Siri 2: Keindahan ateisme, memperakui kepelbagaian, hak manusia untuk berfikir

Apakah tujuan hidup kita di dunia? Naratif Islam standard akan menjawab tujuan manusia hidup di dunia adalah untuk mengabdikan diri kepada penciptanya iaitu Allah selaras dengan Quran 51: 56.  Naratif standardnya yang mudah pula ialah untuk mendapat habuan syurga kelak dengan menikmati bidadari dan melakukan apa sahaja yang diharamkan ketika hidup di dunia ini. 

Naratif Islam standard atau SIN (standard Islamic narrative) ini membayangi setiap tindakan Muslim, dan membentuk pandangan hidup mereka. Dengan kata lain, tujuan hidup, kehidupan dan apa sahaja di dunia ini bagi seorang Muslim adalah untuk tidak membuat Allah murka dan untuk mendapat keredaannya. Kerana jika Allah murka, dia akan dicampak dalam api neraka. Ideologi Islam, dan pemerintahan Islam wajib ditegakkan untuk membersihkan dunia ini daripada kemungkaran. Ditambah pula dengan ayat-ayat Quran dan Hadith, ia membentuk minda 'Us vs Them' iaitu antara Muslim lawan Kafir. Begitulah naratif yang ditanam dalam minda Muslim sejak dari kecil.

Sebenarnya inilah antara banyak perkara yang mengganggu pemikiran saya tentang Islam, iaitu pemaksaan ke atas manusia, dan tanggapan bahawa semua manusia itu sama. Padahal sifat manusia itu adalah pelbagai dan beraneka ragam. Malah Muhammad sendiri mengaku pada akhir zaman nanti umat Islam akan berpecah kepada lebih 70 golongan, dan kononnya hanya satu yang benar. Naratif ini yang membuat ramai Muslim menjadi ekstrem kerana pada mereka Islam yang betul itu adalah seperti mengamalkan Islam pada zaman Muhammad iaitu pada kurun ke-7. 

Mempersoalkan SIN, mencari justifikasi

Bibit-bibit awal saya menyoal SIN sebenarnya bermula lebih awal di sekolah menengah dengan pendedahan daripada artikel-artikel tulisan Astora Jabat pada setiap hari Ahad. Persoalan yang dibawa oleh Astora membawa pandangan segar dan baharu kepada saya mengenai aurat, azab kubur dan hukum hudud. 

Pada masa itu juga keadaan politik negara panas dengan mainan politik hudud PAS dan respons yang diberikan oleh pihak kerajaan UMNO dan Barisan Nasional. Saya tidak bersetuju dengan pelaksanaan hudud di Malaysia kerana negara yang mempunyai masyarakat majmuk yang berbilang bangsa dan agama. Justifikasi saya adalah walaupun Muhammad melaksanakan Islam di Madinah dengan kewujudan masyarakat Muslim dan Yahudi, mengapa akhirnya kaum Yahudi dihalau keluar, dan berlaku pemelukan Islam secara total di Tanah Arab sehinggalah ke hari ini.

Cubaan mempelbagaikan agama melalui Islam progresif dan Islam liberal

Sebenarnya terdapat beberapa cubaan mempelbagaikan Islam pada zaman moden ini. Ini termasuklah kemunculan gerakan Islam Progresif dan Islam Liberal, terutama di negara-negara Barat. Gerakan progresif dan liberal ini menentang SIN di samping membincangkan subjek tabo dan sensitif dalam Islam seperti seksualiti, LGBT, hak sivil, kesamarataan, sekularisme dan penafsiran semula sumber Islam seperti Quran. Walau pun ia bukan perkara baharu, perbincangan mengenainya lebih menonjol kerana teknologi internet seperti blog yang mula popular pada awal tahun 2000. Saya mula membaca artikel-artikel Islam Progresif dan Islam Liberal dalam MuslimWakeUp sekitar tahun 2004. Pada tahun 2005 pula berlaku satu kegemparan apabila seorang ahli teologi Islam wanita Dr Amina Wadud menjadi imam solat Jumaat di Amerika Syarikat bersama makmum yang bercampur lelaki dan perempuan. 

Tindakan Amina menjadi imam menarik perhatian saya dengan harapan mungkin Islam itu boleh menerima pentafsiran amalan yang lebih inklusif, progresif dan pelbagai. Namun, gerakan Islam Progresif dan Islam Liberal hanya menarik segelintir Muslim sahaja, kerana kongkongan penjara minda bahawa Islam seperti ini "bukan Islam yang sebenar". Pada pandangan saya, mereka tidak dapat bertahan lama kerana ideologi Islam progresif dan Islam liberal ini tidak mempunyai asas sumber yang kuat untuk melawan Islam jenis salafi dan wahabi. Macam mana mahu melawan jika asas sumber rujukan adalah mengikut SIN. Lawan web MuslimWakeUp berkubur pada tahun 2008. Sementara Amina, setelah dikritik hebat, kini mengajar di Indonesia dan mengehadkan aktivismenya pada diskusi akademik golongan queer Muslim.

