Kalaulah Nabi Muhammad hidup pada zaman selfie...

 



Tidak habis-habis kontroversi dicetuskan oleh Islam dan pemikirannya yang ketinggalan zaman, terutama zaman moden dengan media sosialnya, dan seni visual dan budaya selfienya. Kali ini seorang pensyarah di Universiti Hamline, Minnesota, di Amerika Syarikat ditamatkan perkhidmatannya kerana memaparkan lukisan Nabi Muhammad di dalam satu kelas seni oleh pihak universiti. Pihak universiti membuat demikian selepas mendapat aduan daripada seorang pelajar Muslim yang menganggap tindakan pensyarah itu menghina Islam. 

Pada 6 Oktober, pensyarah Erika López Prater yang mengajar sejarah seni dunia menunjukkan lukisan Nabi Muhammad yang dibuat pada abad ke-14 oleh wazir dan ahli sejarah Muslim terkenal pada masa itu Rashid-al-Din (1247-1318). Gambar itu menunjukkan Malaikat Jibril menyampaikan wahyu Quran pertama kepada Nabi Muhammad. Anda boleh melihat gambarnya di atas. 

Malah sebelum menunjukkan lukisan tersebut, pensyarah seni itu telah memberi amaran bahawa, walaupun terdapat pandangan meluas bahawa Islam melarang lukisan atau gambaran tentang Nabi Muhammad, namun terdapat juga golongan masyarakat Muslim yang tidak melarangnya. Secara khususnya, kebanyakan aliran Sunni melarang gambaran dan representasi Nabi Muhammad seperti dalam lukisan dan filem, tetapi bagi aliran Syiah gambaran tentang Muhammad dibenarkan jika dibuat dengan penuh hormat. 

Gambaran atau lukisan yang menjadi kontroversi ini (gambar di atas) boleh didapati dalam buku koleksi catatan dan gambar Jāmiʿ al-Tawārīkh oleh Rashid-al-Din yang dilahirkan di Parsi atau Iran pada masa sekarang. Buku koleksi beliau itu dianggap sebagai satu-satunya sumber penting sejarah zaman dinasti Ilkhanat yang menjadi sebahagian daripada Empayar Mongol. Buku koleksi ini dilengkapkan antara tahun 1307 hingga 1316, semasa pemerintahan Öljaitü, iaitu salah seorang pemerintah dinasti Ilkhanat.

Anda boleh baca beritanya di NYT di sini bertajuk A Lecturer Showed a Painting of the Prophet Muhammad. She Lost Her Job (berbayar) atau di sini Most of All, I am Offended as a Muslim (tidak berbayar).

Mencegah penyembahan atau penghapusan warisan budaya dan sejarah?

Larangan membuat lukisan atau gambaran mengenai Nabi Muhammad ini berdasarkan kepada hujah yang mendakwa lukisan atau gambar bagi tokoh keagamaan dan mereka yang dihormati boleh membawa kepada pendewaan, pemujaan atau penyembahan seperti berhala. Pemikiran bagi larangan seperti ini sebenarnya tidak terhad kepada Islam, tetapi berlaku juga terutamanya dalam agama samawi lain seperti Kristian dan Yahudi.

Apabila agama Kristian mula menjadi agama rasmi Empayar Rom semasa pemerintahan Theodosius I pada tahun 380, banyak kuil agama pagan yang dianuti masyarakat sebelum itu dimusnahkan, termasuklah Serapeum di Alexandria, Mesir. Pemusnahan Serapeum di Alexandria adalah peristiwa yang terjadi pada tahun 391 Masehi, apabila Serapeum, kuil untuk dewa mitologi Yunani Serapis yang terletak di Alexandria, Mesir, dimusnahkan dan dibakar oleh pasukan tentera Rom yang dipimpin oleh Theophilus, Uskup Alexandria. Peristiwa ini merupakan sebahagian daripada perang antara golongan pagan dan golongan  Kristian di Alexandria pada masa itu. Serapeum dikenal sebagai salah satu kuil paling penting dan bersejarah di Mesir kuno, dan dianggap sebagai tempat penyimpanan berharga karya sastera dan ilmu pengetahuan dari masa lalu. Pemusnahan kuil ini dianggap sebagai kerugian besar bagi sejarah dan budaya Mesir kuno, juga kepada dunia.

