Bandar pintar masa depan dan pesta Halloween di Arab Saudi

Saya agak sibuk kebelakangan ini tapi masih sentiasa mengikut perkembangan semasa tentang apa yang berlaku di Iran terutamanya. Selain Iran, antara negara Islam yag saya merasakan akan memberi impak sekiranya mereka mereformasikan Islam adalah Arab Saudi. Ada beberapa perkembangan yang menarik perhatian saya baru-baru ini mengenai Arab Saudi. Pertamanya baru-baru ini saya menerima gambar pembinaan The Line di Arab Saudi melalui WhatsApp. Gambar yang diambil dari atas oleh dron itu menunjukkan jentera berat sedang bekerja di tengah-tengah padang pasir. Kedua ialah tentang sambutan Halloween di Arab Saudi dengan gambar dan video rakyat Arab Saudi memakai pakaian bertemakan hantu, topeng yang menakutkan, atau pakaian yang beraneka ragam. 

Bandar pintar Neom

The Line merupakan satu bandar pintar yang sedang dibina secara memanjang lurus 170 km di Arab Saudi. Ia merupakan sebahagian daripada projek bandar pintar Neom Arab Saudi yang dianggar akan menelan kos US$500 bilion.  Neom terletak di barat laut Arab Saudi, dalam wilayah Tabuk. Ia secara strategik berada dekat dengan Laut Merah, di timur Mesir, dan selatan Jordan.  Ia merupakan satu projek mega yang diumumkan oleh Putera Mahkota Saudi Mohammed bin Salman (yang telah melantik dirinya sendiri sebagai Perdana Menteri Arab Saudi bulan September tahun ini) dalam satu persidangan Inisiatif Pelaburan Masa Depan pada tahun 2017. 

Inisiatif pembinaan bandar ini merupakan sebahagian daripada Visi Saudi 2030, dengan matlamat untuk mengurangkan pergantungan negara pengeluar minyak itu kepada minyak, dan mempelbagaikan ekonominya dan memodenkan negaranya. Neom digambarkan sebagai bandar pintar yang menggunakan robot untuk sekuriti, logistik, penghantaran barang ke rumah, dan penjagaan kanak-kanak, orang tua dan orang kelainan upaya. Bandar ini dikatakan akan dikuasakan oleh tenaga boleh diperbaharui. Fasa pertama projek ini dijadualkan selesai pada tahun 2025.

Pesta hantu Halloween


 Gambar rakyat Saudi yang bertopeng hantu di atas tular di Internet dan mendapat reaksi yang bercampur-campur. Ada yang menyambutnya dengan baik sebagai satu gambaran keterbukaan Arab Saudi kepada kemodenan dan tidak terlalu terikat dengan Islam. Sementara itu ramai Muslim yang tidak bersetuju kerana pesta Halloween ini dianggap bertentangan dengan Islam. Mereka berkata pesta Halloween yang disambut pada 31 Oktober setiap tahun ini berasal daripada sambutan pagan iaitu orang yang tidak percaya kepada agama dan mengagungkan syaitan.

Halloween merupakan satu lagi usaha keterbukaan Arab Saudi yang dilakukan oleh Putera Mahkota Salman. Di bawah Visi 2030 sambutan seperti Halloween ini mula dibenarkan di Arab Saudi pada tahun 2021. 

Sementara di Arab Saudi, sambutan ini dibenarkan, di Malaysia berlaku serbuan ke atas sebuah parti Halloween yang dibuat oleh Jabatan Agama Islam Wilayah dan polis dengan menangkap mereka yang dikatakan 'crossdressing'. Lelaki Muslim yang berpakaian seperti wanita dianggap melanggar undang-undang syariah. Mereka yang ditangkap dituduh melanggar undang-undang crossdressing, menggalakkan maksiat dan berkelakuan tidak senonoh. Parti ini dianjurkan oleh komuniti LGBTQ di Malaysia dan dilaporkan sudah mendapat kebenaran polis. Penangkapan ini dikutuk oleh pertubuhan hak asasi manusia termasuk yang di luar negara.

