Masyarakat barat yang sentiasa ingin tahu

Walaupun sudah keluar dari Islam, saya terpaksa pergi ke masjid untuk sembahyang Jumaat semasa bekerja. Tidak kisah pun sebab masa ini digunakan untuk berehat dan tidur terutama ketika khutbah Jumaat yang membosankan dan penuh retorik. Beberapa minggu lalu, terdapat satu kuliah atau ceramah pendek dibuat oleh seorang ustaz yang dengan bangganya menceritakan kisah rakannya tesis PhDnya berkaitan Khalifah Umar ditolak oleh penyelianya dari sebuah universiti di Amerika Syarikat.

Dikatakan oleh si ustaz bahawa punca penolakan adalah kerana profesor itu, yang juga seorang Yahudi, mengatakan dia boleh membaca kisah Umar itu dalam buku sejarah, dengan secara tidak langsung bermakna tiada apa pengetahuan baharu yang dibawa oleh tesis itu berbanding buku sejarah. Ustaz itu berkata apa yang profesor Yahudi itu mahukan adalah sesuatu yang mempersoalkan atau mencari kelemahan Umar dan rakannya itu telah melakukan suatu yang "berani" kerana tidak tunduk kepada kehendak profesor Yahudi itu yang akan memalukan Islam.

Sesuatu yang menarik diakui oleh si Ustaz ialah berkata orang barat mengkaji Islam dengan fikiran kritis untuk mencari kelemahannya. Dan perkara ini bukanlah sesuatu yang digemari oleh ustaz itu kerana bagi dia, agama Islam itu sudah sempurna tanpa cacat cela. Oleh itu sesuatu pengkajian teliti itu, sekali pun melihat pada kelemahan dan aspek negatif, tidak digalakkan malah dilarang. Bagaimana kita hendak mengukur kebenaran sesuatu itu jika kita tidak dibenarkan atau digalakkan untuk mempersoalkannya dan mencari kelemahannya?

Pemikiran kritis tiada dalam kesarjanaan Melayu Islam

Sikap masyarakat barat yang sentiasa dahagakan ilmu dan berfikiran kritis itulah yang menjadikan tamadun mereka maju. Mereka tidak ada sempadan atau red line dalam penulisan sarjana mereka seperti yang dikatakan oleh Dr Jay seorang apologis Kristian berkaitan dengan kajian tentang Bible dan sebagainya. Dalam salurannya di YouTube, Dr Jay sering menceritakan bagaimana dia terkejut apabila mendapati semua pelajar Islam dalam sebuah kelas sejarah Islam di sebuah universiti di barat keluar dari kelas apabila pensyarah mereka menimbulkan persoalan mengenai kesahihan sejarah Islam. Bagi beliau sebagai orang barat, ia sesuatu yang pelik kerana mereka hanya mahu berbincang secara kritis.

Semasa belajar Islam, saya masih ingat bagaimana pemikiran kritis tidak digalakkan malah dilarang sama sekali. Pelajar-pelajar Melayu-Islam ditanamkan atau diindoktrinasi dalam fikiran mereka bahawa Islam itu sudah sempurna, tiada cacat cela dan sebarang persoalan tentangnya membawa erti mempertikaikan Islam dan boleh membawa kepada kufur.

Akibat daripada indoktrinasi ini kita tidak berbincang secara kritis tentang polemik negara Islam dan hudud yang masih menjadi duri dalam daging negara Malaysia yang majmuk. Kita juga tidak berbincang secara kritis tentang undang-undang Islam dan Syariah yang jelas mencipta polemik dan ketidakadilan kepada kaum wanita, dan orang bukan Islam serta mereka yang sudah tidak percaya lagi kepada Islam tetapi dikenakan undang-undang agama yang mereka sudah hilang kepercayaan. 

Apabila timbul isu pengajaran Hadis 40, apa yang mampu bagi penguasa Malaysia meredakan kebimbangan adalah dengan membawa masyarakat kepada lebih pemisahan dan perpecahan dengan mengatakan modul itu hanya akan diajar kepada pelajar Islam. Masyarakat Melayu Islam tidak berani dan tidak mampu membincangkan sendiri root cause atau isi hadis itu sendiri. Sekali lagi bagaimana kita hendak mengukur kebenaran sesuatu itu jika kita tidak dibenarkan atau digalakkan untuk mempersoalkannya dan mencari kelemahannya?

Kemajuan masyarakat bukan sahaja diukur dari segi kemajuan material mereka, dan moral mereka. Masyarakat Melayu Islam boleh mendabik dada kononnya mereka lebih bermoral daripada masyarakat barat dengan masalah sosial mereka. Tapi perlu diingat bahawa, nilai demokrasi masyarakat barat adalah lebih tinggi daripada masyarakat Melayu Islam. Mereka menjunjung nilai demokrasi itu sehinggakan golongan minoriti diberi suara. Mereka sentiasa mengingatkan masyarakat mereka agar tidak mendiskriminasikan orang lain berdasarkan agama, kaum, orientasi seks, wanita yang hamil dan sebagainya. Ini menjadikan mereka dari golongan minoriti merasakan bahawa mereka adalah sebahagian daripada negara-bangsa mereka seterusnya menyemai sikap cintakan negara dan patriotisme yang tinggi.

Masyarakat barat yang saya maksudkan bukan hanya terdiri daripada kulit putih, tetapi juga termasuk pelbagai bangsa dan warna kulit termasuk masyarakat arab dan asia yang berhijrah ke negara barat untuk mencari peluang ekonomi yang lebih baik. Sejarah telah membuktikan bahawa tamadun yang tinggi dan maju itu sendiri terdiri daripada pelbagai bangsa. Ini termasuklah tamadun barat seperti Amerika Syarikat yang dibina oleh pelbagai bangsa dan imigran dari eropah dan afrika yang bersama-sama membina negara mereka. 

Berbalik kepada kemajuan sesebuah negara bangsa, ia juga diukur dari segi pemikiran rakyatnya. Tanpa pemikiran kritis, sesebuah negara-bangsa itu tidak akan maju dan kekal menjadi negara pengguna.

Ulasan

  1. Bro mana blog abuyusuf?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Aku pun perasan blog dia hilang

      Padam
  2. Blog abuyusuf tk boleh access sejak 3-4 hari ni.. apa yg berlaku

    BalasPadam
    Balasan
    1. Dia mmg disable blog buat masa ni. Sbb ada unsur2 bakal kene report. Tu yg dia cool down dulu. Nnt dia sambung balik.


      -Jalil Md Dom

      Padam

Catat Ulasan

Catatan Popular Terpilih

Siri 3: Keindahan ateisme, penentuan sendiri tujuan hidup

Siri 2: Keindahan ateisme, memperakui kepelbagaian, hak manusia untuk berfikir