Kisah aneh di sebalik hari raya korban dan kegilaan tuhan

Dalam masa seminggu iaitu Khamis 29 Jun ini semua rakyat Malaysia akan bercuti sempena hari raya korban atau haji. Selain membazirkan wang untuk melawat binaan sembahan orang Islam dan mencium batu hitam, hari raya korban juga terkenal dengan penyembelihan haiwan seperti lembu dan kambing. Saya rasa kita semua sudah tahu kisah aneh di sebalik sambutan hari raya korban ini dengan watak yang digelar Nabi Ibrahim diperintahkan oleh Allah untuk menyembelih anaknya sendiri sebagai tanda ketaatan dan kepatuhan kepada Allah.

Lukisan The Sacrifice of Isaac oleh Caravaggio (1603). "Tolong jangan sembelih saya" agaknya itu yang dijerit oleh Isaac.

Versi Bible and versi Islam

Sedikit maklumat latar belakang kisah ini mengikut versi Bible dan versi Islam. Berikut adalah beberapa elemen penting dan perbezaan.

Protagonis: 
  • Versi Bible: Abraham 
  • Versi Islam: Ibrahim 
Mangsa (anak yang akan disembelih): 
  • Versi Bible: Isaac 
  • Versi Islam: Ismail 
Apa yang diarahkan oleh tuhan: 
  • Versi Bible: Tuhan mengarahkan Abraham untuk mengorbankan Isaac 
  • Versi Islam: Tuhan mengarahkan Ibrahim untuk mengorbankan anaknya. Quran hanya menyebut 'anak' tidak secara khusus menyebut Ismail. Malah ada sejarawan Islam awal turut memasukkan nama Ishaq (Isaac) sebagai alternatif nama anak Ibrahim yang akan dikorbankan. 
Komunikasi: 
  • Versi Bible: Tuhan berkomunikasi secara langsung dengan Abraham
  • Versi Islam: Tuhan berkomunikasi dengan Ibrahim melalui mimpi 
Korban: 
  • Versi Bible: Isaac diikat dan diletakkan atas tempat pengorbanan
  • Versi Islam: Ismail secara sukarela bersetuju untuk dikorbankan dan bersedia untuk dikorbankan 
Intervensi: 
  • Versi Bible: Malaikat menghentikan Abraham daripada mengorbankan Isaac 
  • Versi Islam: Malaikat menghentikan Ibrahim daripada mengorbankan anaknya 
Pengganti: 
  • Versi Bible: Korban digantikan dengan kambing
  • Versi Islam: Korban digantikan dengan kambing 
Penekanan: 
  • Versi Bible: Isaac ditekankan sebagai anak pilihan Abraham dan Sarah
  • Versi Islam: Ismail ditekankan sebagai anak pilihan Ibrahim dan Siti Hajar (isteri Ibrahim selain Sarah) 
Signifikan: 
  • Versi Bible: Dilihat sebagai ujian tuhan ke atas Abraham 
  • Versi Islam: Dilihat sebagai ujian tuhan ke atas Ibrahim dan juga Ismail 
Cara diperingati dan disambut: 
  • Versi Bible: Disambut oleh Yahudi sebagai Akedah (Pengikatan) Isaac dengan pembacaan kembali kisah ini di tempat ibadat yahudi saumah (synagogue) dan juga sebagai hari cuti. Tiada sambutan khusus dalam agama Kristian.
  • Versi Islam: Disambut oleh orang Islam sebagai Hari Raya Korban, menyembelih haiwan ternakan, dan hari cuti

Sesungguhnya kejadian bapa menyembelih anak masih berlaku pada zaman sekarang. Namun sekiranya ada bapa seperti Ibrahim yang membawa pisau untuk menyembelih anaknya sendiri, dengan alasan mendengar suara ghaib memerintahkannya melakukan sedemikian, dia akan ditangkap dan dihukum dengan berat sekali. Kalau tidak pun dia akan dicop sebagai orang kurang siuman dan gila.

Bayangkan juga watak bergelar Abraham atau Ibrahim inilah yang dikatakan menjadi watak asas penting dalam tiga agama besar dunia iaitu agama Yahudi, Kristian, dan Islam. Daripada keturunan Ibrahim dikatakan lahir nabi-nabi dan pengasas agama seperti Kristian dan Islam dan kaum-kaum seperti Yahudi dan Arab. Sungguh pun begitu, pada hari ini, amalan penyembelihan binatang ternakan hanya diamalkan oleh orang Islam sahaja.

Ada apa pada nama? 

Kisah penyembelihan ini dikenali sebagai The Binding of Isaac dalam kitab Bible atau Akedah dalam Hebrew. Dalam bahasa Melayu, kedua-dua perkataan binding dan akedah bermaksud "pengikatan" atau secara spesifiknya ia merujuk kepada tindakan mengikat Ishaq di atas tempat pembaringan daripada melarikan diri untuk disembelih, Ia berasal daripada kata akar "bind" atau "ikat".

