Pengajaran Iran untuk orang Melayu

 Dalam masa dua bulan ini saya telah mendengar dua buku (melalui Audible) berkenaan Iran. Satu buku bertajuk Iran's Great Awakening dan satu lagi bertajuk From Miniskirt to Hijab. Kedua-dua buku ini memberi saya konteks untuk memahami dengan lebih mendalam tentang apa yang berlaku di Iran sekarang yang sedang melalui revolusi menentang pemerintahan teokratik agama Islam. 


Dalam Iran's Great Awakening, penulisnya Dr. Hormoz Shariat merupakan seorang bekas Muslim yang kini mengabdikan kehidupannya untuk Jesus Christ. Melalui stesen TV satelitnya, beliau memancarkan program agama Kristian ke masyarakat Iran yang semakin hari semakin menolak Islam. Apa yang menarik beliau meramalkan Iran akan menjadi sebuah negara Kristian. Negara Kristian yang dimaksudkan beliau bukanlah seperti apa yang kita fahami sebuah negara yang menjalankan hukum-hukum Kristian tapi lebih kepada negara sekular dengan nilai dan falsafah Kristian seperti mengutamakan pendidikan, menentang kezaliman, dan kasih sayang sesama makhluk. Dr Shariat mendakwa terdapat gerakan gereja bawah tanah atau di rumah yang banyak dipimpin oleh golongan wanita. Beliau juga bercakap tentang kejadian bunuh diri yang banyak di Iran kerana rakyatnya sudah putus harapan dengan kehidupan. Jadi tidak hairanlah ramai remaja di Iran yang bunuh diri dan sanggup mati dalam protes kerana mereka berasa hidup mereka di Iran sebagai sia-sia.

Sementara itu, dalam From Miniskirt to Hijab, penulis Jacqueline Saper menceritakan pengalaman beliau hidup di Iran sebagai gadis yahudi berdarah Inggeris dan Parsi dalam tiga zaman iaitu zaman pemerintahan sekular Shah Iran, zaman revolusi, dan zaman pemerintahan regim Republik Islam Iran. Buku ini sangat menarik, Jacqueline menulis pandangan dari dalam Iran, bagaimana totoknya pemikiran rakyat dan pemimpin di Iran pada masa itu. Contohnya pengasingan antara lelaki dan wanita di pantai Laut Caspian, di dalam bas, dan di sekolah untuk kanak-kanak pada umur 6 tahun. Selain itu, beliau menceritakan bagaimana bekas minuman dan alatan yang digunakan oleh orang Yahudi dianggap najis dan layanan rakyat kelas kedua yang diberikan oleh kerajaan Islam kepada penganut agama bukan Islam Syiah seperti Bahai, Yahudi, dan Kristian. Beliau juga menulis tentang rakan kepada suaminya seorang doktor yang dihukum bunuh kerana dituduh menjadi perisik dan seorang homoseksual.

Hukuman mati, indoktrinasi dan mencium gambar Khomeini

Ketika membaca kedua-dua buku ini, terdapat satu tema yang menonjol. Bahawa penentangan terhadap regim Islam Iran sudah berlaku sejak tahun 1980-an lagi. Didapati kerajaan Khomeini pada mulanya tidak menunjukkan belangnya dan disambut oleh rakyat Iran yang mahukan lebih kebebasan daripada dasar-dasar dan peraturan Shah Iran yang menindas dan dilihat kebaratan. Tetapi tidak lama selepas itu, kerajaan Islam Iran mula memaksa pemakaian hijab kepada semua wanita, tidak kira Muslim atau bukan Muslim dan mula melakukan indoktrinasi kepada kanak-kanak sekolah dengan apa yang saya panggil "ketuanan Islam Syiah".

