Mentega Terbang: Provokasi yang perlu


Kecoh umat Melayu Muslim Malaysia dengan filem indie Mentega Terbang. Mereka yang kecoh ini termasuk parti politik tunggang agama PAS, pertubuhan-pertubuhan ultra Islam, individu, dan warga maya di media sosial. Mereka mendakwa filem Mentega Terbang mempunyai agenda untuk memurtadkan Muslim, menggalakkan liberalisme dan pluralisme agama. Filem Mentega Terbang ini hanya ditayangkan di platfrom dalam talian, dan kebanyakan mereka yang kecoh ini tak tonton pun filem itu pun cuma nampak klip-klip video pendek.

Filem indie arahan Khairi Anwar ini mula ditayangkan pada tahun 2021 untuk tontonan terhad. Ia juga ditayangkan dalam festival filem di Indonesia dan di Universiti Malaya sebelum ini. Kontroversinya bermula apabila mula ditayangkan kepada umum pada platform penstriman Viu sejak bulan Februari. Selepas itu ada viral klip-klip video pendek berkenaan watak Muslim yang memegang anjing, dialog tak kisah makan babi, minum air holy water dan tentang reinkarnasi atau kelahiran semula.  Akibat protes puak-puak Islamis dan Melayu ini, Viu terpaksa mengeluarkan filem itu daripada platformnya. Bagaimanapun jika anda pandai mencari, filem itu boleh ditonton secara online pada platform penstriman lain. 

Rama-rama simbol bukti kelahiran semula

Tajuk filem Mentega Terbang merupakan terjemahan literal Butter-Fly kepada bahasa Melayu (butter mentega dan fly terbang). Saya belum menonton filem ini lagi yang dikatakan mengandungi tema reinkarnasi atau kelahiran semula. Oleh itu saya tidak boleh mengulas mengenai jalan cerita atau plotnya. Cuma terdapat penggunaan simbolisme rama-rama yang dibayangkan secara tidak langsung sebagai bentuk reinkarnasi ibu yang telah meninggal dunia kepada watak utama filem yang bernama Aisyah. 

Tapi tahukah anda bahawa rama-rama merupakan bukti kelahiran semula dan kehidupan selepas mati? Seorang ahli biologi, profesor dan penulis buku biologi dan alam semula jadi Prof Emeritus Dr Bernd Heinrich dari Amerika Syarikat berpendapat perubahan radikal daripada beluncas kepada rama-rama melibatkan kematian dan kelahiran semula. Ini kerana beluncas dan rama-rama merupakan dua organisma yang berbeza. Anda boleh baca penerangannya dalam artikel di NPR ini (Are Butterflies Two Different Animals in One? The Death And Resurrection Theory). Tapi Heinrich membandingkan proses pertukaran ini seperti haiwan mitos Chimera yang terdapat dua haiwan dalam satu badan. Semasa beluncas, DNA bagi rama-rama tidak diaktifkan. Apabila beluncas mati, DNA rama-rama diaktifkan. 

Proses transformasi daripada beluncas kepada rama-rama menjadi metafora makhluk yang terhad pergerakannya seperti ulat dilahirkan semula menjadi rama-rama yang boleh terbang ke mana-mana.  Rama-rama sebagai simbol reinkarnasi dan kelahiran semula juga digunakan dalam beberapa budaya masyarakat seperti dalam Yunani Purba, dan Orang Asli Amerika. Dalam mitologi Yunani, rama-rama dikaitkan dengan roh yang menjadi rama-rama selepas ia mati. Dalam kepercayaan masyarakat Hopi Amerika, rama-rama merupakan roh mereka yang meninggal dunia yang datang melawat keluarga mereka yang masih hidup.

Saya bukan ingin memaksa orang lain untuk menerima konsep reinkarnasi ini tapi kita wajar berfikiran terbuka. Dalam ajaran sufi, ada fahaman mengenai roh-roh yang berpindah dari satu badan ke badan yang lain. Begitu juga beberapa aliran yang berasal dari Islam seperti Ahmadiah dan Druze mempercayai bentuk tertentu reinkarnasi. Sebenarnya banyak benda yang kelabu terutamanya berkaitan roh dalam Islam sendiri. Lihat entri lain blog ini tentang persoalan roh dan selepas mati di pautan di bawah:

Soalan tentang roh yang memalukan Muhammad

Kemangkatan Ratu Elizabeth II, ke mana kita selepas mati?

