Mata Satu, Freemason dan reformis Islam

Kira-kira lebih 10 tahun yang lalu, sahabat saya menghubungi saya untuk bertanya adakah saya yang mencadangkan namanya untuk menyertai gerakan Freemason di Malaysia. Saya agak terkejut kerana saya tidak tahu menahu apatah lagi mempunyai kaitan dengan Freemason. Dia beranggapan begitu kerana saya memang seorang yang suka bercerita kepadanya mengenai Freemason dan Iluminati. Sahabat saya ini dahulu memang baik dengan beberapa orang penting dengan ahli politik top ketika ini. 

Saya tidak dapat mengesahkan sama ada cerita sahabat saya benar atau tidak cuma saya ingin menulis sedikit mengenai perkara ini, terutama ketika ada isu panas di media tempatan apabila pelawak dan penyampai radio Shuib dituduh sebagai agen Freemason. Semuanya apabila dia dan isterinya bergambar dengan menutup sebelah mata. Tindakan menutup sebelah mata dan menampakkan satu mata merupakan simbol Mata Satu. 

Simbol Mata Satu dikaitkan dengan Freemason dan digunakan oleh Freemason sebagai simbol bahawa tuhan sentiasa memerhati mereka. Mata Satu atau All-Seeing Eye atau Eye of Providence merupakan simbol sifat tuhan yang serba tahu dan wujud di mana-mana atau mengawal semuanya. Simbol Mata Satu ini mula digunakan dalam teks Freemason oleh Thomas Smith pada tahun 1797. Simbol ini juga boleh ditemui pada cap mohor besar Amerika Syarikat dan matawang dolar. 


Reformis Islam Freemason

Tahukah anda tokoh pembaharuan (reformis) Islam yang berpengaruh bernama Muhammad Abduh (1849-1905) seorang Freemason? Jawatan terakhir yang disandang oleh Muhammad Abduh adalah mufti Mesir sehingga beliau meninggal dunia pada tahun 1905. Beliau berpengaruh dalam memainkan peranan menggalakkan pembaharuan Islam antaranya galakan orang Islam berfikir secara kritis dan  mentafsirkan semula Al-Quran bersesuaian cabaran dan kehidupan zaman moden. Akibat daripada pandangan beliau ini, Muhammad Abduh dituduh sebagai seorang yang liberal dan bukan konservatif oleh ulama-ulama Islam, termasuk oleh bekasMufti Besar Mesir Syeikh Mahmud Syaltut. 

Muhammad Abduh dikatakan seorang ahli Freemason yang berkhidmat dengan kerajaan British. Saya menemui satu artikel di sini mengenai kisah Muhammad Abduh dan Freemason daripada seorang yang bernama Hassan Yahya dan mendakwa dia sebagai profesor perbandingan agama dari Amerika Syarikat. Dia menulis bahawa satu tujuan gerakan Freemason yang dianggota oleh Muhammad Abduh adalah untuk mewujudkan satu kerajaan dunia. Lantikan Muhammad Abduh sebagai Mufti Besar Mesir dikatakan dibuat oleh pegawai kerajaan British yang menduduki Mesir pada ketika itu. Dalam entri Wikipedia juga ada bahagian tentang penyertaan Muhammad Abduh dalam Freemason.

Artikel yang sama oleh Hassan Yahya mengatakan Jamaluddin Al-Afghani, yang juga seorang reformis Islam, sebagai seorang ahli Freemason.  Selain dua orang reformis Islam ini, saya juga ada membaca tentang pejuang Ikhwanul Muslimin di Mesir iaitu Sayyid Qutb dan Hassan Al-Banna sebagai ahli Freemason. 

