Allah bersolat dan Tuhan Kecil Si Cemburu yang mencipta dunia material menurut sumber Gnostik

Ada sebuah hadis yang amat pelik apabila dibaca. Hadisnya dikatakan dari Kitab Al Sunna oleh Abdullah bin Ahmad, vol. 1, hal. 272. 

Terjemahannya lebih kurang begini: 

Ketika Muhammad tiba di langit ketujuh sewaktu Isra dan Mi’raj, baginda bertemu dengan malaikat Jibril, yang segera berkata kepada Muhammad, "Tunggu, kerana Allah sedang solat."

Muhammad bertanya, "Apakah Allâh melakukan solat?"

Jibril menjawab, "Ya, Allah melakukan solat"

Muhammad lalu bertanya, "Mengapa Allah melakukan solat?' 

Jibril menjawab, “Memuji! Memuji Tuhan!”

Hadis ini ada dimainkan oleh pembela atau apologis Kristian dalam membuktikan yang Allah itu bukan Tuhan sebenar yang patut disembah. Tentu sekali dalam kalangan Muslim pula menyatakan yang hadis itu hanyalah rekaan untuk memburuk-burukkan Islam dan menghina Allah. Saya cuba mencari hadis itu menggunakan pautan yang diberi dalam tangkapan skrin di atas (daripada sebuah saluran Apologis Kristian) tetapi mendapat keputusan "error". Tulisan ini bukan untuk membincangkan kesahihan hadis ini, tetapi untuk membincangkan konsep Tuhan dalam Gnostik yang kalau diteliti boleh dikaitkan dengan hadis "Allah bersolat" di atas.

Keesaan Monad

Dalam Gnostik, Tuhan atau Monad adalah Sumber, Segala-galanya, Bapa, Ibu, dll. Ia Roh yang wujud sebelum segala-gala penciptaan dan mengandungi segala penciptaan. "Mon" dalam bahasa Yunani bermakna esa atau satu. Monad tidak dapat dibayangkan kerana ia sentiasa ada dan wujud tanpa mengikut ukuran unit masa, dan tidak ada sesuatu pun sebelumnya. 

Ahli falsafah gnostik awal Kristian seperti Valentinus berkata Monad adalah sumber tertinggi bagi Pleroma, iaitu alam kerohanian. Monad mempunyai minda kecerdasan yang luas dan tinggi, lebih luas daripada semua minda manusia dan lain-lain.  

Segala sesuatu yang wujud dalam penciptaan "berkembang" daripada Monad dalam bentuk emanasi. Disebabkan emanasi (konsep yang akan dibincangkan kemudian), tiada siapa dan tiada satu pun yang dapat memahami keseluruhan konsep Keesaan Monad. Monad adalah kesemuanya baik, dalam erti kata "baik" dalam konsep kita. Ia tidak mempunyai kejahatan. Baik dan jahat adalah konsep yang terbentuk selepas emanasi dan penciptaan.

Emanasi (emanation) adalah teori kosmologi atau falsafah bahawa semua benda "mengalir" daripada satu prinsip atau realiti asas. Perkataan emanasi diambil daripada bahasa Latin "emanare" yang bermaksud "mengalir dari" atau "terpancar keluar." Emanasi bertentangan dengan konsep penciptaan kerana emanasi bermaksud segala-galanya wujud bukan "dicipta" daripada tiada. Dengan kata lain konsep emanasi adalah Monad memancarkan zatnya yang menyebabkan sesuatu tercipta, sementara dalam konsep penciptaan, Tuhan terlibat langsung dalam "menciptakan" sesuatu daripada tiada. 

Emanasi Aeon

Disebabkan Monad mempunyai kecerdasan yang tinggi dan luas, ia tidak berehat tapi berfikir.  Dalam kebanyakan teks Gnostik mengatakan bahawa Fikiran (Thought) terpancar daripada "minda" Monad. Fikiran-fikiran ini yang terpancar daripada "minda" Monad dipanggil Aeon. Aeon-Aeon ini boleh wujud sendiri dan tahu akan kewujudan mereka. Mereka juga memuliakan dan memuji Monad dan Aeon yang "melahirkan" mereka (iaitu Aeon yang wujud sebelum mereka). Memuji dan memuliakan di sini tidak semestinya secara penyembahan seperti solat tetapi melahirkan terima kasih kerana diciptakan.

