Gnostikisme mengisi teka-teki agama arus perdana

 Gnostikisme (Gnosticism) ialah fenomena yang paling menarik tapi merumitkan dalam sejarah agama di dunia Barat. Ia kurang dikenali di bahagian sebelah Timur, termasuk Malaysia. Pertama kali saya membaca tentang Gnostikisme, ia menyebabkan bulu roma saya naik dan keterujaan kerana ia mengisi teka-teki dalam naratif agama arus perdana terutamanya Islam dan Kristian. Contohnya mengapakah Tuhan membiarkan Adam dan Hawa memakan buah larangan, dan kenapakah terdapat kejahatan dan penderitaan di dunia ini? Juga siapa sangka tuhan yang saya sembah selama ini berkemungkinan Lucifer atau iblis?

Ajaran Gnostikisme dipercayai tersebar pesat pada abad ke-2 dan ke-3. Meskipun ia suatu idea keagamaan yang sudah lama, istilah Gnosticism direka oleh sarjana Inggeris pada abad ke-17. Kata akarnya berasal daripada perkataan Yunani gnosis yang permaksud pengetahuan peribadi, langsung dan sebenar. Pengikut Gnostikisme lama mendakwa mempunya gnosis atau pengetahun peribadi, langsung dan sebenar tentang Tuhan.

Dalam masa lebih 75 tahun, beberapa tulisan berkaitan Gnostikisme telah muncul, daripada kodeks Nag Hammadi pada tahun 1945 sehinggalah kepada Injil Judas yang pertama kali diterbitkan pada tahun 2006. Kodeks adalah perkataan Rom yang bermaksud buku. Kodeks adalah bentuk manuskrip yang lebih baharu daripada bentuk manuskrip yang lama seperti skrol.

Kodeks Nag Hammadi


Pada tahun 1945, 13 manuskrip kuno Gnostik ditemui di Mesir. Manuskrip ini ditemui secara tidak sengaja oleh Muhammad Ali al-Samman, seorang petani Mesir yang menggali tanah untuk baja berdekatan Sungai Nil di kampung bernama Nag Hammadi. Manuskrip ini dipanggil Kodeks Nag Hammadi. 

Kebanyakan kodeks Nag Hammadi adalah berkaitan ajaran Kristian dan Yahudi kerana watak-watak seperti Adam dan Hawa serta Jesus muncul dalam hampir dalam semua teks. Namun ada juga teks datang daripada fragmen Republic yang ditulis oleh Plato.

Injil Judas

Injil Judas (Gospel of Judas) tidak ditemui di Nag Hammadi tetapi dalam Kodeks Tchacos pada akhir tahun 1970-an dalam gua kubur purba lebih kurang 35 atau 40 batu dari bandar kecil Al-Minya di Mesir. Kodeks ini banyak bertukar tangan dalam kalangan peniaga barang antik sehinggalah ia dijual kepada sebuah yayasan seni purba di Switzerland. Di bawah yayasan ini, fragmen kodeks itu dibina semula dan diterjemahkan. Pada tahun 2006, hasil terjemahan itu diterbitkan. Nama Judas itu sendiri adalah ironi kerana Judas dianggap orang yang mengkhianati Jesus dan menyebabkan Jesus disalib. Disebabkan itulah ciri utama Injil ini menolak tuhan dalam aliran arus perdana Kristian dan Yahudi, yang dianggap sebagai "tuhan berstatus rendah" berbanding Tuhan sebenar. 

Idea utama Gnostikisme

Antara idea-idea yang diketengah oleh Gnostikisme adalah seperti di bawah:

1. Dunia yang kita hidup ini adalah satu kesilapan yang tidak disengajakan. Ia bukan dunia sebenar kita dan bukan untuk kita tinggal selama-lamanya. Disebabkan dunia material ini satu kesilapanlah terdapatnya penyakit, penderitaan, kejahatan dan kematian.

2. Tuhan yang menciptakan dunia kita ini bukan tuhan yang paling tinggi atau tuhan sebenar. Sebaliknya ia adalah tuhan yang inferior, malah mungkin iblis atau berniat jahat. Dengan Gnostik, kita akan mengenali Tuhan sebenar yang sepatutnya disembah.

3. Manusia itu asalnya dari dunia kerohanian Tuhan yang tertinggi. Diri sebenar kita bukan jasmani atau badan kita, dan mungkin jiwa kita. Ini kerana semuanya datang daripada alam yang lebih rendah dan bukan abadi. Sebaliknya diri sebenar kita adalah intelek dan roh kita yang datang dari alam kerohanian dan kita akan kembali ke alam itu.

Rujukan

Gnosticism: From Nag Hammadi to the Gospel of Judas oleh Profesor David Brakke


Gambar: Kodeks Nag Hammadi ditulis dalam bahasa Koptik.



Ulasan

  1. Byk artikel yg admin post ini sgt menarik, tetapi ia sgt pendek... Kalo boleh la buat sambungan lagi diatas posting saudara...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih atas sokongan. Ya saya akan tulis lagi pasal gnostik ni.

      Padam
  2. Artikel sedara semua menarik, tapi sangat pendek... Mohon panjangkan setiap artikel

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan Popular Terpilih

Siri 3: Keindahan ateisme, penentuan sendiri tujuan hidup

Siri 2: Keindahan ateisme, memperakui kepelbagaian, hak manusia untuk berfikir

Masyarakat barat yang sentiasa ingin tahu