Dalam sebuah jurnal al-Taj al-Masri pada 23 April 1943, Sayyid Qutb menulis sebuah artikel bertajuk "Kenapa saya menjadi Freemason" dalam bahasa Arab. Saya mendapat petikan ini daripada sini

Antara petikan penting:

"Saya tahu bahawa Freemason adalah contoh terbaik bagi setiap orang yang mencari kesempurnaan, atau mendambakan ketinggian dan kemuliaan. Ia adalah kebaikan yang melibatkan makna tertinggi, dan tujuan yang paling mulia. Ia adalah prinsip kesempurnaan dan kemuncaknya.

"Freemason adalah kesatuan yang menyatukan kepelbagaian agama dan Freemason tidak mengetahui makna kepartian. Kamu tidak akan menemui perkataan fanatik dalam perundangannya. Freemason adalah seperti sihir yang menjinakkan semua hati di Timur atau Barat. Ia adalah satu-satunya tempat di mana setiap orang, sama ada yang kecil dan dewasa dapat berjabat tangan sebagai saudara lelaki dengan saudaranya, dan mereka duduk bersebelahan, tanpa melihat kepada perbezaan sosial atau pusat kesusasteraan. Hal tersebut tidak mengejutkan kerana asas dan terasnya didasarkan kepada kebebasan, persaudaraan dan kesamaan hak. Betapa besar tiang-tiangnya, betapa kuat asas-asas pembinaannya, dan betapa mantap prinsip-prinsipnya."

Mengapa agaknya ideologi Freemason menarik perhatian reformis Islam? Adakah kerana ia menganjurkan penyatuan dalam kepelbagaian agama? Nampak seperti tujuan Freemason ini mulia tapi banyak disalah ertikan.

Kenapa berpandangan negatif dengan Freemason?

Freemason selalunya dipandang negatif oleh orang Islam yang mengaitkannya dengan agenda dajal dan penguasaan dunia. Yalah kerana kewujudan satu kerajaan dunia itu memerlukan menguasai seluruh dunia. Tambahan pula gerakan ini bersifat rahsia dan menggunakan simbol-simbol yang orang Islam tidak faham seperti Mata Satu, piramid, alatan seni bina dan ukur, dan sebagainya.     

Asal usul penubuhan persatuan rahsia seperti Freemason itu sendiri diselubungi dengan kerahsiaan. "Free mason" asalnya tukang batu bebas yang mahir dalam seni pembinaan. Mereka membina gereja besar yang hebat pada zaman pertengahan (abad ke-5 hingga ke-15) dan menubuhkan persatuan yang menggunakan simbol dan alegori.  Antara tujuan Freemason ditubuhkan ialah untuk melindungi rahsia cara "free mason" membina bangunan. Ia juga dikatakan untuk memelihara rahsia dan pengetahuan esoterik yang tersembunyi daripada orang awam dan kepercayaan yang tidak disenangi oleh pihak berkuasa dan gereja.

Kebetulan saya teringat juga tulisan saya sebelum ini mengenai kasta manusia dan kedatangan malapetaka dunia yang tidak dapat dielak. Selain itu saya masih teringat menonton beberapa video di YouTube yang bercerita dengan kewujudan segelintir kumpulan manusia yang memegang rahsia mengenai kitaran bumi yang akan musnah dan terbina kembali. Juga asal perkataan apocalypse itu bukan merujuk kepada kiamat tapi kepada pendedahan besar mengenai kemusnahan bumi dan kebangkitan semula bumi selepas musnah.

Kemungkinan Freemason ada menyimpan rahsia mengenai ini yang mereka warisi turun temurun? Kerana kalau diumumkan kepada orang ramai maka kerajaan dunia ini akan tumbang dan kecoh kerana manusia takut menghadapi kemusnahan yang mereka tidak dapat elak? Entahlah.


Ulasan

Catatan Popular Terpilih

Siri 3: Keindahan ateisme, penentuan sendiri tujuan hidup

Siri 2: Keindahan ateisme, memperakui kepelbagaian, hak manusia untuk berfikir

Masyarakat barat yang sentiasa ingin tahu