Yahudi ateis boleh, mengapa tidak Muslim ateis?

Gambar: The Triumph of Judas Maccabeus

Baru-baru ini saya mengikuti sambutan perayaan Hanukkah, iaitu perayaan orang Yahudi yang memperingati kemenangan pemberontakan Yahudi Maccabee ke atas tentera Greek yang cuba menghapuskan identiti masyarkat Yahudi di Jerusalem pada abad ke-2 BCE (iaitu sebelum bermulanya kalendar yang menggunakan tahun kelahiran Jesus).  Dalam agama Yahudi, mereka boleh menerima Yahudi ateis. Yahudi ateis merujuk kepada orang Yahudi yang masih mengamalkan budaya Yahudi. Mereka tidak menolak kemungkinan wujud tuhan tetapi tidak percaya bahawa keimanan atau kepercayaan kepada tuhan merupakan bahagian penting dalam hidup mereka. Dalam satu kajian oleh institut penyelidikan di AS, Pew Research Center, mereka mendapati 66 peratus daripada Yahudi Amerika tidak percaya kepercayaan kepada tuhan itu penting untuk menjadi seorang Yahudi. 

Banyak lagi aspek positif daripada ajaran Yahudi yang saya dapati. Seperti Islam, mereka juga pelbagai dan ada yang tidak mempunyai konsep syaitan yang menggoda manusia, dunia ini adalah syurga yang sebenar dan oleh itu manusia perlu menggunakan kehidupan di dunia ini dengan sebaik-baiknya, serta konsep syurga dan neraka yang tidak ada atau tidak penting dalam Yahudi. Tidak seperti Muslim dan Kristian, orang Yahudi tidak mengembangkan agama atau ajaran mereka.

Terlintas di fikiran saya, adakah kerana falsafah agama Yahudi ini yang menjadikan bangsa mereka maju dan dicemburui oleh orang lain? Dengan asas ajaran yang tidak menekankan kepada paksaan dan memperakui kepelbagaian, bangsa mereka menjadi maju dan tidak terikat dengan kerigidan. Jika ateisme adalah satu agama, ia sebenarnya amat fleksibel, memperakui kerencaman manusia dan menggalakkan manusia untuk berfikir. Malah untuk menjadi seorang ateis, anda tidak perlu menafikan kewujudan tuhan. Seorang ateis cuma tidak memperakui kewujudan tuhan yang dikaitkan dengan agama tertentu. Seperti yang saya tulis sebelum ini, ada sekurang-kurangnya enam jenis ateis yang dikenal pasti. 

Dr Richard Dawkins, seorang pengkritik agama menyatakan sebab beliau menentang agama kerana dua perkara, iaitu kerana agama merupakan sumber konflik dan justifikasi untuk percaya kepada sesuatu tanpa bukti. Beliau menganggap kepercayaan yang tidak berdasarkan kepada bukti sebagai "one of the world's great evils" (salah satu sumber kejahatan terhebat di dunia). Berbeza dengan agama, ateisme bukan satu kepercayaan, jadinya manusia yang ateis bebas untuk berfikir dengan mengambil kira bukti dan reason atau logik dan bukti.

Bersambung

Siri Keindahan ateisme

Siri 1: Keindahan ateisme, pembebasan daripada penjara minda Islam

Siri 2: Keindahan ateisme, memperakui kepelbagaian, hak manusia untuk berfikir

Siri 3: Keindahan ateisme, penentuan sendiri tujuan hidup


Ulasan

  1. Atheists do not believe that life is inherently purposeful or meaningful, and following from this they do not believe that morality is an intrinsic property of the universe. Atheists see the universe as indifferent to the living creatures that have evolved within it.

    READ: GO DIE.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Atheists do not accept fairytales as truth, as it should be, and you shouldn't too. When a fairytale says that morality is like this, we should still acknowledge that it comes from a fairytale.

      Padam
  2. Islam memang sudah sepakat dengan kebebasan berfikir.

    Menurut pandangan Islam, seseorang Muslim juga mempunyai hak dan ia harus menerima iktikad-iktikad dan usuluddin (tauhid, keadilan, kenabian dan imamah) untuk dirinya dengan cara berfikir dan berargumen. Ketika ada masalah sampai ke fikirannya, dia ada hak untuk mengajukannya kepada pakar sehingga permasalahannya diselesaikan.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Bagaimana kalau masalah tu tak diselesaikan sebab takda penyelesaian?

      Padam

Catat Ulasan

Catatan Popular Terpilih

Siri 3: Keindahan ateisme, penentuan sendiri tujuan hidup

Masyarakat barat yang sentiasa ingin tahu