Akhir zaman, Gen Tuhan, dan transhumanisme

Seingat saya sudah banyak kali saya menulis tentang Covid-19 telah mengubah hidup saya. Antaranya kerana melaluinya saya banyak belajar perkara baharu. Disebabkan oleh beberapa kontroversi, termasuk langkah drokanian yang menyekat kebebasan manusia, dan ketidaktelusan dalam penyebaran maklumat dan pengendalian pandemik ini, tidak menghairankan ramai orang termasuk saya yang tidak mempercayai "pakar kerajaan" atau media arus perdana. Akibatnya kami terdedah kepada banyak maklumat alternatif termasuk teori konspirasi.  

Ada banyak kesan apabila seseorang terdedah kepada maklumat alternatif ini. Ada yang menjadi semakin alim dan semakin Islam. Ada yang akan menunggu Imam Mahdi dan mengharapkan mereka akan diselamatkan, tiada bezanya dengan orang Kristian juga yang menunggu kedatangan semula Jesus untuk menyelamatkan mereka.  Ironinya, semua pembacaan, perbincangan dan interaksi, idea dan pemikiran di sebalik pendedahan maklumat alternatif ini membawa saya kepada kesimpulan bahawa Islam itu adalah agama buatan manusia. Mungkin ia rekaan Vatican, Freemason, atau bangsa Arab untuk tujuan politik mereka? Apa pun, nasi sudah menjadi bubur, I cannot unread and unlearn, what I have read and learn about Islam. 

Antara yang menarik perhatian saya ialah perbicangan tentang "akhir zaman", teori Gen Tuhan dan vaksin, serta transhumanisme. Jika pada awalnya saya takut, kini saya mengambil pendekatan yang lebih pragmatik dalam ketiga-tiga isu ini.

Proses semula jadi "akhir zaman"

Saya dahulu amat takut akan akhir zaman. Selepas setiap solat lima waktu, saya tidak pernah tinggal berdoa agar dipelihara daripada fitnah dajjal. Tentulah takut selepas dimomokkan tentang Dajjal yang mempunyai kuasa luar biasa seperti boleh mendatangkan kemarau dan menumbuhkan tanaman kepada mereka yang mahu mengikutnya. Malah dalam riwayat hadith mengatakan dia boleh membunuh dan menghidupkan seseorang persis seperti tuhan.

Selepas meninggalkan Islam, pandangan saya sudah berubah mengenai perkara berkaitan akhir zaman, Dajal, Imam Mahdi, malah tentang hari kiamat. Saya ada menulis sedikit tentang mitos Imam Mahdi ini yang ditolak oleh sebahagian ulama Islam seperti Al-Qaradawi. Saya juga ada menulis tentang tafsiran yang bermasalah mengenai Yakjuj dan Makjud sehingga ada syeikh yang berseloroh mereka ini mungkin zombie

Jika benar pun tentang kedatangan "akhir zaman", saya menganggap ia adalah proses semula jadi pengakhiran kepada zaman tamadun manusia sekarang untuk diganti kepada zaman baharu tamadun manusia. Sama ada anda percaya kepada teori evolusi Darwin atau tidak, sejarah zaman manusia itu tidak statik dan akan melalui perubahan. Kita perlu bersedia untuk menyesuaikan diri ke arah masa depan yang kita tidak mempunyai kuasa untuk menyekatnya daripada berlaku.

Membuang Gen Tuhan penggalak keganasan

Pada masa Covid-19 dan pengenalan kepada vaksinnya, terdapat penularan satu video tentang taklimat rahsia di CIA tentang cara untuk menghapuskan keganasan berdasarkan agama dengan menghapuskan gen VMAT2 yang juga dipanggil "God Gene". Penggunaan vaksin dikatakan salah satu daripada caranya. Taklimat ini dikatakan disampaikan oleh Bill Gates kepada pegawai-pegawai CIA.

