Soalan tentang roh yang memalukan Muhammad

Masyarakat Quraisy di Mekah dicatat dalam buku sejarah telah menghantar wakilnya berjumpa dengan rabbi Yahudi di Yathrib (Madinah) untuk mendapatkan pandangan alim Yahudi tentang dakwaan Muhammad mengenai kenabian dan kerasulannya.  Rabbi atau ahli agama Yahudi di Yathrib, dihormati pada masa itu kerana pengetahuan mereka yang mendalam tentang teologi dan kitab Taurat, telah memberi cadangan kepada wakil masyarakat Quraisy ini iaitu An-Nadhr ibn Al-Harith dan Uqba ibn Abi Mu'ayt, untuk bertanyakan beberapa soalan kepada Muhammad. 

Kedua-duanya An-Nadhr dan Uqba ialah musuh ketat Muhammad. An-Nadhr terutamanya sering ke bandar Al-Hirah (kini di Iraq) dan Farsi (sekarang Iran) dan selalu mendengar cerita-cerita rakyat masyarakat di sana. Dia mendakwa Muhammad menggunakan dan mengadaptasi cerita-cerita masyarakat di sana dan memasukkannya ke dalam Quran.

Tujuan soalan-soalan ini ditanya adalah untuk membuktikan kenabian dan kerasulan Muhammad. Jika Muhammad dapat menjawabnya dia arif tentang kandungan kitab Taurat, lebih-lebih lagi Muhammad mendakwa bahawa dia menyambung ajaran yang dibawa oleh Musa dan mempunyai akses kepada tuhan melalui Jibrail untuk menjawab soalan-soalan ini. Soalan yang ditanya adalah mengenai roh, kisah pemuda dan pemerintah yang mempunyai "dua tanduk". Muhammad berjanji memberi jawapan pada keesokan harinya (tanpa mengucapkan insya-Allah) tetapi tidak berbuat demikian sehinggalah hari ke-15 apabila jawapan datang yang kononnya dibawa oleh Jibril melalui wahyu dalam Surah Al-Kahfi dan Al-Isra' (untuk jawapan tentang roh). Saya membaca banyak versi soalan ini tetapi catatan ini memfokus kepada persoalan tentang roh.

Peristiwa ini dianggap memalukan Muhammad, kerana bukan sahaja jawapan yang ditagih lambat dijawab (maklumlah dahulu tiada Google pada abad ke-7) tetapi jawapan yang diberi diambil daripada cerita dongeng purbakala yang berlegar di sekitar masyarakat pada masa itu seperti kisah pemuda dari Ephesus yang tertidur yang ditolak sendiri oleh orang Kristian dan kisah mitos Zulqarnain yang diadaptasi daripada Alexander the Great, seorang raja pagan. Maklumat tentang Alexander sebagai raja pagan hanya diketahui pada zaman ini, tidak pada masa Muhammad, jadi kebanyakan komentar ulama silam dan dahulu menganggap Zulqarnain sebagai Alexander the Great. Malah dalam komentar terjemahan Abdullah Yusof Ali yang menganggap Zulqarnain sebagai Alexander the Great.

Jawapan Muhammad ini selari dengan dakwaan An-Nadr bahawa Muhammad menciplak kisah-kisah rakyat purbakala. Sementara untuk soalan tentang roh, Muhammad menjawab dengan jawapan pendek seperti mana kebanyakan Muslim pada hari ini menjawab apabila mereka tidak tahu jawapan dengan wallahuaklam atau hanya Allah yang tahu. Namun, Muhammad akhirnya dapat membalas dendam kerana dimalukan oleh dua orang ini apabila kepala kedua mereka dipenggal oleh sepupu, dan menantu Muhammad, Ali bin Abi Thalib, yang juga khalifah selepas Uthman, dalam Perang Badar.

Adakah Allah akan menyeksa dirinya sendiri di dalam neraka?

Dalam satu riwayat lain oleh bapa saudara Muhammad, Ibnu Abbas, rabbi Yahudi bertanya terus kepada Muhammad:

"Beritahu kami tentang roh dan bagaimana roh manusia itu diseksa kerana roh itu datang daripada tuhan?"

Muhammad tidak dapat menjawab soalan ini, sebaliknya memberikan jawapan standard seperti yang terkandung dalam Surah Al-Israq, ayat 85.

