Kononnya Allah Maha Segalanya

Catatan ringkas: Setakat entri ini ditulis, gempa bumi dahsyat 7.8 skala ritcher yang melanda Turkiye dan Syria pada 6 Februari telah mengorbankan lebih 48,000 nyawa. Bukan sahaja nyawa banyak yang melayang tetapi juga banyak bangunan yang runtuh dan rosak. Dilaporkan lebih 84,000 runtuh atau rosak teruk di Turkiye sahaja termasuk "rumah Allah" iaitu masjid. Gempa bumi ketiga dilaporkan berlaku pada 20 Februari, dan sekurang-kurangnya 8 orang lagi mati. Pada mulanya saya ingin menulis panjang tentang konsep Allah yang Maha Berkuasa dan Maha Segalanya. Tapi akhirnya saya rasa bentuk puisi pun boleh menyampaikan perasaan saya. Puisi berikut ditulis berdasarkan gempa bumi ini.

Gambar: Sebuah masjid yang hancur akibat gempa bumi di Turkiye. Nampaknya Allah tak kisah rumahnya pun hancur. Gambar diambil daripada portal berita Aljazeera.

Kononnya Allah Maha Segalanya

Kononnya Allah Maha Berkuasa
Namun tatkala gempa menggoncang bumi Turkiye dan Syria
Dengan amarah kuasa alam semesta
Kuasa Allah tiada upaya hentikan
Mengapa masih mahu percaya Allah yang tidak berkuasa?

Kononnya Allah Maha Pengasih
Namun tatkala gempa meragut nyawa manusia
Tanpa belas kasihan
Tanpa mengenal anak kecil dan orang tua
Di mana kasihnya Allah ketika manusia berduka nestapa?

Kononnya Allah Maha Penyayang
Namun tatkala bumi bergoncang ganas
Bangunan, masjid, dan rumah hancur musnah
Allah pula hanya berdiam sahaja
Mengapa masih mahu bergantung harap pada Allah yang tiada?

Kononnya Allah Maha Segalanya
Namun semua ini hanya imaginasi belaka
Di tengah-tengah kehancuran malapetaka
Yang terpancar adalah kemanusiaan manusia
Tabah membangun kembali di atas puing kehancuran
Jadi mengapa masih mahu mengabdikan diri kepada Allah yang tiada segalanya?


Xzack
22 Februari 2023




Ulasan

Catatan Popular Terpilih

Siri 3: Keindahan ateisme, penentuan sendiri tujuan hidup

Siri 2: Keindahan ateisme, memperakui kepelbagaian, hak manusia untuk berfikir

Masyarakat barat yang sentiasa ingin tahu