Video ini sudah disemak fakta oleh Reuters. Ia menafikan ia disampaikan oleh Bill Gates tapi tidak menyebut siapa yang bercakap dan benarkah ia disampaikan di pejabat CIA. Apa pun ia, saya tidak kisah, cuma saya kisah tentang isinya. Apakah benar teori bahawa terdapat gen yang boleh mempengaruhi perasaan spiritual atau kerohanian dalam manusia? Gen ini dikatakan menyebabkan badan kita mengeluarkan neurotransmitter atau bahan kimia seperti dopamine, norepinephrine, serotonin,  histamine, and GABA yang mencipta ilusi kewujudan Tuhan atau perasaan spiritual. 

Perasaan atau pengalaman spiritual ini diperkuatkan dengan indoktrinasi agama yang menjadikan delusi tentang tuhan dan agama semakin kuat dan kekal. Idea tentang gen tuhan ini sebenarnya bukan sesuatu yang baharu. Ia diperkenalkan oleh Dean Hamer, seorang pakar genetik, dalam bukunya The God Gene: How Faith is Hardwired into our Genes (2004). 

Pada pendapat saya jika benar ini, bagus juga kalau benar gen ini ada dan dihapuskan. Mungkin manusia tidak lagi akan bertindak secara emosi berdasarkan fahaman buta agama mereka. Mungkin benar ia boleh mengekang manusia daripada melakukan keganasan dengan membunuh diri dan mengebom orang tidak bersalah atau membakar orang semata-mata mereka keluar daripada Islam.

Manusia menjadi tuhan melalui transhumanisme

Pada masa Covid juga kecoh tentang satu teori bahawa spesies manusia akan mengalami proses ascension (peningkatan diri) atau naik taraf secara fizikal menjadi manusia versi 2.0 yang mempunyai pancaindera lebih tajam. Perkara ini juga merupakan falsafah di sebalik transhumanisme yang mahu mewujudkan manusia yang menyepadukan penggunaan teknologi canggih dalam badan. Dalam imaginasi saya, ia manusia yang ditanam dengan teknologi canggih untuk membolehkannya melakukan lompatan yang tinggi, memuat turun bahasa asing atau seni mempertahankan diri ke dalam otak dan sebagainya.

Pendokong transhumanisme dari Israel, Prof. Yuval Noah Harari berpendapat manusia hari ini adalah manusia terakhir daripada spesis homosapien. Beliau berkata manusia menghadapi ancaman kepupusan jika tidak berubah. Sama ada kita kekal seperti sekarang dan pupus, atau kita menaik taraf diri kita menjadi sesuatu yang lain dengan gabungan teknologi untuk terus hidup di dunia ini pada masa akan datang. Salah satu pandangan kontroversi Harari adalah manusia itu akan berevolusi daripada makhluk organik kepada bukan organik. Evolusi bukan lagi bergantung pada pemilihan semula jadi (natural selection) tetapi kepada reka bentuk pintar (intelligent design). Manusia tidak perlu lagi membiak dengan melakukan seks tetapi "conscious" manusia itu boleh hidup dalam badan daripada bahan bukan organik, mungkin? Atau memindahkan "conscious" pada badan lain selepas badan yang lama tidak lagi dapat meneruskan "kehidupan"? 

Akhirnya manusia itu sudah menjadi seperti tuhan, dalam menentukan ciri apa yang dia hendak untuk dirinya, dan secara teorinya boleh hidup kekal abadi. Ia nampak seperti cerita sains fiksyen dalam filem dan buku. Tetapi Harari sudah lama mempromosikan ideanya terutama dalam persidangan World Economic Forum di Davos.



Jika diberi pilihan, siapa yang tidak mahu hidup kekal abadi? Mungkin ada yang tidak mahu hidup abadi atas kepercayaan agama atau moral. Tapi sejak dahulu lagi, daripada cerita dalam Epic Gilgamesh kepada pencarian Holy Grail, manusia mendambakan kehidupan abadi. Malah konsep kehidupan di Syurga yang kekal abadi itu juga adalah terpancar daripada keinginan manusia untuk kekal hidup selama-lamanya. 

Ulasan

Catatan Popular Terpilih

Siri 3: Keindahan ateisme, penentuan sendiri tujuan hidup

Siri 2: Keindahan ateisme, memperakui kepelbagaian, hak manusia untuk berfikir

Masyarakat barat yang sentiasa ingin tahu