Al-Qaradawi menolak Imam Al-Mahdi

 Ulama besar Mesir, Dr Yusuf Qaradawi meninggal dunia pada 26 September 2022. Beliau merupakan salah seorang ulama atau sarjana Islam zaman moden ini yang mempunyai pengaruh hebat ke atas dunia Islam. Beliau telah menulis lebih 120 buku tentang Islam, merupakan pengasas IslamOnline dan terkenal dengan pandangannya yang progresif mengenai Islam. Salah satu pandangan kontroversi beliau adalah beliau menolak kewujudan Imam Al-Mahdi.


Gambar Yusuf Qaradawi

Qaradawi berkata kerana Imam Al-Mahdi tidak disebut dalam Quran dan juga secara eksplisit dalam Sahih Al-Bukhari dan Muslim, konsep Al-Mahdi itu tidak sepatutnya dianggap penting atau serius. Beliau menjelaskan jika perkara yang melibatkan kehadiran Al-Mahdi adalah sesuatu yang penting dalam agama, sudah pasti ia sudah termaktub dalam Al-Quran dan dalam hadis-hadis yang sahih. Namun realitinya adalah sebaliknya.

Tentu sahaja pandangan Qaradawi ini mengundang kritikan dari ulama syiah dan sebilangan ulama sunni. Namun Qaradawi tetap dengan pandangannya dengan menambah bahawa kehadiran Al-Mahdi pada akhir zaman ini juga ditolak oleh ulama-ulama yang dihormati lain termasuk Ibn Khaldun yang menilai hadis-hadis melibatkan Al-Mahdi sebagai daif atau lemah. Jadi tiada konsensus dalam kalangan ulama tentang Al-Mahdi.

Pendapat Qaradawi (dalam bahasa Arab)

Mitos Al-Mahdi memberi harapan palsu

Antara implikasi buruk daripada kepercayaan tentang Al-Mahdi yang diberikan oleh Qaradawi adalah apabila ada  yang mendakwa bahawa mereka sebagai Imam Al-Mahdi, seperti yang berlaku di Sudan pada akhir abad ke-19. Perang Mahdi di Sudan yang berlangsung pada tahun 1881 hingga 1899 mengorbankan ramai nyawa, terutama di pihak Mahdi dengan pengikut fanatik mereka yang tidak bersenjata canggih dan miskin. Akibatnya juga mengukuhkan lagi kedudukan British di Sudan. Di rantau sini termasuk di Indonesia dan Malaysia kebanyakan pemimpin kultus mengelar diri mereka sebagai Mahdi dan mempunyai pengikut fanatik yang sanggup melakukan apa sahaja sambil mengabaikan hal keduniaan kerana mereka menjangka dunia sudah hampir kiamat. Sementara itu pihak kerajaan melabel mereka sebagai pengikut ajaran sesat.

Dalam eskatologi Islam, Al-Mahdi adalah pemimpin penyelamat (Messiah) yang dipercayai akan muncul di dunia pada akhir zaman sebelum kiamat. Dia dikatakan akan membawa umat manusia ke arah kebaikan, menghapuskan kejahatan dan kezaliman. Dia dikatakan muncul ketika dunia ini dipenuhi dengan kezaliman dan kejahatan. Al-Mahdi dikatakan akan memenuhi bumi dengan keadilan dan saksama selama tujuh tahun.

Idea tentang kedatangan pemimpin agung yang penuh kebaikan dan sebagainya ini sama seperti konsep Yahudi dan Kristian tentang kedatangan Raja Agung bagi Yahudi yang akan menyelamatkan bangsa Yahudi dan memimpin dunia dengan adil dan saksama serta Kristian yang menunggu kedatangan Jesus.  

Bagi saya, idea seperti ini memberi harapan palsu kepada manusia. Kerana dunia ini bukan berfungsi seperti itu tetapi lebih bersifat roda seperti juga kehidupan kita di dunia ini. Empayar akan muncul dan selepas seketika empayar itu akan hancur musnah dan diganti oleh empayar lain. Kuasa dunia akan muncul dan musnah seperti putaran roda kehidupan kita juga.

Tiada siapa yang boleh menyelamatkan kita selain daripada diri kita sendiri. Realitinya, ketidakadilan dan kezaliman itu adalah sebahagian daripada kehidupan yang berlaku. Kita sendirilah yang bertanggungjawab untuk menyekat dan menghalang berlakunya ketidakadilan dan kezaliman, bukan mengharap ia dihapuskan 100 peratus daripada orang lain, lebih-lebih lagi daripada mitos seperti Al-Mahdi.

Jika ditinjau daripada segi fahaman new age, segala ketidakadilan dan kezaliman ini adalah sebahagian daripada pengalaman yang kita lalui sebagai manusia untuk menyedarkan diri kita tentang siapa manusia itu sebenarnya.

Fahaman yang menunggu kedatangan Al-Mahdi atau sesiapa sahaja untuk menyelamatkan kita hanya menjadikan diri kita lemah, tidak bersungguh-sungguh menentang kezaliman, dan tidak berusaha untuk memperbaiki diri dan masyarakat. Ia memberi harapan palsu seperti menunggu kucing bertanduk.

Ulasan

Catatan Popular Terpilih

Siri 3: Keindahan ateisme, penentuan sendiri tujuan hidup

Siri 2: Keindahan ateisme, memperakui kepelbagaian, hak manusia untuk berfikir

Masyarakat barat yang sentiasa ingin tahu