Siri kisah aneh mengenai bulan Ramadan 5

Teringat bulan teringat Islam.


Hari ini melihat anak bulan Syawal. Kalau muncul bermakna Hari Raya Puasa jatuh hari Jumaat dan jika sebaliknya hari Sabtu. Kisah aneh kali ini berkait rapat dengan bulan dan Islam. Islam begitu obsesi dengan bulan seperti gambar di atas. Abu Yusuf Al-Malizi ada menulis panjang lebar betapa tradisi melihat anak bulan ini suatu tradisi kuno dan menyusahkan di sini. Saya setuju kerana setiap tahun ia menjadi polemik bukan sahaja di Malaysia tetapi juga negara-negara Islam lain seperti Pakistan. Jadi tulisan saya ini melihat pada sisi lain mengenai bulan. Mengapa penganut Islam begitu obses dengan bulan? Apakah peranan bulan dalam sejarah awal Islam dan bangsa Arab di tanah Hijaz?

Terdapat teori, katanya berasal seawal tahun 1901 oleh pakar arkeologi Hugo Winckler, yang Allah sebenarnya tuhan Hubal yang juga tuhan bulan yang disembah oleh masyarakat Arab pagan sebelum Islam. Teori ini kemudian dipopularkan oleh apologis Kristian pada tahun 1990-an sehinggalah sekarang. Seperti biasa penganut Islam menafikan perkara ini. Mereka berkata Hubal dan Allah adalah dua tuhan yang berbeza.

Jangan menyalahkan orang ramai kerana mengaitkan Islam dan tuhan bulan. Ini kerana banyak perkara yang berkaitan dengan Islam dipasangkan dengan bulan. Daripada simbol bulan pada atas kubah masjid, cerita Muhammad membelah bulan, penggunaan kalendar bulan, kepada kedegilan untuk mengekalkan tradisi melihat anak bulan dalam penentuan puasa dan raya, segala-galanya berkisar tentang bulan. Pendek kata terbayang sahaja salib kita terbayang Kristian, sementara bulan kita terbayang Islam.

Mekah, kaabah dan Al-Maqah tuhan bulan

Selain Hubal, masyarakat Arab sebelum Islam mempercayai banyak tuhan dan kepercayaan lain. Salah satu tuhan yang disembah oleh mereka dipanggil Al-Maqah (atau Almaqah). Al-Maqah ialah tuhan yang disembah oleh kaum-kaum Arab sebelum Islam, terutamanya oleh kerajaan lama Saba' yang meliputi kawasan sekitar Yaman, Ethiopia dan Eritrea. Saba' dikaitkan dengan Ratu Balqis, suatu nama yang disebut dalam Alkitab dan juga Quran. Ratu ini dan rakyatnya juga dikatakan pengikut ajaran Sabien yang disebut dalam Quran sebagai salah satu daripada ahli kitab. 

Tuhan Al-Maqah dikaitkan dengan bulan, kesuburan dan pertanian. Beberapa rumah ibadat telah didirikan untuk menghormatinya termasuklah di Barran dan Awwam di Yemen. Al-Maqah juga dikenali dengan nama Ilmuqah, Ilumquh, ĘżAmm, Sin, Syn atau Wadd. Saya ada menulis tentang tuhan Sin di sini yang dikaitkan dengan Sabien.

Malangnya kebanyakan rumah-rumah ibadat penyembahan Al-Maqah ini dimusnahkan pada zaman awal Islam berkembang. Seperti biasa orang Islam suka memusnahkan bukti. Terdapat kajian yang mengatakan wujud banyak binaan kiub seperti kaabah di Mekah di banyak tanah Arab seperti Dhul Khalasa di Yemen, Sindad di Najran untuk menyembah tuhan bulan ini.  Walaupun terdapat cubaan menghapuskan bukti masih ada tinggalan rumah ibadat ini dan terdapat satu yang masih berdiri di Iran. Terdapat hadis berkaitan akhir zaman yang menyebut kiamat tidak akan berlaku selagi wanita daripada kaum Daus tidak mengelilingi Dhul Khalasa dengan berbogel. 

Persoalan tentang bulan tradisi yang sukar dibuang?

Seperkara yang menarik tentang Al-Maqah adalah sebutannya mengingatkan saya kepada Mekah di Arab Saudi sekarang. Adakah keberangkalian nama Mekah itu dipengaruhi daripada sebutan Al-Maqah? Bagaimana jika sebenarnya Islam banyak mengambil pengaruh daripada agama dan kepercayaan seperti Sabien yang mengagungkan bulan? Dan kerana itulah ia tidak dapat mengikis atau meninggalkan terus tradisi melihat anak bulan untuk penentuan hari-hari penting seperti puasa dan hari raya.

Mengapa Islam begitu obses dengan perlambangan bulan dalam seni bina masjid, bendera negara-negara Islam, dan sebagainya? Penganut agama Kristian menggunakan salib sebagai lambang agama Kristian kerana salib mempunyai signifikan dalam sejarah Kristian apabila Jesus mati di atas salib oleh tentera Rom. Itu kita boleh faham. Tetapi apa signifikan bulan dalam agama Islam? Mungkin kajian lebih mendalam mengenai Al-Maqah tuhan bulan dan kepercayaan Sabien boleh menyingkap misteri bulan dalam Islam. Ini satu kisah aneh yang masih belum terjawab sepenuhnya.

Akhir kata untuk siri ini, Selamat Hari Raya!

Baca juga:

Siri kisah aneh mengenai bulan Ramadan 1

Siri kisah aneh mengenai bulan Ramadan 2

Siri kisah aneh mengenai bulan Ramadan 3

Siri kisah aneh mengenai bulan Ramadan 4




 


Ulasan

Catatan Popular Terpilih

Siri 3: Keindahan ateisme, penentuan sendiri tujuan hidup

Siri 2: Keindahan ateisme, memperakui kepelbagaian, hak manusia untuk berfikir

Masyarakat barat yang sentiasa ingin tahu