Kejahatan, penderitaan dan penyakit memutuskan ikatan manusia dengan tuhan

Pemikir dan ahli teologi Yahudi terkenal Dr Richard Rubenstein (1924-2018) menulis, "Mitos tentang tuhan yang maha kuasa dan maha mengetahui yang memerhati dan campur tangan sesuka hati tidak lagi dapat dipertahankan." (Rubenstein, R. L. (1966). After Auschwitz: Radical theology and contemporary Judaism. Johns Hopkins University Press.) Kata-kata Rubenstein terbit daripada pengalaman ngeri Holocaust yang menyaksikan pembunuhan beramai-ramai orang Yahudi. Mengikut anggaran, seramai 6 juta orang Yahudi mati dibunuh oleh Nazi di Eropah pada Perang Dunia Kedua. Tragedi ini, menurut Rubenstein telah menghancurkan pemahaman tradisional Yahudi tentang tuhan sebagai pelindung seterusnya memutuskan ikatan perjanjian (covenant) antara tuhan dan orang Yahudi. Rubenstein bersama beberapa lagi pemikir Yahudi pada masa itu seperti Arthur Cohen, dan Emil Fackenheim mempersoalkan apa yang tuhan buat dengan tidak melindungi mereka daripada kejahatan Nazi. Perkara ini juga, mereka kata, menunjukkan bahawa tuhan yang disembah oleh orang Yahudi itu sebagai ciptaan manusia semata-mata, bukannya tuhan yang sebenar.

Tahanan yang hampir mati kerana kelaparan, bergambar pada 7 Mei 1945 di kem tahanan Nazi di Ebensee, Austria. Kejahatan pada masa Holocaust menyebabkan beberapa pemikir Yahudi mencadangkan ikatan perjanjian antara orang Yahudi dan tuhan dibatalkan.

Masalah kejahatan, termasuk penderitaan dan penyakit, yang wujud di dunia ini menunjukkan bahawa tuhan itu tidak berkuasa menghentikan kejahatan, penderitaan, dan penyakit yang dialami oleh manusia.  Masalah kejahatan dan cubaan mengharmonikannya dengan sifat tuhan yang maha berkuasa, maha penyayang, dan maha mengetahui sudah lama dibincangkan termasuk oleh ahli falsafah Yunani Epicurus (341–270 BCE). Logik Epicurus adalah: 

  1. Jika tuhan yang maha berkuasa, maha penyayang, dan maha mengetahui itu wujud, maka kejahatan tidak wujud.
  2. Terdapat kejahatan di dunia.
  3. Maka tuhan yang maha berkuasa, maha penyayang, dan maha mengetahui tidak wujud.

Tuhan Kristian nampak lebih menjaga penyembahnya berbanding Allah

Saya pernah menampilkan puisi oleh Taha Hussein, seorang pemikir Mesir yang namanya pernah berkali-kali dicadangkan untuk Hadiah Nobel. Beliau mempersoalkan Allah yang cirinya lebih kepada Syaitan daripada tuhan yang maha berkuasa, maha pengasih, dan maha penyayang. Ini termasuk tindakan Allah yang tidak membela kaum yang lemah dan membiarkan kejahatan atas nama agama Islam bermaharajalela.

Dalam entri berkaitan gempa bumi di Turkiye dan Syria yang kini jumlah terkorban sudah melepasi 50,000, saya juga mempersoalkan akan ciri-ciri tuhan yang dikatakan maha segalanya tetapi tidak dapat menghalang kuasa alam ini. Di Malaysia, bencana banjir di Johor terutama telah meragut empat kematian sementara berpuluh ribu lagi terjejas dengan terpaksa berpindah ke tempat selamat. 

Di kebanyakan negara bermajoriti Muslim, terdapat pelbagai masalah seperti perang tanpa henti, korupsi, kemiskinan dan kemunduran. Mengikut data Bank Dunia, 10 negara teratas mengikut keluaran dalam negara kasar adalah negara bukan Muslim iaitu 1. Amerika Syarikat ($20.89 trilion) 2. China ($14.72 trilion) 3. Jepun ($5.06 trilion) 4. Jerman ($3.85 trilion) 5. UK ($2.67 trilion) 6. India ($2.66 trilion) 7. Perancis ($2.63 trilion) 8. Itali ($1.89 trilion) 9. Kanada ($1.64 trilion) dan 10. Korea Selatan ($1.63 trilion). Negara bermajoriti Muslim paling teratas pada tempat 15 ialah Indonesia ($1.05 trilion).  Ramai Muslim berhijrah atau melarikan diri daripada negara mereka yang miskin dan tidak stabil ke negara-negara barat, dengan anggaran 3.7 juta berhijrah ke Eropah dari pertengahan 2010 hingga pertengahan 2016. 

Negara Amerika Syarikat dan Eropah adalah lebih maju dan makmur daripada kebanyakan negara-negara Muslim. Negara-negara ini mempunyai nilai Kristian, walau pun mungkin mereka tidak lagi pergi ke gereja pada setiap hari Ahad. Adakah ini bermakna tuhan Kristian itu lebih baik dan menjaga penyembahnya berbanding tuhan Islam Allah?

Pemikir Melayu yang dituduh sebagai seorang antihadis Kassim Ahmad (1933-2017) dalam puisinya Sidang Ruh (1960), menukilkan ""nanti akan padamlah dengan sendiri lampu dari menara tinggi, karena dibawahnya orang kian mabuk dan Tuhan sudah mati."

Ulasan

Catatan Popular Terpilih

Siri 3: Keindahan ateisme, penentuan sendiri tujuan hidup

Siri 2: Keindahan ateisme, memperakui kepelbagaian, hak manusia untuk berfikir

Masyarakat barat yang sentiasa ingin tahu