Kemangkatan Ratu Elizabeth II, ke mana kita selepas kita mati?

 Ratu Elizabeth II, dari UK, dilaporkan menghembuskan nafas terakhirnya pada 8 September 2022 di kediaman diraja Balmoral Castle di Scotland. Beliau meninggal dunia pada usia 96 tahun ketika dalam pemerhatian doktor susulan kesihatan yang merosot. Dengan kematian beliau, satu pelan yang dinamakan "Operation London Bridge" dilaksanakan. 



Pintu cahaya putih 

Ke mana kita pergi selepas kita mati? Tentu bukan London Bridge :) Seorang ateis tidak percaya kehidupan selepas mati. Tapi misteri ini menarik difikirkan kerana terdapat teori yang jiwa dan roh manusia seperti tenaga tidak boleh dimusnahkan. Saya tidak mahu membincangkan tentang teori Islam tetapi melihat kepada satu teori menarik tentang Perangkap Jiwa (Soul Trap).

Menurut teori Perangkap Jiwa ini, apabila kita mati, jiwa atau kesedaran (consciousness) kita meninggalkan jasad kita. Kita akan nampak pintu cahaya putih yang seolah-olah menjemput kita untuk masuk melaluinya. 

Idea tentang pintu cahaya putih selepas mati sering dipromosikan dalam filem-filem Hollywood dan sebagainya seperti Ghost. Mereka yang pernah mengalami Pengalaman Keluar Dari Jasad (Out of Body Experiences) dan Projeksi Astral (Astral Projection) juga ada menyebut tentangnya. Pintu cahaya putih ini digambarkan sebagai pintu masuk ke syurga yang dinanti-nantikan.

Tapi mengikut teori Perangkap Jiwa, pintu cahaya putih ini adalah perangkap yang kita perlu elak daripada memasukinya.  Ini kerana apabila kita masuk melalui pintu itu, memori atau ingatan kita akan dihilangkan dan kita dilahirkan semula melalui proses reinkarnasi. Mengikut teori ini, bumi ini sebenarnya satu penjara matriks yang tidak membenarkan manusia untuk maju kepada tahap seterusnya (yang dipanggil ascension). 

Namun menurut teori ini bukan mudah untuk manusia mengelak daripada memasuki Pintu Cahaya Putih. Berbagai tipu daya dan helah digunakan untuk memperdaya manusia untuk melaluinya. Entiti yang mengawal pintu perangkap ini dikatakan akan menjelmakan orang tersayang seperti keluarga kita, tokoh agama (seperti Jesus dan entiti berupa Malaikat) untuk memujuk dan memperdaya manusia melaluinya. Mereka akan menggunakan maklumat tentang kita yang tersimpan atau direkodkan dalam pangkalan data yang dipanggil Rekod Akashik (Akashic Record).

Menurut teori ini lagi, Perangkap Jiwa ini berfungsi sebagai Grid Tenaga Artifisial yang diletakkan untuk menghalang manusia daripada keluar dari bumi ini. Jadinya, bumi ini adalah sistem tertutup dengan manusia lahir untuk tujuan kelangsungan bumi dan menjana emosi negatif yang menjadi makanan kepada Archon. Seperti yang saya tulis sebelum ini mengenai Yaldabaoth dan Archon, tuhan-tuhan kecil ini berniat jahat kepada manusia (sila baca tulisan saya tentang Gnostik 1, 2 dan 3). Seperti dalam filem Matrix, manusia diternak seperti binatang ternakan oleh entiti-entiti ini untuk dieksploitasi.

Dunia sebagai Maya

Teori Perangkap Jiwa ini sebenarnya ada persamaan dengan falsafah teologi dalam agama Buddha dan Hindu bahawa dunia ini adalah Maya atau ilusi. Mengikut mereka lagi, manusia itu akan melalui kitaran reinkarnasi atau dilahirkan semula, penderitaan dan kematian sehinggalah manusia dapat memecahkan kitaran ini dengan amalan kerohanian atau meningkatkan kesedaran (consciousness) mereka. Dalam teks Tibet Bardo Thodol (di Barat dikenali dengan The Tibetian Book of the Dead atau Kitab Kematian Tibet), yang dikatakan ditulis pada kurun ke-8, terdapat manual cara untuk bersiap sedia menghadapi kematian dan mencapai kebebasan untuk mengelakkan reinkarnasi.

Kita tidak dapat mengesahkan teori-teori ini kerana kita tidak ada testimoni daripada orang yang sudah mati dan hidup kembali. Bagaimanapun kita masih boleh mengkaji lebih lanjut teori ini berdasarkan pengalaman mereka yang nyaris mati yang dipanggil Near Death Experience atau ringkasnya NDE. Terdapat beberapa kajian dan dokumentasi yang dilakukan oleh sarjana dan penyelidik Barat mengenai NDE. Antara sarjana dan penyelidik ini adalah Dr Raymond Moody, Dr Elisabeth Kübler-Ross, Kenneth Ring, Michael Sabom, dan van Lommel. Sungguh pun ada yang menganggap NDE sebagai halusinasi, di Amerika Syarikat sahaja misalnya, lebih kurang 9 juta orang melaporkan NDE, mengikut kaji selidik yang dijalankan oleh Akademi Sains New York.

Jadi ke mana Ratu Elizabeth selepas mati? Adakah dia dilahirkan semula? Jangan terkejut kerana ada segelintir (termasuk komuniti di Barat) yang percaya jika anda mati pada hari dan masa tertentu, dengan pengetahuan rahsia seperti rahsia nombor atau gematria dan sebagainya, anda akan dilahirkan semula dalam keadaan yang lebih baik. 





Ulasan

Catatan Popular Terpilih

Siri 3: Keindahan ateisme, penentuan sendiri tujuan hidup

Siri 2: Keindahan ateisme, memperakui kepelbagaian, hak manusia untuk berfikir

Masyarakat barat yang sentiasa ingin tahu