Tuhan berdevolusi menjadi manusia, manusia berevolusi menjadi tuhan



Saya memahami mengapa kebanyakan Muslim tidak mempercayai teori evolusi Darwin yang mengatakan manusia dan monyet itu mempunyai leluhur sepunya (common anchestor). Saya sekarang pun sedang membaca buku dan artikel serta menonton apa sahaja yang berkaitan dengan evolusi ini. Kita mahu mempercayai bahawa kita adalah makhluk istimewa yang dicipta untuk mempunyai tujuan hidup di dunia ini. Sekiranya sesuatu itu terjadi secara random atau rawak, mana mungkin manusia itu istimewa dan tuhan itu tidak wujud.

Dalam entri saya bertajuk Meneroka idea-idea penciptaan manusia, saya menyentuh sedikit tentang kewujudan teori yang bertentangan dengan teori evolusi oleh Darwin iaitu Intelligent Design. Mengikut Intelligent Design (ID), kejadian manusia dikatakan bukan berevolusi daripada proses pemilihan semula jadi tetapi berlaku disebabkan reka bentuk pintar. Walaupun pendokong ID yang mendokong sains tidak secara langsung menyebut tuhan, secara tidak langsung sesuatu reka bentuk pintar memerlukan pencipta atau dalam bahasa lain tuhan.

Hujah lain yang dibawa oleh pendokong ID adalah kejadian Letusan Kambria (Cambrian Explosion) yang terjadi kira-kira 541 juta tahun lalu. Letusan ini membawa kepada kewujudan pelbagai organisma multisel kompleks yang boleh dilihat dalam rekod fosil. Sebelum Letusan Kambria, kehidupan di bumi dikatakan terdiri daripada organisma satu sel dan mudah seperti bakteria, alga, dan organisma multisel primitif lain. Letusan Kambria membawa kepada kewujudan spesis dengan badan yang komplek termasuk daripada kumpulan utama ikan, serangga, burung, reptilia, mamalia dan manusia.

Manusia berevolusi menjadi tuhan

Bagaimana jika memang benar evolusi itu berlaku tapi ia daripada superior being aka makhluk yang seperti tuhan menjadi manusia moden seperti sekarang? Ia cuma satu idea yang saya terfikir selepas membaca dan menonton banyak subjek berkaitan evolusi, manusia sebagai tuhan dan sebagainya. 

Bagaimana jika kita salah tentang konsep tuhan? Dalam buku The Evolution of God, penulis Robert Wright menulis bahawa konsep tuhan itu berevolusi. Contohnya masyarakat primitif yang memburu dan mengumpul hasil hutan pada mulanya percaya kepada kepercayaan animisme yang mempercayai semua benda sama ada hidup atau tidak hidup mempunyai roh dan sewajarnya dihormati. Cuma dari mana roh itu datang kalau bukan daripada sumber yang satu, sumber yang mungkin kita panggil pencipta atau tuhan kerana daripadanya terjadinya sesuatu.

Dalam agama Kristian, manusia dikatakan dicipta daripada imej tuhan (Genesis 1:27). Jadi tidak terkejut saya jika sekarang ini terdapat gerakan-gerakan kerohanian, terutamanya di Barat, yang mempromosikan cara untuk mengangkat atau menjadikan diri kita tuhan dengan meneroka perkara-perkara dan pengetahuan occult dan mistik seperti projeksi astral, keluar dari jasad, dan kitab-kitab lama yang berasal dari Tibet.

Sebenarnya ia bukan suatu idea yang baharu. dalam Panteisme dan kepercayaan lama Melayu saya ada tulis sedikit. Begitu juga dalam Permainan sembunyi tuhan, bagaimana manusia itu sengaja melupakan asal-usul dirinya sendiri untuk menjadikan permainan di dunia ini lebih menarik.

Kelebihan unik manusia berimaginasi dan bertindak ke arahnya

Berbanding semua organisma lain, manusia mempunyai kelebihan unik dapat berfikir secara rasional, mempunyai kesedaran tentang dirinya, boleh beradaptasi dengan persekitarannya, berkomunikasi dengan bahasanya dan menghasilkan seni kreatif yang tinggi dan indah. 

Oleh itu tidak menghairankan kenapa dari dulu sehingga sekarang manusia berimaginasi menjadi tuhan. Sudah banyak buku dan literatur termasuk filem dan sebagainya yang mengimaginasikan manusia itu seperti tuhan atau memberikan sifat manusia kepada tuhan. Lihat sahaja tuhan-tuhan zaman Yunani yang digambarkan seperti manusia, mempunyai keinginan seks, bertubuh dan mempunyai jantina seperti manusia, bergaduh dan berkonflik serta berdendam seperti manusia, tetapi mempunyai kuasa luar biasa dan kelemahan masing-masing.

Kini manusia mencari jalan untuk mencapai kehidupan abadi atau sekurang-kurangnya meningkatkan deria semula jadi mereka dengan bantuan teknologi. Begitulah yang berlaku dengan gerakan ke arah transhumanisme yang mahu menggabungkan sifat semula jadi manusia dengan mesin dan teknologi. Terdapat desas-desus yang sudah ada teknologi seperti medbed atau katil atau tempat baring yang membolehkan segala macam penyakit manusia itu dirawat dan organnya diperbaharui. Cuma menunggu masa untuk diperlihatkan kepada umum. Konsep medbed ini sudah pun dipopularkan dalam filem-filem fiksyen sains. Dengan mesin ini, manusia dikatakan akan dapat memanjangkan hayat kehidupannya tanpa perlu takut kepada penyakit dan hari tua.

Adakah pencarian manusia untuk menjadi tuhan akan berjaya satu hari nanti? Jika fikiran anda tidak dihadkan oleh kongkongan agama, kenapa tidak? Tiada had dalam imaginasi manusia. 

Ulasan

Catatan Popular Terpilih

Siri 3: Keindahan ateisme, penentuan sendiri tujuan hidup

Siri 2: Keindahan ateisme, memperakui kepelbagaian, hak manusia untuk berfikir

Masyarakat barat yang sentiasa ingin tahu