Tindakan-tindakan keras yang dilakukan termasuk menghukum bunuh dan memenjarakan mereka yang melawan regim Islam dan dasar-dasarnya ini menyebabkan ramai orang Iran berhijrah keluar dari negara itu. Mereka keluar sama ada secara sah atau tidak sah. Mereka yang keluar ini termasuklah golongan intelektual dan orang muda yang berpotensi untuk menyumbang kepada negara. 

Dalam kes Dr Shariati, beliau keluar selepas adik lelakinya yang berumur 16 tahun dihukum tembak mati atas kesalahan kecil memprotes kerajaan. Sementara Seper keluar dari Iran dengan cara penipuan kerana tidak mahu anak perempuannya melalui proses indoktrinasi di sekolah seperti mencium gambar khomeini. Malah anak perempuannya yang masih muda mula melaungkan "hancur Amerika, hancur Israel" sedangkan keluarga mereka berdarah Yahudi.

Tidak banyak bezanya antara apa yang berlaku di Iran pada masa itu dan apa yang berlaku di Malaysia. Cumanya kerajaan Islam Iran melaksanakan dengan kekerasan dan di Malaysia belum sampai ke peringkat membunuh penentang Islam, tapi dengan undang-undang, denda, serta kata-kata.

Jangan terpengaruh dengan penunggang agama sehingga minum kencing

Khomeini pada awal zaman revolusi, tidak mengatakan Iran akan mengamalkan Islam yang begitu ketat. Malah dia seolah-olah memberi gambaran bahawa Iran akan menjadi sebuah negara demokrasi yang mematuhi prinsip kebebasan asasi. Malah seperti yang ditulis oleh Seper, Khomeini dikatakan tidak akan kekal menjadi pemimpin tapi akan meneruskan kehidupan sebagai ahli agama di Iran dengan tidak mencampuri hal ehwal politik. Tapi apabila sudah merasai kuasa maka lain pula ceritanya. 

Begitu jugalah di Malaysia. Adakah parti-parti yang menunggang agama ini boleh dipercayai? Meskipun saya boleh fahami niat sebenar mereka adalah untuk menuju kepada kebaikan, tapi kebaikan itu adalah pada lensa mereka sebagai Muslim berdasarkan tafsiran Islam. Malang sekali kerana mereka ini hanya mempercayai Islam sebagai satu-satunya penyelesaian kepada segala macam permasalahan dunia. Jadinya mereka menganggap wanita itu perlu memakai tudung untuk mengelakkan lelaki naik nafsu syahwat. Dalam bukunya, Seper menulis terdapat ulama Iran yang datang dengan kononnya satu kajian bahawa rambut wanita itu memancarkan radiasi yang membuatkan lelaki bernafsu! Saya tergelak membaca perkara mengarut seperti itu. 

Bukankah di Malaysia pun ada banyak benda-benda mengarut yang diucapkan oleh golongan agamawan? Baru-baru ini misalnya seorang ustazah mengatakan suami itu dayus kerana membenarkan isterinya bersalin dengan doktor lelaki dan minum susu punca kutu. Itu belum lagi jika kita membaca hadis yang menggalakkan untuk meminum kencing unta. Juga hadis yang menyuruh kita menenggelamkan kedua-dua sayap lalat yang masuk dalam air minuman kerana kononnya satu sayapnya racun dan satu lagi adalah penawar.

Pengajarannya, berhati-hati dengan orang yang menggunakan agama. Dan untuk pilihanraya kali ini jangan mengundi mereka yang menunggang agama. Malaysia perlu menjadi negara sekular untuk maju, bukannya menjadi regresif dan ke belakang dengan menguatkan amalan Islam, kerana Islam itu juga adalah buatan manusia pada zamannya iaitu abad ke-7. Hati-hati dengan ajaran agama yang menggalakkan penganutnya minum kencing unta ini.






Ulasan

Catatan Popular Terpilih

Siri 3: Keindahan ateisme, penentuan sendiri tujuan hidup

Siri 2: Keindahan ateisme, memperakui kepelbagaian, hak manusia untuk berfikir

Masyarakat barat yang sentiasa ingin tahu