.

Bagi Monroe meskipun tempat-tempat ini mungkin nampak benar kepada individu-individu yang menghuninya, ia tidak semestinya benar kerana ia wujud berdasarkan sistem kepercayaan individu itu. Dengan kata lain ia diwujudkan dan dikekalkan oleh kepercayaan kolektif individu yang menghuni tempat-tempat ini. Penerangan Monroe ini ditafsi oleh sesetengah orang sebagai menunjukkan kuasa kepercayaan dan sifat realiti yang subjektif. Pengalaman Monroe boleh ditafsir sebagai menunjukkan yang realiti boleh dibentuk dengan kepercayaan seseorang, jangkaan mereka, dan andaian mereka dan semua ini memberi pengaruh kuat kepada pengalaman individu terhadap dunia di sekeliling mereka.

Projek Gateway, tenaga dan frekuensi bunyi

Pengalaman OBE Monroe menarik perhatian agensi perisikan Amerika Syarikat CIA. Montoe memainkan peranan penting dalam Projek Gateway yang dilakukan oleh CIA pada sekitar tahun 1980-an. Projek Gateway Project adalah nama bagi satu projek penyelidikan yang dilakukan oleh CIA untuk mengkaji potensi minda manusia dalam bidang seperti meditasi, kesedaran diri dan mimpi sedar (lucid dream). Projek ini menggunakan teknik-teknik audio yang dipanggil Hemi-Sync yang dicipta oleh Monroe.

Hemi-Syn menggunakan bunyi-bunyi dengan frekuensi yang berbeza untuk setiap telinga dan dipercayai boleh merangsang otak untuk mencapai keadaan kesedaran tertentu seperti relaksasi, kreativiti atau mimpi sedar. Projek Gateway menggunakan Hemi-Sync sebagai alat untuk membantu peserta-peserta mencapai keadaan minda yang sesuai untuk melakukan eksperimen-eksperimen psikologi seperti perjalanan astral, penyembuhan diri atau komunikasi telepati. 

Melalui Akta Kebebasan Maklumat AS (FOIA), beberapa dokumen berkaitan Projek Gateway mula dinyahklasifikasikan (bukan lagi dokumen rahsia) pada tahun 2003 atas permintaan awam. Walaupun terdapat bahagian-bahagian yang dihitamkan, namun sedikit sebanyak kita dapat mengetahui eksperimen apa yang sedang dibuat oleh CIA berkaitan dengan kesedaran diri, minda, dan mimpi sedar manusia. Anda boleh mencarinya dalam Reading Room di laman web CIA. Di bawah salah satu bahagian yang menarik yang mengatakan bahawa alam ini terdiri daripada tenaga dan frekuensi (bukannya solid matter).


Kebenaran itu relatif mengikut perspektif?


Cuba lihat gambar di atas, bukankah semuanya benar mengikut perspektif masing-masing? Jika anda melihat dari atas akan nampak seperti gambar paling kiri. Jika anda melihat dari sudut atas tepi akan melihat gambar tengah, sementara jika anda melihat dari tepi pula akan melihat paling kanan.

Jika apa yang ditulis oleh Monroe dan kajian yang dilakukan oleh CIA itu dijadikan hujah, nampaknya kebenaran itu bersifat relatif mengikut perspektif masing-masing yang dipengaruhi oleh kepercayaan, sistem nilai dan sebagainya. Seorang yang ateis mungkin tidak ada masalah mengakui ini, tetapi ia mungkin sukar bagi seseorang yang menganggap hanya agamanya sahaja satu-satunya yang benar. Ya, saya tujukan ini kepada penganut agama Islam. 

Boleh baca juga mengapa saya katakan fenomena luar biasa tidak boleh dijadikan ukuran kebenaran hakiki di entri ini (Keajaiban atau fenomena luar biasa bukan ukuran kebenaran). Ingin saya tambah orang Kristian juga selalu mendakwa ramai yang menukar agama daripada Islam kepada Kristian selepas bermimpi berjumpa dengan Mary dan Jesus. Saya memberi the benefit of the doubt dan percaya ada yang benar-benar bermimpi seperti itu.


Ulasan

Catatan Popular Terpilih

Siri 3: Keindahan ateisme, penentuan sendiri tujuan hidup

Siri 2: Keindahan ateisme, memperakui kepelbagaian, hak manusia untuk berfikir

Masyarakat barat yang sentiasa ingin tahu