Usaha pemodenan Arab Saudi

Sejak Putera Mahkota Salman menjadi pemerintah defacto Arab Saudi, beliau telah melaksanakan beberapa pembaharuan dan dasar keterbukaan. Putera Mahkota Salman yang berusia 37 tahun ini dikatakan pandangan liberal dalam isu ekonomi dan sosial. Dalam satu temuramah dengan media misalnya beliau pernah menyebut mahu membuang lebih 90 peratus hadis kerana dikatakan tidak cocok dengan zaman moden.

Visi 2030 beliau juga merupakan salah satu pemodenan dan pembaharuan yang mahu dibawa. Ini termasuk seperti hak untuk wanita seperti dibenarkan memandu, wanita bukan Saudi tidak perlu memakai tudung, dan tidak perlu membawa mahram untuk mengerjakan haji atau umrah. Konsert dengan artis Barat dan penyanyi wanita juga kini dibenarkan.

Dari segi ekonomi, beliau mahu mempelbagaikan ekonomi Arab Saudi tanpa bergantung kepada minyak. Neom merupakan salah satu projek mega ke arah kepelbagaian ekonomi ini. Tidak seperti tempat lain di Arab Saudi, Neom mempunyai undang-undangnya sendiri. Ia tidak tertakluk kepada undang-undang ketat syariah Arab Saudi. Antara lainnya, Neom dibenarkan menjual minuman beralkohol dan arak, boleh mengadakan konsert tanpa pemisahan antara lelaki dan perempuan, dan tiada sekatan untuk memakai apa sahaja pakaian. Neom juga dikatakan salah satu usaha untuk menarik pelaburan daripada negara-negara lain termasuk Israel. Malah dikatakan bahawa terdapat pertemuan tahun 2020 antara Benjamin Netanyahu (PM Israel ketika itu), Mike Pompeo (Setiausaha AS), dan Mohamed di Neom walaupun kemudiannya pertemuan itu dinafikan oleh pihak Arab Saudi.


Gambar: Bendera Arab Saudi dengan kalimah syahadah yang menjadi latar untuk Festival Muzik MDLBeast Soundstorm di Riyadh pada akhir tahun lepas dengan kehadiran 730,000 orang.

Pembaharuan babi yang dipakaikan gincu

Dengan semua perkembangan positif pelonggaran Islam oleh kerajaan Arab Saudi ini, adakah bermakna Arab Saudi akan mengalami pembaharuan? Dan adakah ia akan memberi kesan positif tanpa kepada kelonggaran dan tafsiran semula Islam? 

Saya tidak pasti itu. Walaupun Mohammad Salman seorang yang berpandangan liberal dalam isu-isu ekonomi dan sosial, dari segi lain beliau masih bersifat konservatif dan autoritarian. Hak asasi manusia seperti kebebasan bersuara dan berbeza pandangan dengan kerajaan masih tidak dibenarkan.

Dalam kes bandar Neom misalnya, Arab Saudi dilaporkan menghukum mati tiga orang penduduk yang membantah pemindahan mereka secara paksa daripada tapak pembinaan bandar Neom. Putera Mahkota Mohammad Salman juga menghancurkan musuh politiknya tanpa belas kasihan.

Bagi saya sesuatu pembaharuan itu bukan sahaja bersifat fizikal atau apa yang kita boleh nampak sahaja tetapi harus melalui pembaharuan atau anjakan minda. Memberi kebebasan kepada individu untuk bersuara, berbeza pendapat dan tidak bersetuju tanpa mendapat tindakan balas atau retaliasasi adalah asas yang kukuh untuk masyarakat moden yang sihat. Tanpa ini, pembaharuan itu hanya seperti babi yang dipakaikan gincu. Atas sebab ini saya lebih teruja dengan perkembangan yang berlaku di Iran yang lebih tulen bukan artifisial daripada apa yang berlaku di Arab Saudi.



Ulasan

Catatan Popular Terpilih

Siri 3: Keindahan ateisme, penentuan sendiri tujuan hidup

Siri 2: Keindahan ateisme, memperakui kepelbagaian, hak manusia untuk berfikir

Masyarakat barat yang sentiasa ingin tahu