Namun hari ini agama Kristian tidak lagi menjadi sekeras dahulu. Walaupun terdapat denominasi Kristian (seperti mazhab dalam Islam) yang cenderung menolak penggunaan gambar atau ikon dalam kegiatan keagamaan mereka, denominasi Kristian lain, seperti Ortodoks, Katolik dan Anglikan, menganggap penggunaan unsur-unsur ini sebagai cara untuk mendekatkan diri kepada Tuhan dan membantu dalam pemahaman kepercayaan mereka. Mereka menghormati gambar dan ikon ini sebagai simbol spiritual, bukan sebagai objek kultus, atau hanya yang diterima oleh pihak berkuasa Gereja saja yang boleh digunakan.

"No pix no proof"

Bagaimana agaknya jika Muhammad hidup pada zaman media sosial dengan orang dari muda sehingga tua gemar mengambil gambar selfie? Mungkinkah gambarnya seperti di bawah?

Gambar di atas adalah gambar yang mungkin anda boleh temui di dalam rumah-rumah penganut Syiah di Iran dan di mana-mana. Ia dikatakan gambar Imam Hussain iaitu anak lelaki kepada Fatimah anak perempuan Muhammad dan Ali bin Abu Talib. Ulama' syiah didapati lebih liberal dalam hal gambar atau lukisan tentang Muhammad dan keluarga mereka, asalnya ia bukan gambar yang menghina. Malah terdapat juga gambaran Muhammad semasa remaja yang dicetak di poster dan poskad di Iran yang amat popular juga seperti gambar di bawah.


Gambar: Potret Muhammad semasa remaja pada poster dicetak di Tehran, 30.5 x 20.5 cm, diperoleh di Tehran pada musim panas 2004 (Sumber: https://journals.openedition.org/etudesphotographiques/747)

Sebenarnya tidak ada larangan secara eksplisit pun dalam Quran tentang lukisan Nabi. Malah lukisan potret boleh memegang peranan penting dalam dokumentasi sejarah kerana ia merakam wajah dan tampilan seseorang secara visual. Ia boleh juga menunjukkan pakaian pada zaman itu, dan mungkin setting atau persekitaran yang membantu kita lebih memahami sejarah.

Kenapa agaknya orang zaman dahulu tidak mahu melukiskan gambar-gambar pemimpin agama mereka atas alasan boleh membawa kepada pendewaan dan penyembahan? Mungkinkah mereka itu sebenarnya hanya tokoh mitos? Saya sering tertanya juga persoalan ini. Seperti apabila orang berkata "no picture no proof".

Saya ada membaca Muhammad digambarkan dalam satu riwayat sebagai seorang yang mempunyai rambut berwarna merah, berkulit putih dan lebih tinggi daripada orang Arab biasa pada zamannya. Macam bukan orang Arab pula bila difikirkan dengan ciri rambut merah, berkulit putih dan tinggi. Seperti ciri orang Eropah pula. Mungkinkah Muhammad itu asalnya bukan orang Arab seperti juga Buddha yang digambarkan seperti orang Aryan bermata biru, tinggi dan berbadan sasa, bukannya penduduk tempatan di India? Tambahan pula Muhammad dikatakan tidak tahu membaca dan menulis. Mungkin ia satu allegori bahawa Muhammad bukan orang Arab tapi orang asing. Soalan-soalan ini kini tergantung tanpa jawapan.

Kalau Muhammad masih hidup pada zaman selfie yang berleluasa ini, dia pun tidak keberatan untuk merakam gambarnya!

Ulasan

Catatan Popular Terpilih

Siri 3: Keindahan ateisme, penentuan sendiri tujuan hidup

Siri 2: Keindahan ateisme, memperakui kepelbagaian, hak manusia untuk berfikir

Masyarakat barat yang sentiasa ingin tahu