Kasta manusia dan malapetaka dunia

Pertama sekali takziah dan simpati kepada mangsa gempa bumi di Turki dan Syria. Baiklah ke tulisan saya kali ini ada berkaitan dengan Turki dan malapetaka.

Salah seorang pembaca di blog ini mencadangkan kepada saya untuk membaca berkenaan human biodiversity (HDB) atau biokepelbagaian manusia. Menurut teori HDB, bangsa-bangsa manusia itu terjadinya bukan disebabkan oleh konstruk sosial atau identiti yang diberikan berdasarkan peraturan yang dibuat oleh masyarakat. Sebaliknya bangsa-bangsa itu berbeza disebabkan oleh biologi mereka, atau biologi memainkan peranan penting dalam identiti bangsa seseorang, termasuk dalam pembentukan tingkah laku dan kepintaran seseorang.

Teori HDB ini mendapat kritikan kerana didakwa menggalakkan perkauman dengan menganggap terdapat bangsa manusia yang lebih superior dengan tahap intelek yang tinggi, dan kelakuan yang lebih beradab berbanding bangsa manusia yang lebih inferior dengan kelakuan yang buruk dan tahap intelek yang rendah. Anda boleh membaca mengenai HDB di sini

Tujuan saya menulis tentang bangsa manusia yang berbeza ini berkaitan dengan topik seterusnya yang saya ingin bincangkan iaitu tentang teori tentang dunia yang akan melalui malapetaka dan pengasingan manusia menurut kasta.

Cabaran kepada golongan perdana mengenai teori malapetaka dunia dan tamadun maju zaman air batu

Akhirnya saya selesai menonton siri dokumentari Ancient Apocalype di Netflix. Premis dokumentari arahan Graham Hancock ini ialah terdapat tamadun (atau tamadun-tamadun?) yang lebih maju pada zaman air batu yang musnah disebabkan malapetaka besar. Malapetaka ini dipanggil Younger Dryas oleh Hancock. Namun malapetaka besar ini tidak memusnahkan spesies manusia. Sebaliknya ada yang terselamat, dan mereka ini kemudian mengembara untuk memindahkan pengetahuan kepada masyarakat lain yang masih mundur ketika itu. Masyarakat mundur ini masih belum mengenal kemajuan seperti pertanian dan hanya memburu binatang dan mengutip hasil-hasil hutan untuk makanan. Menurut Hancock, pemindahan pengetahuan ini membawa kepada kemunculan tamadun awal manusia di Mesir, Mesopotamia, dan Mesoamerika.

Hancock mengakui beliau bukan seorang ahli arkeologi atau saintis. Namun pendekatan beliau dalam siri dokumentari ini adalah sebagai seorang wartawan yang menimbulkan persoalan untuk dibincangkan. Beliau secara berterus-terang memberitahu bahawa beliau mendapat penentangan daripada ahli akademik, saintis dan pakar arkeologi aliran perdana. Beliau berpendapat golongan akademik perdana ini tidak mahu melihat kepada teori-teori alternatif kerana lebih selesa dengan apa yang mereka telah pelajari sebelum ini.

Secara sedar atau tidak, Hancock telah menyemai perasaan tidak mempercayai golongan akademik arus perdana. Sekiranya teori beliau betul, atau sekurang-kurangnya ada yang betul, maka sejarah dunia pastinya perlu ditulis semula. Maksudnya manusia itu tidak mungkin berevolusi daripada beruk, kerana bagi Hancock manusia itu sudah maju lebih 12,000 tahun lamanya dengan membuat monumen dan struktur mega mengagumkan yang masih berdiri pada hari ini seperti di Gobekli Tepe dan bandar bawah tanah Derinkuyu di Turki, piramid di Mesir dan Mexico, serta binaan luar biasa lain di Ohio dan sebagainya. Mereka ini juga menurut Hancock mempunyai pemahaman astronomi yang maju. Cumanya menurut Hancock manusia mempunyai amnesia atau lupa tentang sejarah lama nenek moyang mereka. 

Bandar bawah tanah Derinkuyu di Turki.

Pengkritik Hancock menuduh beliau sebagai memperjuangkan teori perkauman dengan mengatakan Hancock sebenarnya mengagungkan bangsa kulit putih dengan seolah-olah membawa andaian bahawa tamadun maju zaman air batu ini terdiri daripada bangsa kulit putih. Mereka berhujah berdasarkan buku dan tulisan Hancock sebelum ini yang antara lain mengatakan tamadun purba ini sebagai Atlantis dan terdiri daripada bangsa kulit putih. Mereka juga menuduh Hancock mengamalkan pseudoarkeologi tanpa bukti-bukti kukuh.

Kerajaan supranasional dan pengasingan manusia mengikut kasta

Utusan Malaysia ada menyiarkan satu artikel pada 25 Januari 2023 yang bertajuk "Rancang kecilkan skop, pengaruh kita?" Ia satu artikel berbayar, dan bagi menghormati hasil kerja wartawan Malaysia, saya hanya akan meringkaskan isi artikel ini seperti di bawah.

Terdapat satu persidangan rahsia yang hanya dihadiri golongan elit dalam kalangan pegawai tinggi Amerika Syarikat, saintis, ahli kewangan, dan teknologi maklumat dan keselamatan di Santa Fe, New Mexico, Amerika Syarikat pada Ogos 2018.  Persidangan ini membincangkan malapetaka besar yang akan melanda dunia dalam masa terdekat. Utusan mendakwa menerima laporan mengenai persidangan ini daripada sumber agensi keselamatan luar negara. Sebab utama malapetaka ini ialah pertambahan populasi dunia yang menggunakan sumber yang terhad. Antara ancaman yang dikenalpasti ialah krisis makanan dan tenaga, serta krisis ekonomi dan sosial. 

