Tuhan kecil berbadan ular dan berwajah singa dan tafsiran semula ketuhanan

Ajaran Gnostik mendakwa mendapat pengetahuan rahsia tentang Tuhan dan dunia. Tuhan kecil (kerana ada Tuhan yang lebih tinggi daripadanya) yang mencipta dunia fizikal ini dipanggil Yaldabaoth. Yaldabaoth digambarkan berbadan ular dan berwajah singa. Dia boleh mencipta kerana mencuri kuasa mencipta daripada ibunya Sofia. Baca catatan sebelum ini dan ini untuk cerita sebelumnya.


Mengikut mitos Gnostik, dan saya mengatakan mitos kerana ia satu bentuk idea keagamaan yang dipercayai sebahagian manusia tetapa tidak dapat membuktikannya, Yaldabaoth mencipta dunia ini berdasarkan gambaran dan ingatannya tentang dunia kerohanian abadi Pleroma. Dia juga mencipta pembantu-pembantunya yang diberi nama Archon.

Selepas mencipta dunia ini, Yaldabaoth dengan angkuh menganggap dirinya satu-satunya Tuhan yang layak disembah, dimuliakan, dipuji dan diagungkan. Ibunya Sofia berasa menyesal dan bekerja bersama dengan Aeon lain untuk mendapatkan kembali kuasa yang diambil oleh Yaldabaoth.

Tindakan pertama yang diambil oleh Sofia dan Barbelo adalah memberi inspirasi kepada Yaldabaoth untuk mencipta manusia. Mereka memancarkan imej manusia yang cantik bercahaya dan bersifat ketuhanan. Yaldabaoth dan pembantu-pembantunya Archon memutuskan untuk membuat manusia berdasarkan imej ini. Imej manusia bercahaya bersifat ketuhanan ini dikatakan "Christ".

Buku Rahsia John (Secret Book of John), salah satu teks Gnostik, menceritakan kejadian penciptaan manusia pertama. Selepas Yaldabaoth dan Archon mencipta manusia, ia tidak hidup. Sofia dan Barbelo menghantar makhluk yang menyamar seperti Archon untuk memperdaya agar Yaldabaoth meniup rohnya kepada manusia untuk menghidupkannya. Dan selepas Yaldabaoth meniup rohnya itu maka manusia pun hidup.

Dengan meniup rohnya, yang dicuri sebahagiannya daripada Sofia, manusia mempunyai roh Tuhan dan menjadikannya makhluk ketuhanan (divine being).  Yaldabaoth dan Archon lain menyedari manusia lebih cerdik dan lebih kuat daripada mereka kerana roh Tuhan dalam manusia.

Untuk menyembunyikan perkara ini daripada manusia, Yaldabaoth dan Archon membuat badan fizikal manusia daripada tanah dan meletakkan roh manusia di dalamnya. Dengan itu manusia tidak tahu yang dia lebih baik daripada Yaldabaoth. 

Sebagai respons Barbelo menghantar Sofia dalam bentuk Pengetahuan Awal untuk bersembunyi dalam badan manusia dan memandu manusia ke arah dunia yang abadi iaitu Pleroma. Dari sinilah bermulanya perjuangan Penyelamatan (Salvation) dalam mitos Gnostik. Sofia dan Barbelo berusaha untuk mendapatkan kembali kuasa ketuhanan yang dicuri oleh Yaldabaoth dan kini berada dalam diri manusia. Sementara itu Yaldabaoth dan pembantu-pembantunya berusaha untuk menghalang manusia daripada menyedari tentang kuasa ketuhanan yang ada dalam diri mereka dan menyembah Tuhan yang sebenar.

Tuhan Bible (dan Quran) hanya tuhan kecil

Gnostik menganggap Yaldabaoth sebagai tuhan yang disebut dalam Bible. Oleh kerana tuhan Bible ini juga dianggap oleh Muslim sebagai Allah, maka Allah juga bukan Tuhan sebenar.

Kenapa mereka menganggap tuhan Bible ini bukan tuhan sebenar?

Pertama, Tuhan yang disebut dalam Genesis (dan juga Quran) menunjukkan sifatnya yang jahil dan berniat jahat. Tuhan ini juga tidak merasa apa-apa apabila membunuh ramai manusia dengan banjir besar dan azab-azab lain kerana manusia tidak mahu menyembahnya. Ini tidak menunjukkan sifat ketuhanan.

Dalam kisah pengusiran Adam dan Hawa dari Taman Syurga (Garden of Eden), Yaldabaoth dan Archon cuba menghalang Adam dan Hawa daripada memakan buah daripada pokok gnosis. Sekiranya Adam dan Hawa memakan buah ini mereka akan mendapat kebijaksanaan dan mengenali siapa manusia itu. Marah akan perbuatan Adam dan Hawa, Yaldabaoth mengusir mereka daripada Taman Syurga.

Dalam Noh dan banjir besar, Yaldabaoth membunuh ramai manusia kerana mereka tidak mahu menyembahnya dan berkhidmat kepadanya. Sebaliknya Barbelo yang menyelamatkan manusia dengan awan (bukan bahtera seperti dalam naratif arus perdana).

Yaldabaoth juga menghantar orang suruhannya (malaikat atau the fallen angel?) untuk melakukan hubungan seks dengan wanita manusia. Ini untuk mencemari manusia dan menyebabkan manusia hilang pengetahuan tentang Tuhan yang sebenar.

Satu masa nanti saya akan menulis lebih lanjut tentang kisah-kisah di atas dalam teks Gnostik yang berbeza dengan pandangan arus perdana. Inilah kelebihannya jika kita membebaskan pemikiran daripada naratif standard Islam. Kita boleh meneroka lebih ke "territory" yang tidak berani disentuh oleh Muslim kerana takut aqidah tergugat. 

Mitos yang membentuk semula pandangan tentang Tuhan

Meskipun cerita tentang Barbelo, Sofia, Yaldabaoth dan Archon disifatkan sebagai mitos Gnostik, ia sedikit sebanyak mencabar tafsiran agama tentang Tuhan. Sekurang-kurangnya ia memberi kita perspektif baharu tentang konsep ketuhanan, dunia yang tidak sempurna dan kemungkinan manusia sebagai makhluk ketuhanan (divine being). 

Persoalannya adakah tuhan yang suka melihat manusia, yang merupakan sebahagian daripada rohnya sendiri diseksa di neraka layak dihormati sebagai tuhan? Dalam Quran banyak menyebut Allah meniup rohnya ke dalam manusia. Juga apakah jenis tuhan yang menurunkan bala dan azab ke atas manusia yang tidak mahu mematuhinya? Bukankah Tuhan yang sebenar tidak memerlukan makhluk ciptaannya memuliakannya kerana tidak memberi kesan apa-apa kepadanya. Kecuali ia makhluk yang angkuh dan jahil seperti Yaldaboath. 

Gambar: Tuhan kecil bertubuh ular dan berwajah singa dalam tulisan Gnostic oleh Bernard de Montfaucon bertajuk L'antiquité expliquée et représentée en mungkin menggambarkan Yaldabaoth.

Ulasan

Catatan Popular Terpilih

Siri 3: Keindahan ateisme, penentuan sendiri tujuan hidup

Siri 2: Keindahan ateisme, memperakui kepelbagaian, hak manusia untuk berfikir

Masyarakat barat yang sentiasa ingin tahu