Selamat hari jadi, Muhammad!

 Tanggal Ahad ini 9 Oktober atau 12 Rabiul Awal merupakan Maulidur Rasul atau hari jadi Muhammad, pengasas agama Islam. Hari ini disambut oleh masyarakat Muslim secara besar-besaran dengan perarakan, selawat beramai-ramai, ceramah dan sebagainya. Hari jadi Muhammad ini disambut oleh kebanyakan negara Muslim dan majoriti Muslim kecuali di Arab Saudi dan Qatar. Di Malaysia ia dijadikan cuti umum. 

Tiada sambutan hari jadi Muhammad semasa hidupnya juga pada zaman sahabat dan salaf tetapi menurut Majlis Agama Islam Selangor di sini, "masyarakat Islam semakin jauh... semakin jauh dari ilmu dan sirah yang menceritakan tentang kehidupan Rasulullah.. maka muncul para ilmuan Islam yang ingin memupuk rasa cinta kepada Rasulullah dengan meletakkan tarikh kelahiran baginda sebagai hari sambutan Maulidur Rasur." Pokoknya sambutan hari jadi ini kerana ingin memupuk kecintaan kepada Muhammad.

Antara ulama Islam yang mengkritik sambutan hari jadi Muhammad sebagai bidaah adalah Ibn Taymiyah. Menurutnya tiada sambutan hari jadi Muhammad dibuat sendiri oleh Muhammad, keluarganya dan para sahabat. Dia juga menyamakan sambutan hari jadi Muhammad seperti Kristian menyambut hari jadi Jesus pada hari Krismas. Pendapat Ibn Taymiyah inilah antara lain yang dipegang oleh golongan wahabi di Arab Saudi dan salafi yang lain untuk tidak menyambut hari jadi Muhammad.

Sambutan "belated" hari jadi 

Jika tidak disambut pada masa hidupnya dan para sahabat, bagaimana dan bila sambutan hari jadi Muhammad ini bermula? Seperti sejarah awal Islam yang kabur, sejarah sambutan hari jadi Muhammad juga tidak dapat ditentukan bila. Bolehlah dikatakan sambutan hari jadi Muhammad ini sebagai "belated birthday".

Dipercayai, hari jadi Muhammad mula disambut pada zaman Abbasiyah di Baghdad dan secara rasminya dilakukan oleh Khalifah Al-Khayzuran. Ibn Jubayr, seorang ahli geografi, pengembara dan penyair Arab, menulis pada tahun 1183 (Muhammad meninggal dunia pada tahun 632 Masihi) bahawa hari jadi Muhammad disambut setiap hari Isnin bulan Rabiul Awal di tempat kelahiran Muhammad di Mekah di bawah pemerintahan Abbasiyah.

Sementara itu ada juga pendapat yang mengatakan ia mula disambut pada zaman pemerintahan Fatimiyah. Ia menyatakan bahawa sambutan seperti perayaan muncul di Mesir pada zaman Fatimiyah. Ahli sejarah Mesir Maqrizi (mati pada tahun 1442) menerangkan perayaan hari jadi Muhammad yang disambut pada tahun 1122 dengan ceramah agama, pemberian manisan, dan sedekah. Pemerintahan Fatimiyah adalah pemerintahan yang bermazhabkan Syiah Ismailiah, jadi boleh dikatakan mereka sangat menyanjungi Muhammad. 

Namun, perayaan awam hari jadi Muhammad dimulakan oleh pemerintahan Muzaffar al-Din Gökburi, seorang Amir di Erbil, Kurdistan, Iraq pada tahun 1207. Dikatakan perayaan ini digunakan untuk menguatkan hubungan masyarakat Muslim dan sebagai respons terhadap perayaan-perayaan Kristian.

Persoalan tentang kesejarahan Muhammad

Muhammad dikatakan hidup pada abad ke-7 dan meninggal dunia pada tahun 632. Namun sambutan hari jadinya secara rasmi dibuat pada abad ke-12. Bukankah itu suatu jarak masa yang agak lama iaitu dalam 600 tahun? 

Biografi paling awal Muhammad dikatakan ditulis selepas 120 atau 130 kematiannya oleh Ibn Ishaq. Itupun tiada dokumen asal yang ditulis oleh Ibn Ishaq tapi berdasarkan tulisan suntingan yang dibuat oleh Ibn Hisham yang meninggal dunia pada tahun 834.  Biografi Muhammad yang lain termasuklah yang ditulis oleh al-Waqidi (meninggal dunia pada tahun 822) dan Ibn Sa'd (meninggal dunia pada 844-45). 

Terdapat beberapa sarjana Barat yang mempersoalkan terus akan kewujudan Muhammad yang mereka anggap sebagai mitos. Ini berdasarkan ketiadaan bukti arkeologi dan dokumentasi awal sejarah. Karl-Heinz Ohlig menyimpulkan yang Muhammad bukan tokoh utama Islam, malah pada awalnya Islam itu adalah satu mazhab Kristian Arab yang menolak konsep triniti tetapi berkembang menjadi agama baru iaitu Islam.

Ada yang berpendapat Muhammad itu bukan nama tetapi merupakan gelaran iaitu Yang Dipuji yang diberikan kepada Jesus Christ oleh masyarakat Kristian Syriak semasa zaman Empayar Sasan Parsi. Terdapat bukti dalam duit syiling bertakhir 16 Hijrah yang tertera perkataan mhmd (Muhammad tanpa huruf vokal, seperti dalam bahasa Arab yang membuang vokal) dan gambar orang yang memegang salib. 


Gambar: Antara syiling awal kerajaan Islam yang tertera perkataan Muhammad dan Salib.

Sungguhpun Muhammad itu wujud, dia mungkin tidak berasal dari Mekah sebaliknya mungkin di kawasan yang lebih utara di sekitar Petra di Jordan. Pendapat ini dikemukakan oleh ahli sejarah Dan Gibson. Boleh tonton video beliau bertajuk "Kota Suci" dalam bahasa Indonesia.

Pada tahun 2008, sarjana Jerman dan profesor dalam teologi Islam pertama Jerman, Sven Kalish berpendapat Muhammad tidak wujud. Beliau pada mulanya memeluk Islam telah keluar dari Islam.

Perkara-perkara ini menimbulkan persoalan sama ada Muhammad ini adalah legenda, dan kalau pun Muhammad itu wujud dia mungkin hidup pada zaman yang lebih lewat daripada apa yang dipercayai oleh tradisi Islam. 

Apa pun Selamat hari jadi untuk Muhammad!

Ulasan

  1. Ada satu artikel menarik tentang Abd Malik Bin Ibn Marwan,, ada persamaan antara dia dan Nabi Muhammad...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih saudara Zulkarnain. Boleh kongsi artikel itu? Saya pun ada baca tentang Islam ini sebenarnya rekaan pemimpin zaman Abbasiyah.

      Padam

Catat Ulasan

Catatan Popular Terpilih

Siri 3: Keindahan ateisme, penentuan sendiri tujuan hidup

Siri 2: Keindahan ateisme, memperakui kepelbagaian, hak manusia untuk berfikir

Masyarakat barat yang sentiasa ingin tahu