Bagi menghadapi ancaman kemusnahan ini, mereka mencadangkan mewujudkan dua kasta. Kasta pertama terdiri daripada kalangan elit dan mereka yang mempunyai intelektual yang tinggi dan "kehormatan" yang tinggi. Sementara kasta kedua adalah penduduk dunia lain yang bukan daripada kasta pertama. Bagi mewujudkan pengasingan ini mereka perlu mewujudkan enclaf atau kawasan pengasingan dan ini memerlukan dana yang besar dan kuasa yang kuat.

Untuk tujuan itu, para peserta mencadangkan mewujudkan satu kerajaan supranasional atau satu kerajaan dunia yang mempunyai kuasa dan pengaruh merentasi kerajaan nasional di setiap negara di dunia. Bermakna juga kuasa dan skop kerajaan nasional di setiap negara perlu dikecilkan. 

Saya tidak pasti mengapa Utusan menyiarkan artikel ini tanpa memberitahu sumbernya secara khusus. Penulis hanya mengatakan dia mendapat sumber daripada agensi risik luar negara. Apa pun tujuannya, teori konspirasi ini berkait rapat dengan apa yang saya tulis di atas tentang pandangan mengenai kewujudan kelas manusia yang lebih superior berbanding dengan kelas-kelas manusia yang lain. Sama ada ia benar atau palsu, realitinya masyarakat dunia sememangnya terbahagi kepada beberapa kelas seperti negara-negara maju di barat dan Amerika Syarikat serta negara-negara mundur atau dunia ketiga di Afrika, dan Asia. 

Agama bukan jalan penyelesaian

Sudah sekian lamanya masyarakat manusia cuba mencari penyelesaian kepada pencegahan pemisahan manusia dan kesamarataan manusia. Berbagai cara digunakan termasuk melalui fahaman agama dan isme-isme lain. Secara jujurnya saya tidak melihat penyelesaian agama boleh membawa ke arah kesamarataan pun. Islam terutamanya mendakwa manusia itu sama tarafnya di sisi tuhan tapi kemudian membezakan manusia dari segi tahap takwa mereka malah agama. Malah terdapat hadis yang menghina orang berkulit hitam dengan memberi gambaran mereka sebagai hamba kulit hitam berkepala seperti kismis. Baca Sahih Al-Bukhari 7142. Islam juga memberi gambaran penduduk neraka itu bermuka hitam, dan syurga itu berkulit putih dengan bidadari yang lutsinar! Seolah-olah hitam adalah warna yang dikutuk dan putih adalah warna yang disenangi.

Walaupun terdapat masalah perkauman pada zaman ini di negara-negara barat dan berfahaman liberalisme, sekurang-kurangnya mereka berusaha ke arah memperakui hak-hak minoriti dan mereka yang bukan berkulit putih dengan undang-undang dan melalui hasil karya dan filem dengan penonjolan watak berbilang kaum, agama, dan orientasi seksualiti. Jika anda perasanlah semakin banyak representasi wanita bertudung dalam siri dan filem dari Amerika Syarikat dan Barat, termasuk dalam Netflix dan sebagainya.

Berbalik kepada isu malapetaka dunia, sekiranya ia berlaku, bagaimana Islam akan menanganinya? Mengikut fahaman Islam, kemajuan manusia hanya terhenti setakat ini, dengan mengandaikan malapetaka besar atau kemusnahan dunia sebagai kiamat. Selepas itu manusia akan diadili dengan yang baik masuk ke dalam syurga dan yang jahat dicampak ke dalam neraka. Meskipun amaran tentang akhir zaman, kedatangan Imam Mahdi, kemunculan dajjal, kedatangan semula Jesus, yakjuj dan makjuj ini sudah diuar-uarkan oleh Muhammad pada 1,400 tahun lalu, tapi tidak berlaku lagi. Dalam beberapa hadis misalnya Muhammad pernah berkata seorang budak lelaki daripada kaum Azd Shanu'a tidak akan sempat menjadi tua kerana kiamat akan berlaku sebelum itu (Sahih Muslim). 

Poin saya di sini adalah kerangka pemikiran agama terutama Islam itu terlalu simplistik. Sedangkan jika jika membaca di luar kerangka Islam ini, sebenarnya terdapat banyak lagi perkara yang boleh diterokai untuk membuat persediaan menghadapi ancaman malapetaka dunia dan isu pemisahan antara manusia ini. Mungkin ada kebaikannya dengan mengasuh Muslim menerima sahaja apa yang ditafsir oleh ulama-ulama Islam. Jadi apabila malapetaka itu benar-benar berlaku, cuma disuruh Muslim kebanyakan ini menerima takdir, sementara mereka dan bangsawan lain pergi berpindah ke dalam bandar bawah tanah seperti Derinkuyu di Turki. Lagi pun agama itu adalah satu cara untuk mengawal manusia.


 



Ulasan

Catatan Popular Terpilih

Siri 3: Keindahan ateisme, penentuan sendiri tujuan hidup

Siri 2: Keindahan ateisme, memperakui kepelbagaian, hak manusia untuk berfikir

Masyarakat barat yang sentiasa ingin tahu