Keajaiban atau fenomena luar biasa bukan ukuran kebenaran

Dalam interaksi dan pengamatan saya, kebanyakan orang menggunakan keajaiban atau fenomena luar biasa sebagai ukuran untuk mengatakan sesuatu agama itu sebenar. Dalam bahasa inggeris kejadian ini dipanggil "miracle" atau kejadian ajaib yang tidak dapat diterangkan oleh sains atau peraturan alami yang dikaitkan dengan unsur-unsur keagamaan dan kepercayaan kepada kuasa tuhan. 

Ada beberapa contoh keajaiban yang membawa kepada seseorang itu menjadi lebih dekat kepada agama mereka atau pun menganut agama yang bukan agama lahir mereka. Penyanyi Cat Stevens contohnya berkata dia masuk Islam selepas selamat daripada lemas dengan meminta tolong daripada tuhan. Tapi sebenarnya dalam Kristian juga banyak keajaiban atau fenomena luar biasa. 

Keajaiban matahari menari di Fatima

Gambar orang ramai melihat keajaiban matahari menari di Fatima, Portugal, pada 13 Oktober 1917 (Sumber daripada akhbar Portugal OSeculo)

Salah satu yang saya baca adalah insiden Matahari Menari yang berlaku di sebuah bandar kecil bernama Fatima, di Portugal pada 13 Oktober 1917. Sebelum kejadian ini, dikatakan tiga orang anak pengembala yang tinggal di bandar kecil itu memberitahu mereka melihat jelmaan malaikat dan jelmaan Maryam (Virgin Mary) beberapa kali sejak beberapa bulan tahun sebelumnya. Sehinggalah pada Mei 1917, mereka berkata jelmaan Maryam berkata kepada anak kecil ini bahawa akan berlaku keajaiban pada 13 Oktober dan meminta mereka memberitahu orang lain untuk melihatnya agar semua orang akan "percaya".

Cerita anak pengembala ini dilaporkan oleh akbhar dan pada 13 Oktober 1917, dianggarkan hampir 40,000 hingga 100,000 orang berkumpul di Fatima untuk melihat keajaiban yang dijanjikan oleh jelmaan Maryam itu. Menurut saksi, pada hari itu mereka melihat matahari seolah-olah menari di langit, dengan berpusing dan bertukar warna sebelum kelihatan seperti jatuh menjunam. Fenomena luar biasa ini dikatakan berlaku lebih kurang 10 minit sebelum keadaan kembali seperti biasa.

Gereja Katolik mengiktiraf kejadian ini sebagai keajaiban pada tahun 1930. Sebuah gereja kecil dibina di Fatima berdekatan dengan tempat kejadian dan dihadiri ramai orang. Sementara itu, Pope Pius XII mengiktiraf jelmaan-jelmaan di Fatima pada tahun 1940. Pada tahun 2017, Pope Francis mengiktiraf keajiban ini dengan kanonisasi (dianggap santos atau orang suci) dua daripada tiga anak kecil yang melihat jelmaan Fatima ini. 

Meskipun beribu-ribu orang percaya kepada keajaiban ini sebagai bukti kebenaran agama Kristian, terdapat juga ramai yang tidak mempercayainya dengan pelbagai alasan dan penerangan seperti fenomena atmosfera atau ilusi optik dan sebagainya. Pengkritik berkata ia adalah mainan minda kerana mereka yang berkumpul di tempat itu pada hari itu mengharapkan melihat keajaiban. Mereka menambah bahawa terdapat banyak percanggahan dalam kalangan saksi berkenaan kejadian pada hari tu. Selain itu, kejadian matahari menari itu tidak dilihat di balai cerap dan tempat lain.

Di bawah satu video tentang contoh matahari yang kelihatan berubah-rubah dan berpusing yang direkodkan dan dimuatkan di YouTube. Ia agak baru dalam 9 tahun lepas dan bukan berkaitan dengan kejadian di Fatima pada tahun 1917.


Teori simulasi bersifat tempatan

Lalu kalau benar kejadian di bandar kecil Fatima itu berlaku adakah ia menunjukkan agama Kristian Katolik itu agama yang benar? 

Saya sebenarnya tertarik dengan penjelasan salah seorang penulis dan penyelidik kronologi sejarah bernama Jason Breshears yang mempunyai saluran YouTube sendiri yang anda boleh layari di https://www.youtube.com/@Archaix138

Beliau telah menemui beberapa lagi kejadian atau fenomena luar biasa di langit dalam sejarah di bandar-bandar Eropah seperti di Nuremberg dan di Norway. Kejadian-kejadian ini direkodkan dalam bahan bertulis tempatan tetapi tidak dilihat di tempat lain. Teori beliau adalah kita sebenarnya hidup dalam satu simulasi dan dikawal oleh kecerdasan buatan. Dan setiap experience atau pengalaman seseorang itu boleh diberikan oleh sistem ini tanpa dirasai oleh orang lain.

Sebenarnya ini juga mengingatkan saya tentang kejadian NDE atau Pengalaman Nyaris Mati yang setiap orang yang mengalaminya mempunyai pengalaman yang berbeza mengikut fahaman agama dan kepercayaan masing-masing. Adakah kita sebenarnya hidup dalam satu simulasi? Sebenarnya saya pun masih membaca mengenai ini dan ada juga sebenarnya ahli sains yang mempunyai pendapat yang sama. Malah Elon Musk juga pernah melontarkan persoalan yang sama.

Berbalik kepada isu awal yang ingin saya tulis, sesuatu keajaiban atau fenomena luar biasa itu tidak semestinya boleh dijadikan ukuran untuk kebenaran sesuatu. Saya berpendapat alam ini bersifat misteri dan masih terlalu banyak yang kita tidak tahu. Malah pernah saya jumpa satu seseorang menulis ada jin yang hanya takut dengan simbol salib Kristian, bukan ayat Quran di sesetengah tempat di Mesir. Saya tak tahulah kerana saya belum pernah jumpa jin.

Ulasan

Catatan Popular Terpilih

Siri 3: Keindahan ateisme, penentuan sendiri tujuan hidup

Siri 2: Keindahan ateisme, memperakui kepelbagaian, hak manusia untuk berfikir

Masyarakat barat yang sentiasa ingin tahu