Islam pembantut perkembangan karya kreatif

Satu kenyataan yang dikeluarkan oleh 42 pihak, termasuk  Persatuan Aliran Kesedaran Negara (Aliran), Amnesty International Malaysia, Freedom Film Network, Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (Gerak), Justice for Sisters, Iman Research, Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), ahli akademik Zaharom Nain, penerbit filem Zarul Albakri, pelakon Iedil Dzuhrie Alaudin, penulis Faisal Tehrani, pencipta lagu Azmyl Yunor dan banyak lagi meminta agar kerajaan Malaysia tidak melakukan 'witch hunt' atau memburu mereka yang terlibat dalam pembikinan filem Mentega Terbang ini berikutan desakan Muslim di Malaysia yang terlalu cepat koyak. Mereka juga berkata karya kreatif seperti filem tidak patut diletakkan di bawah nasihat pendeta agama Islam (pendeta agama Islam perkataan saya sendiri).

Saya tertarik membaca salah satu komen daripada seorang pelakon Diana Danielle: “Berdasarkan isu filem yang tengah hangat diperdebatkan… Sebagai muslim we are bound by certain principles. You don’t have to agree and understand. It is just beyond our choice." (Ayat ditebalkan oleh saya sendiri). Selanjutnya beliau berkata isunya bukan kelemahan dan minda tertutup tetapi kerana itu adalah perintah agama. Lihat ayat yang saya tebalkan "it is just beyond our choice" bermakna Islam ini tidak memberikan pilihan atau memaksa. Kenyataan beliau susulan komen-komen daripada bukan Islam dan beberapa Muslim seperti Siti Kasim yang berkata orang Islam ini takut kerana kepercayaan mereka nipis.

Pi mai pi mai tang tu, benda sama saja alasan Muslim di Malaysia ini. Kadang-kadang dah bosan. Karya kreatif pun hendak dikawal. Sebab itu bosan menonton filem-filem Melayu bila ceritanya hanya berkisar pada cinta, lawak bodoh, hantu bodoh. Apabila ada orang yang pergi di luar zon selamat, seperti dalam isu perbandingan agama dan reinkarnasi, mereka diserang kerana mempersoalkan Islam.

Provokasi mencabar dogma lapuk dan menyusahkan

Provokasi Mentega Terbang itu perlu. Ia perlu bukan sahaja untuk menyuburkan kreativiti, tetapi juga untuk menggalakkan pemikiran kritikal dan kebebasan bersuara. Provokasi terhadap agama membuatkan manusia berfikir tentang dogma, kepercayaan, dan tradisi yang berbahaya, lapuk, dan bersifat diskriminasi.

Apa kesalahan memegang anjing? Anjinglah yang digunakan untuk mencari mangsa tanah runtuh Batang Kali pada akhir tahun lepas. Dalam cerita dongeng Ashabul Kahfi, atau pemuda dan anjing yang tidur di dalam gua selama beratus tahun, watak anjing memainkan peranan penting untuk menakutkan orang daripada masuk ke gua dengan kakinya. Walau pun kelakar dan tak masuk akal tapi itulah apa yang diberitahu kepada Muslim. Dalam mazhab Maliki pun boleh menyentuh anjing. Tapi dalam masyakat Melayu Muslim di sini, anjing dianggap sebagai sesuatu yang haram disentuh seperti membawa penyakit.

Begitu juga dalam bab makanan. Dahulu ketika masih Islam, ada juga saya membaca pendapat yang mengatakan gelatin babi itu sudah tidak dikira lagi sebagai babi, dan ada yang mengharuskannya. Ada Melayu yang pergi ke luar negara, dan tidak mahu makan di kedai yang ada menu babi. Saya pernah banyak kali melalui pengalaman ini dan ia menyusahkan diri sendiri. Selalunya restoran dan tempat makan yang eksklusif menyediakan makanan halal ini jauh daripada pusat bandar dan mahal. Ia menyusahkan dan kualiti makanan mereka pun tidak seberapa. 

Dan tentang air holy water tu, siapa zaman moden ini yang percaya ia boleh menyebabkan anda menganut agama Kristian? Adakah Allah itu lemah sehinggakan boleh kalah dengan air yang dijampi dengan nama Jesus?


Ulasan

Catatan Popular Terpilih

Siri 3: Keindahan ateisme, penentuan sendiri tujuan hidup

Siri 2: Keindahan ateisme, memperakui kepelbagaian, hak manusia untuk berfikir

Masyarakat barat yang sentiasa ingin tahu