Siri kisah aneh mengenai bulan Ramadan 1

Menjelang bulan Ramadan dan puasa ini saya ingin menulis sedikit tentangnya. Untuk siri 1 ini saya ingin menulis tentang Malam Lailatul Qadar dan keanehan-keanehannya.

Menunggu malaikat seperti malam menunggu Santa Klaus

Malam Lailatul Qadar disebut dalam Surah ke-97 yang juga dipanggil Surah Al-Qadr. Jika diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu kedua-duanya, ia dipanggil Malam Takdir dan Surah Takdir. Saya tak tahu apa kaitan nama Malam Takdir dan Surah Takdir dengan malam yang dikatakan lebih baik daripada 1,000 bulan. Itu salah satu masalah Quran iaitu nama surah yang tidak ada kaitan langsung dengan isi di dalamnya. 

Berikut terjemahan Surah Al-Qadr. Ambil perhatian perkataan dalam kurungan adalah tambahan penterjemah, contohnya dalam ayat 1 tiada disebut Al-Quran tetapi ditambah oleh penterjemah.

1. Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar,
2. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu?
3. Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.
4. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut);
5. Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!

Berbalik kepada isunya, pada malam ini kononnya malaikat akan turun. Ketika saya masih Muslim pun saya ada juga berjaga pada malam ini. Manalah tahu boleh jumpa dengan malaikat. Masalahnya kita tidak diberitahu pada malam bila akan berlakunya Lailatul Qadar ini. Hanya sekadar diberitahu bahawa ia akan berlaku pada 10 malam terakhir bulan Ramadan.

Difikirkan kembali, menunggu malaikat ini turun persis seperti menunggu Santa Klaus turun daripada cerobong untuk memberi hadiah. Dan jika direnung kembali apa faedahnya menunggu malaikat turun, bukan dia akan bawa hadiah seperti Santa Klaus gemuk dengan guni hadiahnya pun. Nampak di sini, naratif Santa Klaus memberi hadiah kepada kanak-kanak yang berbuat baik lagi nampak logik berbanding malaikat yang turun pada malam Lailatul Qadar ie untuk apa mereka turun? Sungguh aneh.

Malam menyambut kelahiran Jesus

Rupanya bukan saya seorang yang berpendapat sedemikian. Seorang penulis buku yang menggunakan nama pena Christoph Luxenberg juga mendakwa surah 97 dan konsep malam Lailatul Qadr mempunyai pengaruh Kristian atau Krismas. (Beliau tidak guna nama sebenar kerana Muslim masyarakat yang cepat triggered atau koyak dan boleh menjadi seperti kes Salman Rushdie.)

Sebelum itu, sedikit mengenai Luxenberg. Luxenberg merupakan seorang ahli bahasa Arab dan Aramaic dengan teorinya bahawa Quran meniru banyak liturgi iaitu doa, nyanyian, bacaan kitab suci, khutbah, sakramen, dan sebagainya oleh masyarakat Kristian Syriak yang berbahasa Aramaik. Bahasa Aramaik merupakan bahasa liturgi bagi Gereja Ortodoks Syriak dan Gereja Ortodoks Timur. Bahasa ini wujud lebih awal daripada bahasa Arab dan mempunyai banyak persamaan dari segi tata bahasa dan kosakata, dan sejarahnya juga saling terkait. Dalam bukunya "The Syro-Aramaic Reading of the Koran: A Contribution to the Decoding of the Language of the Koran" yang diterbitkan pada tahun 2000, Luxenberg menulis bahawa terjemahan Al-Quran boleh dibuat dengan lebih tepat dan difahami apabila kita mengambil kira makna dalam bahasa Aramaik.

Sekarang, ini pula terjemahan Luxenberg mengenai Surah 97 dalam bahasa Inggeris dengan mengambil kira elemen Aramaik dan Kristian:  

1. We sent him down (Infant Jesus) during the Night of Destiny (of the Star of Nativity).
2. What do you know what the Night of Destiny is?
3. The Night (Nocturnal Office) of Destiny (of the Star of Nativity) is more beneficial than a thousand vigils?
4. The Angels (accompanied by) the Spirit, send down with the permission of their Lord, all sorts of hymns.
5. Peace there is until the break of day.

Terjemahan semula Surah 97 oleh Luxenberg ini dibincangkan juga oleh sarjana barat lain. Anda boleh membacanya di sini (Christmas and the Eucharist in Early Islam?) dan di sini (Christmas and the Eucharist in the Qur'an). Ringkasnya ia malam menyambut kelahiran Jesus pada malam Krismas. Kerana itulah malam yang penuh berkat dan malaikat turun ke bumi untuk meraikannya. Bandingkan pula dengan naratif Islam, bahawa malam Lailatul Qadar itu dianggap istimewa kerana didakwa malam Quran pertama kali diturunkan. Tapi bagaimana pula dengan malam Nuzul Quran pada 17 Ramadan yang juga malam turunnya Quran? Satu lagi keanehan naratif Islam.

Akhir sekali nikmati lagu Santa Habibi ini dan selamat menyambut Ramadan!


Baca juga:

Siri kisah aneh mengenai bulan Ramadan 2

Siri kisah aneh mengenai bulan Ramadan 3

Siri kisah aneh mengenai bulan Ramadan 4

Siri kisah aneh mengenai bulan Ramadan 5





Ulasan

  1. Sungguh menarik, sy akan baca paper tu nanti.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih atas sokongan saudara. Buku yang ditulis oleh Luxenberg pun menarik untuk dibaca.

      Padam

Catat Ulasan

Catatan Popular Terpilih

Siri 3: Keindahan ateisme, penentuan sendiri tujuan hidup

Siri 2: Keindahan ateisme, memperakui kepelbagaian, hak manusia untuk berfikir

Masyarakat barat yang sentiasa ingin tahu