Ukuran moraliti mengikut zaman

 Dalam tahun lepas ketika masih seorang Muslim, saya pernah diajukan soalan oleh seorang yang ateis tentang kenapa anak-anak Adam kahwin sesama adik-beradik sedangkan pada zaman moden tindakan itu sama sekali menyalahi undang-undang malah konsep moraliti. Saya menjawab ini kerana zaman itu manusia tidak ramai lagi dan dibolehkan oleh agama. Orang ateis itu kemudian membetulkan jawapan saya dengan mengatakan ukuran moraliti itu berubah mengikut zaman dan takrifan manusia. 

Pada masa itu saya tidak begitu ambil kisah apa sahaja jawapannya. Kerana bagi saya tidak penting dan tanpa berfikir saya hanya mengiyakan apa sahaja alasan yang dikemukan oleh ulama Islam. Tapi kini memikir kembali soalan ini, sebenarnya jawapan yang diberikan oleh orang itu memang benar.

Bukan sahaja perkara berkaitan perkahwinan sesama adik-beradik semasa zaman Adam yang melanggar prinsip moraliti zaman sekarang, malah terdapat banyak lagi prinsip moraliti yang diamalkan pada zaman Muhammad yang bertentangan dengan prinsip moraliti zaman sekarang. Ini termasuklah perkahwinan Muhammad dengan Aisyah yang berumur 6 tahun. Kalau dikira perkahwinan dengan kanak-kanak ini apatah lagi mereka yang berumur 6 tahun yang belum pun matang amat dikeji oleh masyarakat antarabangsa.

Alasan yang diberi oleh Muslim yang menyokong perkahwinan itu adalah itu adalah kebiasaan masyarakat zaman itu dan gadis pada zaman itu cepat matang. Satu alasan yang saya kira tidak logik. Secara langsung berkata ukuran moraliti itu berubah mengikut zaman.

Satu lagi perkara besar ialah bab perhambaan. Saya pernah tulis yang Islam tidak pernah mengharamkan perhambaan. Sampai sekarang ayat Quran berkenaan perhambaan, bagaimana pemilik hamba itu boleh melakukan seks bersama hamba tanpa berkahwin. Dan bagaimana sehingga abad ke-20 pun masih ada negara Arab Islam yang mengamalkan perhambaan. Sedangkan mengikut prinsip moraliti itu perhambaan adalah sesuatu yang hina dan dilarang oleh undang-undang antarabangsa. Alasan yang diberikan adalah perhambaan tidak boleh dihapuskan secara mendadak kerana masyarakat bergantung kepadanya. Bukankah ini juga secara tersirat mengakui yang ukuran moraliti itu berubah mengikut zaman?

Masalah dengan alasan ini yang digunakan oleh Muslim ialah seolah-olah Allah itu tidak mengetahui atau menjangkakan perkara sebegitu akan menjadi masalah moral. Jadinya adakah kita boleh percaya bahawa Allah itu maha mengetahui segala sesuatu sama ada masa lepas, sekarang, dan akan datang? Kerana kononnya semuanya sudah tertulis dalam loh mahfuz. 

Kelangsungan kehidupan abadi melalui digital


Dan sekiranya ukuran moraliti itu berubah mengikut zaman, maka jika zaman ini ada orang yang mahu berkahwin sesama jenis maka mereka tidak patut dihalang dan dihukum kerana mengikut peredaran zaman. Jika dikatakan akan menghalang pertumbuhan manusia, kini ada bermacam cara untuk melahirkan bayi tanpa perkahwinan antara lelaki dan perempuan. Malah sudah ada eksperimen yang dibuat untuk pembentukan bayi tanpa menggunakan rahim wanita.

Seperti agama, moraliti hanya konsep yang dibuat dan direka oleh manusia. Ia dibuat untuk mengekalkan tamadun manusia dan memastikan keharmonian. Tapi rekaan manusia tidak boleh kekal statik. Ia mesti berubah mengikut zaman. 

Mungkin manusia takut tamadun manusia akan lupus sekiranya tiada lagi berlaku pembiakan sekiranya tiada lagi penyatuan antara lelaki dan wanita dalam perkahwinan. Namun, buku-buku dan filem-filem Hollywood sudah lama membawa idea pembentukan bayi di luar rahim manusia, menggunakan rahim artifisial, atau pemindahan "kesedaran diri". Dengan kelahiran manusia yang semakin menurun, sudah sampai masanya tamadun manusia memikirkan cara lain untuk "mengekalkan umat manusia" di bumi.

Sudah terdapat idea tentang meneruskan kelangsungan hidup dalam bentuk digital seperti dalam beberapa episod siri fiksyen sains Black Mirror. Saya juga baru selesai mendengar buku dalam bentuk audio bertajuk "The Simulated Multiverse: An MIT Computer Scientist Explores Parallel Universes, the Simulation Hypothesis, Quantum Computing and the Mandela Effect" oleh Rizwan Virk. Ceritanya berkisar tentang kemajuan yang manusia akan capai dengan pengkomputeran kuantum. Agak teknikal, tapi terdapat sesuatu yang menarik mengeai kemungkinan kita berada dalam dunia simulasi. 

Bagi Rizwan Virk, konsep manusia hidup dalam simulasi boleh menjadi "upgrade" kepada konsep kehidupan selepas mati yang dibawa oleh agama-agama. Ia merupakan "upgrade" kepada konsep yang tidak dapat dihuraikan oleh agama pada masa dahulu. Hujah beliau ialah kerana agama-agama dunia percaya manusia yang mati tidak sebenarnya mati malah hidup untuk alam yang seterusnya. Dan kebanayakan agama-agama ini menganggap kehidupan di dunia ini sebagai maya atau ilusi dan bukan kehidupan yang kekal.

Akhir-akhir ini sebenarnya saya menerima dan membaca maklumat tentang kehidupan digital, transmanusia (transhuman) dan sebagainya. Ia seperti mengikuti arnab putih dalam cerita Alice in the Wonderland yang membawa saya lebih mendalam ke alam fantasi. Bukankah impian kebanyakan manusia untuk hidup selama-lamanya? Dalam bukunya Virk menganggap realiti dunia ini dalam bentuk maklumat digital bukan fizikal atau yang berasaskan karbon.

Mungkin dengan kemajuan teknologi kuantum, yang kelebihannya mempunyai pemprosesan dan pengiraan yang pantas dan berkesan, kita akan dapat menghuraikan misteri kehidupan yang orang zaman dahulu tidak ada tetapi menggunakan agama sebagai kiasan. Dan saya yakin satu hari nanti agama akan menjadi tidak relevan dengan perkembangan teknologi dan ilmu pengetahuan yang tak disekat dan tersebar tanpa batasan. 


 


Ulasan

Catatan Popular Terpilih

Siri 3: Keindahan ateisme, penentuan sendiri tujuan hidup

Siri 2: Keindahan ateisme, memperakui kepelbagaian, hak manusia untuk berfikir

Masyarakat barat yang sentiasa ingin tahu