Islam dibina seperti permainan telefon buruk

Islam itu dibina atas asas seperti dalam permainan telefon buruk. Apa itu permainan telefon buruk? Jika anda pernah mengikuti sebarang kursus pembinaan pasukan (team building) atau sebagainya mungkin anda pernah bermain permainan ini. Dalam permainan ini anda akan bermain dengan beberapa orang. Katakan anda pemain pertama. Sebagai pemain pertama, anda akan diberi masa sebentar untuk membaca sesuatu teks. Kemudian anda akan membisikkan kepada orang atau pemain lain tanpa melihat teks itu. Dan pemain itu pula akan membisikkan perkataan yang dibisikkan anda tanpa melihat teks asal. Begitulah seterusnya sehingga sampai kepada pemain terakhir. Pada akhirnya mesti akan terdapat perubahan pada mesej asal. Permainan ini juga dikenali dengan Chinese Whispers dalam bahasa Inggeris.



Begitulah juga dengan agama Islam ini. Ia dibina atas tradisi lisan atau oral tanpa catatan pada awalnya. Menurut sejarah Islam itu pada awalnya tidak mempunyai bahan bertulis atau sangat sedikit sehinggalah tiba-tiba mula ditulis pada zaman Abbasiyah iaitu lebih kurang pada 750 Masihi. Tiada rekod bertulis mengenai zaman Islam pada masa Muhammad dan begitu juga pada zaman pemerintahan Umayyah. Malahan kebanyakan sarjana Barat meragui sumber zaman Abbasiyah yang bermotifkan politik, terutamanya pada zaman itulah berlakunya perpecahan Islam kepada Islam Sunni dan Islam Syiah. Apatah lagi pusat pemerintahan Abbasiyah ini berada di bandar-bandar di Iraq seperti Kufa, dan Baghdad yang jaraknya beribu-ribu kilometer dari tempat yang kononnya Islam lahir iaitu di Hijaz atau tanah Arab.

Sumber daripada tradisi oral bukan mutlak, mudah diubah


Gambar: Antara persoalan-persoalan tentang kesahihan Muhammad. 

Catatan awal Islam itu bermula antara 100 hingga 150 tahun selepas sesuatu peristiwa berlaku dalam Islam. Sejarah Muhammad atau biografi kehidupan beliau diambil daripada catatan berbentuk pengumpulan cerita-cerita secara lisan atau oral oleh Ibn Ishaq yang hidup sekitar tahun 704 Masihi hingga 767 Masihi. Sebagai perbandingan, Muhammad dikatakan meninggal dunia pada tahun 632 Masihi, bermakna Ibn Ishaq lahir 72 tahun selepas kematian Muhammad. Itu pun hasil pengumpulan mengenai sejarah Muhammad oleh Ibn Ishaq yang ada pada masa itu sampai sekarang merupakan teks yang sudah diedit oleh anak muridnya Ibn Hisham yang mengeluarkan apa-apa yang dianggap sebagai memalukan atau daripada sumber yang tidak dipercayai. 

Jadi amat sukar untuk sarjana Barat atau sarjana jujur untuk menerima tradisi oral atau lisan sebagai sesuatu yang mutlak. Seperti dalam permainan telefon buruk, mesej asal akan berubah apabila ia melalui ramai orang tanpa dicatat dengan sebetulnya. Begitu juga dengan kebarangkalian yang tinggi berlaku pengguguran dan tokok tambah untuk motif politik dan sebagainya. 

Sebagaimana kita tahu Ibn Hisham telah menyunting teks asal Ibn Ishaq tentang sejarah Muhammad. Bagaimana kita hendak tahu terdapat perkara memalukan yang telah digugurkan dalam teks Ibn Hisham? Fred Donner, seorang sarjana Amerika tentang Islam, berkata terdapat persamaan tentang apa yang ditulis oleh Ibn Hisham dan seorang lagi tokoh sejarah Islam iaitu Tabari kecuali beberapa perkara yang tidak disebut oleh Ibn Hisham tetapi disebut oleh Tabari seperti Peristiwa Gharaniq atau ketika Muhammad sujud kepada berhala dan melafazkan "ayat-ayat syaitan".

Dalam buku Donner bertajuk Muhammad and the Believers: At the Origins of Islam, beliau berhujah bahawa Islam itu bermula sebagai gerakan orang yang percaya (Muslim) yang dipimpin oleh Muhammad dengan pengikut dalam kalangan Kristian dan Yahudi serta monoteis (percaya kepada satu Tuhan). Hanya di bawah pemerintahan Abd al-Malik  (685-705) Islam mula memisahkan dirinya daripada agama Kristian dan Yahudi.

Golongan Quranis menolak hadith

Namun, kritikan pergantungan Islam kepada tradisi oral atau lisan ini yang banyak dibincangkan oleh sarjana Islam adalah berkaitan dengan hadis. Terdapat temuramah dengan pemimpin de facto Arab Saudi Putera Mahkota Mohammed bin Salman yang hanya mahu menumpukan Islam itu kepada Quran dan Hadith Mutawatir. Hadith Mutawatir adalah hadith yang mempunyai perawi yang ramai dan diketahui serta dipercayai. Jika mengikut takrif ini, hanya 10% hadith yang tinggal. Namun seperti yang saya katakan hal ini sendiri tidak bermakna mesej yang disampaikan dari seseorang kepada seorang adalah sama dan tidak berubah seperti mesej asal, seperti dalam permainan telefon buruk.

Jadi tidak hairanlah terdapat kewujudan golongan yang menolak langsung hadith yang dipanggil Quranis. Salah seorang tokoh Quranis yang popular pada kurun ke-20 ialah Muhammad Tawfiq Sidqi (1881-1920). Beliau yang berasal daripada Mesir merupakan seorang doktor dan hafiz atau penghafal Quran yang sering mempertahankan Islam daripada serangan misionari Kristian.

Antara kata-kata beliau yang diingati ialah "apa-apa yang tercatat dalam hadith itu mengambil masa yang lama sehingga sempat ia diserapi oleh banyak perkara mengarut dan tradisi yang korup" dan Allah membenarkan perkara ini berlaku kerana Sunnah Muhammad itu "hanya ditujukan kepada orang Arab pada masa Nabi."

Jangan takut mempersoalkan Islam

Kesimpulannya, jika anda seorang Muslim, jangan takut untuk mempersoalkan ustaz dan ustazah. Ini kerana asas Islam itu sendiri dibina atas dasar tradisi oral atau lisan. Ia seperti permainan telefon buruk yang akhirnya mesej asal itu berubah ketika dibisikkan dari seorang kepada seorang lain, tanpa dicatat.

Jika anda seorang bekas Muslim atau bukan Muslim, hujah telefon buruk ini boleh digunakan sebagai membalas hujah Muslim yang mengatakan ustaz atau ustazah itu lebih arif tentang Islam dan kita tidak patut mempersoalkan sumber Islam seperti Quran dan Hadith, seolah-olah kebenaran di dalam sumber itu adalah mutlak. 

Bagi saya tiada benda yang tidak boleh dipersoalkan dalam perjalanan kita untuk mencari kebenaran.

Ulasan

Catatan Popular Terpilih

Siri 3: Keindahan ateisme, penentuan sendiri tujuan hidup

Siri 2: Keindahan ateisme, memperakui kepelbagaian, hak manusia untuk berfikir

Masyarakat barat yang sentiasa ingin tahu