Mengikut hierarki, semakin awal Aeon itu tercipta, maka semakin dekat dia dengan Monad dan semakin kuat pertalian dan pengetahuannya tentang Monad. Sementara itu semakin jauh Aeon atau Emanasi lain, semakin lemah pertalian mereka dengan Monad dan semakin lemah pengetahuan mereka tentang Tuhan sebenar atau Monad.

Setiap Aeon tercipta secara berpasangan, maskulin dan feminin. Aeon pertama yang tercipta adalah Barbelo dengan ciri-ciri Pengetahuan Awal (Foreknowledge), Tidak Boleh Musnah (Indestructability), Kehidupan Abadi (Eternal Life) dan Kebenaran (Truth). Selepas tu bertambah lagi Aeon-Aeon lain yang wujud dalam Pleroma dan mereka juga boleh berkembang dengan ciri-ciri unik sendiri.

Terdapat pandangan berbeza tentang berapa banyak pasangan Aeon yang tercipta. Ada yang mengatakan 12 pasangan, ada yang mengatakan 30, dan ada juga yang menyatakan tak terhingga banyaknya. Jumlahnya tidak penting kerana kita hanya perlu tahu apa Aeon itu, ia adalah emanasi daripada Roh yang tinggal di Alam Kerohanian atau Pleroma. Aeon ini mengandungi pengetahuan atau Gnosis tentang Monad dan ciri-ciri mereka adalah ciri-ciri Tuhan.

Bagaimanapun seperti yang dikatakan sebelum ini, semakin jauh Aeon itu maka semakin lemah pertaliannya dan pengetahuannya tentang Monad. Ini mewujudkan "herotan" atau "gangguan".

Aeon Sofia dan Tuhan Kecil

Aeon terakhir yang tercipta dipanggil Sofia. Sofia mempunyai ciri Kebijaksanaan. Sofia, Aeon yang paling bawah, mahu berfikir sendiri tanpa perlu kepada Monad dan tanpa kebenaran pasangan maskulinnya. Fikirannya mencetuskan Tuhan Kecil. Namun kerana Sofia bertindak sendirian, Tuhan Kecil yang diciptanya tidak sempurna dan hodoh.

Sofia berasa sangat malu dengan ciptaannya. Dia memanggil Tuhan Kecil itu Yaldabaoth dan membuangnya keluar daripada Pleroma. Di luar Pleroma, Yaldabaoth membuat dunianya sendiri. Disebabkan Yaldabaoth sendiri datang daripada dunia kerohanian Pleroma, dia mempunyai ingatan sedikit tentang Pleroma dan mencipta dunianya mengikut apa yang dia ingat tentang Pleroma.

Dunia Yaldabaoth adalah seperti replika dunia sempurna Pleroma. Tetapi dunia yang dicipta Yaldabaoth tidak sempurna, penuh dengan korupsi, kejahatan, dan kemerosotan. Dunia ini adalah dunia material yang kita tinggal sekarang.

Yaldabaoth juga sangat kagum dengan ciptaannya sendiri. Dia mengumumkan, "Aku seorang Tuhan yang cemburu. Tiada Tuhan lain selain aku."

Sikap angkuh Yaldaboath ini menganggu Sofia. Apakah yang akan Sofia lakukan? Saya akan sambung lagi ceritanya akan datang.

Nota 

Cerita ini diambil dan diolah daripada Gnosticism: From Nag Hammadi to the Gospel of Judas oleh Prof David Brakke, Wespenrevideos.com dan Wikipedia serta sumber internet lain.


Ulasan

Catatan Popular Terpilih

Siri 3: Keindahan ateisme, penentuan sendiri tujuan hidup

Siri 2: Keindahan ateisme, memperakui kepelbagaian, hak manusia untuk berfikir

Masyarakat barat yang sentiasa ingin tahu