Menariknya perkataan Aqidah (atau Akidah) dalam Islam juga berasal daripada kata akar yang sama iaitu "aqada" atau "untuk mengikat". Perkataan ini diserap dalam bahasa Melayu menjadi "akad" atau "janji" dan "ikatan" seperti akad nikah dan akad jual beli. Pengambilan dan penyerapan perkataan dari satu bahasa ke satu bahasa adalah perkara biasa dan selalunya bahasa yang diambil dan diserap itu akan mengalami perubahan dari segi makna dan ejaan untuk disesuaikan dengan lidah tempatan. 

Nama-nama watak Yahudi seperti Abram/Abraham juga diarabkan menjadi Ibrahim. Abram atau Avram adalah nama asal watak Abraham yang bermaksud "bapa yang mempunyai kedudukan tinggi". Isaac pula berasal daripada perkataan Hebrew "tzachaq" yang bermaksud "ketawa". Ketawa dikaitkan dengan kegembiraan kerana Isaac membawa kegembiraan kepada kedua-dua Abraham dan Sarah yang sudah lama menanti ingin menimang cahaya mata atau mempunyai anak. 

Muhammad atau orang Arab pada awal perkembangan Islam dikatakan banyak meniru dan menyesuaikan ajaran Yahudi dan Kristian untuk budaya mereka. Malah dalam Quran sendiri mengakui antara tuduhan yang dilemparkan kepada Muhammad oleh penduduk Arab yang tidak Islam adalah Muhammad menggunakan cerita-cerita orang dahulu dan mempakejkannya kembali dalam Quran. Muhammad dan Islam bukan sahaja mengambil perkataan malah menukar watak dan cerita. Contohnya Ishaq menjadi Ismail dan mengambil perkataan Akedah. Akedah kini menjadi Aqidah yang menjadi elemen penting dalam Islam yang bermaksud asas keimanan yang diyakini. 

Beberapa sarjana seperti Patricia Crone (1945-2015) dan John Wansbrough (1928-2002) ada menulis mengenai pengaruh bahasa asing dalam Quran. Selain mereka, hal ini juga diakui oleh sarjana Islam seperti Al-Suyuti (1445-1505) dan Al-Zamakhshari (1075-1143). Dikatakan dalam Quran itu banyak perkataan-perkataan yang diambil daripada bahasa asing bukan sahaja Hebrew, malah Greek, Parsi, Aramaik, dan Ethopia. Lucunya, orang Islam terutamanya orang Melayu menganggap orang yang tahu berbahasa Arab lebih pandai Islam dan amalan-amalan Islam itu lebih afdal atau lebih baik sekiranya diucapkan dalam bahasa Arab. Begitu juga dengan obsesi untuk menggunakan istilah-istilah bahasa Arab dalam sistem perbankan Islam. 

Tuhan yang gila

Namun kisah aneh lain ialah tentang watak tuhan sama ada Yahweh, Adonai dalam kitab Bible atau pun Allah, ia tentu sekali tuhan yang gila dan sadis. Bagaimana tuhan yang adil, penyayang, dan sangat mengetahui tergamak memberi ujian ketaatan dan kepatuhan dengan mengarahkan makhluknya iaitu seorang bapa membunuh anaknya? Adakah tuhan ini bersifat rasional atau gila? 

Disebabkan sikap tidak berfikiran kritis dan mempersoalkan suara-suara ghaib di dalam kepala, Ibrahim sanggup menyembelih anaknya dan Ismail pula seperti tidak berfikir dengan betul menyatakan kesanggupan untuk disembelih oleh bapanya. Begitulah pengaruh negatif agama yang menuntut penganutnya tidak mempersoalkan ideologi dan dogma yang buruk dan membahayakan. Tuhan yang gila pun mereka tidak persoalkan dan patuh dengan membabi buta.

Selain kegilaan tuhan, keanehan kisah ini juga bersangkut paut dengan isu keganasan terhadap kanak-kanak demi agama dan tuhan. Seperti masalah kesihatan mental, isu keganasan terhadap kanak-kanak ini masih berlarutan sehingga ke saat ini sehinggakan manusia zaman moden terpaksa merangka dan menggubal undang-undang untuk melindungi kanak-kanak. Kalau nak diharapkan undang-undang agama, demi tuhan, membunuh anak pun dibolehkan.


   


Ulasan

Catatan Popular Terpilih

Siri 3: Keindahan ateisme, penentuan sendiri tujuan hidup

Siri 2: Keindahan ateisme, memperakui kepelbagaian, hak manusia untuk berfikir

Masyarakat barat yang sentiasa ingin tahu