Siri kisah aneh mengenai bulan Ramadan 3

Malaikat atau syaitan?


Hari Sabtu ini 8 April 2023 merupakan hari Nuzul Quran. Perkataan Nuzul Quran memberi maksud penurunan Quran. Kononnya Quran diturunkan pada malam ini dan kerana itulah bulan Ramadan dianggap istimewa, selain bulan berpuasa. Dalam kisah atau naratif standard Islam, Muhammad menerima lima ayat pertama daripada Surah Al-Alaq selepas bertapa di Gua Hira. Turunnya Quran dikatakan berlaku pada malam Jumaat 17 Ramadan pada tahun 610 masihi. Apa yang anehnya tentang kisah penurunan Quran?

Selain kekeliruan yang saya tulis sebelum ini mengenai Surah Al-Qadar, apabila Quran dikatakan turun pada Malam Qadar (Lailatul Qadar), tulisan kali ini ingin menyentuh mengenai keanehan Muhammad menerima wahyu daripada perantara malaikat Jibrail.

Ringkasnya, mengikut kisah oleh naratif standard Islam, Muhammad pergi ke Gua Hira untuk bertapa. Pada malam itu, Muhammad mendakwa didatangi oleh makhluk bersayap. Makhluk itu menyuruhnya untuk membaca. Muhammad berkata dia tidak boleh membaca kerana dia seorang yang buta huruf dan makhluk itu memeluknya dengan kuat. Muhammad yang ketakutan balik ke rumah dan memberitahu isterinya Khadijah tentang kejadian itu. Khadijah menenangkan Muhammad dan berkata Muhammad seorang Nabi kerana yang menemuinya di gua itu adalah malaikat bukannya syaitan.

Khadijah yang mendedahkan tubuhnya untuk menguji Jibrail

Anehnya kisah ini kerana tiada siapa yang boleh membuktikan kewujudan malaikat bernama Jibrail yang sering bertemu Muhammad untuk menyampaikan wahyu itu. Menurut naratif standard Islam sendiri, tiada siapa yang nampak malaikat Jibrail kecuali Muhammad seorang sahaja. Pada awal "penurunan wahyu", Khadijah menenangkan Muhammad dan meminta suaminya memberitahu bila Jibrail muncul. Dalam satu riwayat, Khadijah meminta Muhammad duduk di atas peha kirinya apabila Jibrail muncul untuk menguji kehadiran Jibrail. Dan bagaimana cara Khadijah mengujinya? Jangan tergelak tapi cara Khadijah menguji sama ada Jibrail itu malaikat atau syaitan adalah dengan mendedahkan bahagian atas tubuhnya dengan menyelak bajunya. Jika Jibrail seorang syaitan maka ia tidak akan pergi, manakala jika Jibrail seorang malaikat maka ia akan pergi kerana malaikat rupanya malu melihat wanita yang terdedah. Nak dijadikan ceritanya selepas Khadijah mengangkat bajunya maka Muhammad berkata Jibrail sudah pergi. Begitulah ceritanya. 

Mungkin malaikat juga mempunyai sifat malu dan nafsu kerana melarikan diri apabila nampak wanita berbogel atau menampakkan tubuhnya. Sedangkan kita diberitahu bahawa makhluk bernama malaikat itu seperti robot, tidak mempunyai free will, tiada perasaan, dan dijadikan untuk sentiasa patuh kepada Allah. Apa logiknya malaikat melarikan diri apabila ternampak sebahagian tubuh badan wanita yang tidak berpakaian. Satu lagi perkara aneh mengenai malaikat yang tidak berkaitan dengan tulisan ini adalah malaikat tidak masuk rumah yang mempunyai patung dan anjing. Ada orang berjenaka maka letaklah patung dan anjing di dalam rumah agar malaikat maut tidak dapat mengambil nyawa. Baiklah itu cerita lain kali.

Halusinasi Muhammad

Mempunyai halusinasi melihat makhluk lain yang tidak dapat dilihat oleh orang lain merupakan sebahagian daripada gejala orang yang mengidap penyakit epilepsi atau gila babi atau sawan. Gejala-gejala lain ialah mendengar suara-suara di dalam kepala sendiri sedangkan orang lain tidak mendengarnya. Keadaan Muhammad yang mengidap epilepsi sudah lama dibincangkan, terutama oleh sarjana barat. Malah keadaan epilepsi Muhammad sudah dibincang seawal kurun ke-8 oleh sejarawan Byzantine Theophanes (mulanya saya menulis Greek tapi sebenarnya dari Byzantine) yang menulis Khadijah mengeluh tentang perkahwinannya dengan seorang yang mempunyai sawan babi.

Berikut apa yang ditulis oleh Owsei Tempkin dalam The Falling Sickness, A History of Epilepsy from the Greeks to the Beginnings of Modern Neurology, di halaman 153. Tempkin menyingkap semula apa yang ditulis dalam Chronographia oleh Theophanes yang menulis tentang Muhammad “mempunyai penyakit epilepsi. Dan apabila isterinya perasan, dia sangat sedih kerana sebagai seorang bangsawan, dia terikat dengan lelaki yang bukan sahaja miskin tetapi mempuyai sawan babi juga. Muhammad cuba untuk menenangkan Khadijah dengan berkata: ‘Aku nampak bayangan malaikat bernama Jibrail dan disebabkan tak tahan melihatnya, aku menjadi lemah dan rebah.’ 

Kenapa memerlukan malaikat sebagai perantara?

Masalah lebih besar adalah mengapa Allah yang mendakwa sebagai tuhan yang maha berkuasa memerlukan perantara seperti malaikat untuk menyampaikan wahyunya? Dalam tradisi agama Yahudi dan Kristian, penyampaian wahyu atau revelation berlaku secara terus daripada tuhan kepada nabi atau prophet tanpa perlu melalui perantara seperti malaikat. Mereka mendapatnya melalui mimpi dan visi dan malaikat hanya bertindak sebagai memberi penerangan tentang apa maksud visi atau wahyu itu.

Pakar teologi Kristian terkenal Thomas Aquinas percaya terdapat dua cara tuhan memberi wahyu kepada manusia. Cara pertama ialah melalui ciptaannya secara semula jadi melalui pemerhatian persekitaran, falsafah dan berfikir seterusnya mendapat inspirasi tuhan. Cara kedua adalah melalui keajaiban dan kejadian luar biasa seperti tuhan yang menjelmakan dirinya sebagai Jesus Christ. Manakala selain daripada ini individu yang mendakwa mendapat wahyu daripada tuhan melalui malaikat sebenarnya berjumpa dengan syaitan!

Jadinya kalau mengikut Aquinas dan sarjana teologi Kristian, Muhammad berkemungkinan sebenarnya bercakap dengan syaitan. Atau mengikut sains, tanpa bukti kukuh kewujudan makhluk ghaib seperti malaikat dan syaitan, Muhammad sebenarnya mengalami halusinasi.

 





Ulasan

  1. Menarik !! Lps ni diharap saudara boleh kupas ttg nama sbnr muhammad, iaitu Qhutem Ibn Abd Al-Lat,,,

    BalasPadam
    Balasan
    1. Saya masih mencari maklumat tentang itu tapi hanya sedikit. Ada membaca salah seorang keluarga Muhammad rasanya pakciknya berbin Abdul Al-Lat.

      Padam

Catat Ulasan

Catatan Popular Terpilih

Siri 3: Keindahan ateisme, penentuan sendiri tujuan hidup

Siri 2: Keindahan ateisme, memperakui kepelbagaian, hak manusia untuk berfikir

Masyarakat barat yang sentiasa ingin tahu