Penyembah bintang dan Tuhan bulan Sin, Sabien disenaraikan sebagai ahli kitab dalam Quran

Ketika saya belajar di Amerika Syarikat pada akhir tahun 1990-an, saya ada berkawan dengan beberapa orang Amerika berkulit hitam yang memeluk agama Islam. Mereka ini kebanyakannya bukan lahir sebagai seorang Islam, dan juga ada yang asalnya beragama Kristian.

Saya masih ingat salah seorang daripada mereka sering membawa ayat 69 dalam Surah Al-Maidah yang berbunyi:

Sesungguhnya mereka yang beriman, dan orang Yahudi, dan orang Sabien, dan oran Nasrani - sesiapa sahaja di antara mereka yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta beramal soleh, maka tidaklah ada kebimbangan bagi mereka, dan mereka tidak akan berdukacita.

(Al-Maidah 5:69)

Dia seterusnya memberitahu kepada saya dengan tafsirannya sendiri bahawa orang Kristian juga akan masuk syurga nanti. Tidak hairan jika di negara itu, perkahwinan antara Muslim dan Kristian bukan sesuatu yang pelik, tidak seperti di Malaysia. 

Penyembah bintang dan tuhan bulan Sabien

Selain tafsiran kenalan Amerika saya ini tentang orang Kristian yang masuk syurga, satu lagi golongan yang menarik perhatian saya dalam ayat ini adalah Sabien. Pada masa itu tidaklah saya begitu mahu menyiasat secara mendalam siapa Sabien ini selain cuma percaya dengan kata-kata ustaz bahawa mereka ini adalah daripada ahli kitab yang percaya kepada Allah. Ada dua lagi ayat dalam Quran yang menyebut mengenai Sabien iaitu Surah Al-Baqarah (2:62), dan Surah Al-Ḥajj (22:17).

Dalam tafsir Ibn Kathir, Sabien ini dikatakan orang yang menyembah malaikat atau bintang, berkiblatkan ke arah yang berlawanan dengan kaabah dan mempunyai kitab Zabur. Sabien dikatakan orang yang tidak mempunyai agama khusus tetapi mempunyai kepercayaan campuran antara agama Majusi, Yahudi dan Kristian dan mereka tidak pernah dikirimkan seorang rasul. 

Kemungkinan besar, Sabien yang dirujuk sebagai penyembah bintang ini adalah daripada pengikut ajaran agama ini yang terletak di Harran, sebuah bandar perdagangan di utara Mesopotamia (kini di tenggara Turki).  Mereka juga dipanggil sebagai Harranian.

Bandar purba ini dikatakan diasaskan pada 2000 Sebelum Masihi dan selama berkurun-kurun lamanya merupakan antara bandar penting tamadun Assyria dan Babylon. Bandar ini juga terkenal dengan Kuil Sin, Tuhan bulan. Tuhan bulan Sin merupakan Tuhan agung mereka, dan Tuhan Sin ini mempunyai anak Ishtar, Dewi Cinta dan Perang, dan Shamas, Dewa Matahari. 

Harranian juga menyembah dewa dewi dan bintang-bintang lain. Tetapi akhirnya antara tuhan dan dewa dewi yang paling penting atau tinggi daripada yang lain adalah Sin, Ishtar dan Shamash. Mereka ini dipersembahkan dalam simbol bulan sabit dengan dua bintang. Terdapat syiling Rom yang menunjukkan pengaruh Harranian.


Gambar: (Kiri) Raja Babylon yang membina Kuil Sin, Tuhan Bulan, (tengah) simbol bulan sabit dan bintang pada syiling Harran, dan (kanan) simbol Tuhan Bulan Sin.

Jika dilihat pada simbol-simbol Harranian, tidakkah ia sama seperti simbol bulan dan bintang dalam agama Islam? Adakah bacaan "Ya-Sin" dalam Surah Yasin dalam Quran merujuk kepada Tuhan Bulan Sin ini? Mungkinkah setiap malam Jumaat, orang Melayu yang membaca Surah Yasin sebenarnya memanggil-manggil nama Tuhan Bulan Sin? Dikatakan masyarakat Arab dan padang pasir lebih mendambakan waktu malam dan bulan kerana waktu itu lebih sejuk dan selesa kepada mereka berbanding panas terik matahari pada waktu siang. Jadi munasabah juga bulan itu lebih dihormati berbanding matahari. Juga fikirkan tentang penentuan bulan Ramadan dan Syawal dengan menantikan kemunculan bulan. Saya sentiasa memikirkan tentang perkara ini. Mungkin pengaruh agama ini yang masih terbawa-bawa dalam agama Islam.

Selepas saya mengorek lagi, dikatakan istilah Sabien untuk merujuk kepada Harranian muncul pada akhir kurun ke-9. Sebelum itu mereka dirujuk sebagai Chaldean, Harranian atau Nabataen. Penulis-penulis Muslimlah (selepas Khalifah Al-Mamun 832-833 Tahun Masihi) yang merujuk mereka ini Sabien yang menyembah planet, berhala, bintang, dan tinggal di bandar Harran. 

Sementara itu, Harranian menggunakan nama Sabien untuk tujuan kelangsungan hidup dan politik agar selamat daripada dihukum oleh pemerintah Muslim pada zaman itu.  Dengan mendakwa sebagai Sabien mereka juga dilindungi kerana Sabien disebut sebagai ahli kitab dalam Quran. Selain itu mereka juga dapat terlibat dalam sistem politik dan menyumbang kepada tamadun Islam pada masa itu. Ini apa yang ditulis oleh ahli sejarahlah.

Sabien moden

Tidak banyak maklumat yang dapat saya kumpul tentang Sabien pada zaman moden. Ada sarjana yang mengatakan Sabien ini tidak lagi wujud. Sementara itu ada yang mengatakan Sabien masih wujud dan unsur-unsur keagamaan ini hidup dalam agama orang Mandaen, kebanyakannya tinggal di Iraq dan Iran.

Mandaen berasal daripada bahasa Aramaik manda bermakna "pengetahuan" dan sama seperti konsep "gnossis" dalam bahasa Yunani. Mandaen tidak berminat menyebarkan agama mereka dan lebih suka berahsia. Namun mereka dikatakan pengikut ajaran John the Baptist atau Nabi Yahya mengikut kepercayaan Islam. Mandaen juga mempercayai Adam, Abel, Seth, Enosh, Nuh, Shem dan Aram sebagai nabi. Adam adalah pengasas agama ini dan nabi terakhir mereka adalah John the Baptist.





Ulasan

Catat Ulasan

Catatan Popular Terpilih

Siri 3: Keindahan ateisme, penentuan sendiri tujuan hidup

Siri 2: Keindahan ateisme, memperakui kepelbagaian, hak manusia untuk berfikir

Masyarakat barat yang sentiasa ingin tahu