"Katakanlah bahawa pengetahuan tentang roh itu adalah milik Allah. Kamu hanya diberi sedikit pengetahuan mengenainya." (17: 85)

Pada saya soalan ini sepatutnya dijawab dengan panjang lebar oleh Allah dan Muhammad. Ini kerana dalam Islam sendiri menggambarkan Allah meniup rohnya ke dalam manusia untuk membolehkan manusia itu hidup seperti dalam Surah As-Sajadah, ayat 9, Surah Al-Hijr, ayat 29, Surah Saad, ayat 72, dan Surah Al-Anbiyaa, ayat 91. Selain daripada nas Quran, terdapat juga hadith yang menggambarkan proses penciptaan manusia dengan peniupan roh kepada janin.

Contoh ayat di bawah:

"Kemudian Ia menyempurnakan kejadiannya, serta meniupkan padanya: roh-Nya. Dan Ia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati, (tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur." (As-Sajadah, 32:9)

"Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya, serta Aku tiupkan padanya rohku, maka hendaklah kamu sujud kepadanya." (Al-Hijr, 15:29)

Dan secara logiknya jika roh itu datang daripada tuhan, bermakna ia sebahagian daripada tuhan, bukan ciptaannya. Lalu pertanyaan rabbi Yahudi itu ada meritnya, dengan kata lain adakah tuhan akan menyeksa dirinya sendiri di dalam neraka kerana roh manusia itu adalah sebahagian daripada tuhan itu sendiri?

Perlu dinyatakan bahawa agama Yahudi tidak mempunyai doktrin khusus tentang kehidupan selepas mati. Bermaksud ia tidak ada konsep atau penerangan tentang neraka dalam kitab dan ajaran rabbi mereka seperti dalam Islam dan Kristian. Mereka percaya bahawa manusia patut memanfaat kehidupan sekarang di dunia ini dengan sepenuhnya. Sebaliknya apabila manusia mati, roh mereka akan ditempatkan dalam satu alam sementara dan akan disatukan kembali kepada badan fizikal mereka di dunia ini apabila datang kerajaan "Messiah" mereka di mana tiada lagi perang dan kebencian. Kepercayaan ini berbeza dengan reinkarnasi apabila manusia dihidupkan berulang kali. Namun ada juga Yahudi yang mempercayai reinkanasi. Walaupun begitu konsep hidup selepas mati bukan doktrin asas dalam agama Yahudi.

Kepercayaan tentang roh

Dalam Kamus Dewan, antara takrif roh yang diberikan adalah ia bahagian batin manusia yang mempunyai perasaan, fikiran, dan lain-lain. Sains moden sehingga kini masih tidak dapat menjelaskan atau membuktikan tentang kewujudan roh. Ia sesuatu yang tidak dapat difahami kerana kita tidak dapat melihat kewujudan roh. Tapi kita tahu yang kita mempunyai kesedaran atau "conscious" tentang kewujudan kita. Ada yang menganggap kesedaran ini sebagai roh.

Dalam agama Kristian, terdapat Roh Qudus yang dianggap sebahagian daripada tuhan dalam konsep Triniti. Jadi, tuhan dalam agama Kristian juga berbentuk roh, seperti dalam kepercayaan Gnostik yang telah saya tulis sebelum ini. Yang pelik, dalam Islam, Roh Qudus digambarkan sebagai malaikat Jibril yang boleh muncul dalam bentuk manusia. Ini kerana Quran tidak menyebut dengan jelas Roh Qudus sebagai Malaikat Jibril, tetapi hanya tafsiran ulama.


 

Dalam kepercayaan moden atau new age, roh manusia itu mencapai kemuncak tertinggi apabila ia menyedari siapa diri dia yang sebenarnya. Apa pun agak panjang untuk berbicara mengenai ini dan mungkin untuk catatan akan datang.

Gambar: Roh Qudus turun sebagai burung merpati untuk menyertai dalam lukisan The Heavenly and Earthly Trinities oleh Murillo, sekitar 1677



Ulasan

Catatan Popular Terpilih

Siri 3: Keindahan ateisme, penentuan sendiri tujuan hidup

Siri 2: Keindahan ateisme, memperakui kepelbagaian, hak manusia untuk berfikir

Masyarakat barat yang sentiasa ingin tahu