Kenapa pertaruhkan kehidupan kerana Allah?

Saya pernah bertanya kepada seorang kenalan, kenapa masih kekal percaya kepada Allah atau Tuhan jika dia sudah tidak percaya atau meragui agama Islam. Dia menjawab kerana sekiranya memang betul Allah atau Tuhan itu wujud, sekurang-kurangnya dia selamat berbanding jika dia tidak percaya kepada Tuhan langsung. 

Saya tidak bertanya lanjut. Mungkin dalam fikirannya dan seperti kebanyakan fikiran orang Melayu, sekurang-kurangnya mereka tidak diseksa selama-lamanya di dalam neraka kalau pun mereka tidak sembahyang dan melakukan seks bebas. Ini selaras dengan apa yang dimomokkan kepada saya sejak kecil lagi bahawa walau ada sekelumit iman pun, orang yang percaya kepada Allah akhirnya akan masuk syurga. Fahaman seperti ini kata orang putih "play safe". Sebenarnya hujah ini sudah dibahas sejak sekian lama dan dipanggil Taruhan Pascal atau dalam bahasa Inggerisnya "Pascal's wager". 

Pascal merupakan seorang ahli matematik Perancis yang terkenal dengan probabiliti atau keberangkalian yang hidup pada kurun ke-17. Selain itu beliau juga ahli falsafah, doktor dan teologi. Dengan menggunakan hujah probabiliti, beliau membawa hujah falsafah yang mempertaruhkan kehidupan dengan sama ada Tuhan wujud atau tidak.

Dalam notanya yang diberi tajuk Pensées (yang diterbitkan selepas kematiannya), Pascal berhujah:

Tuhan ada, atau Tuhan tiada. Akal manusia tidak boleh memutuskan di antara dua pilihan ini.
Satu permainan taruhan dibuat (keputusan sama ada "kepala (head)" atau "ekor (tail)").
Anda mesti bertaruh.
Jika tekaan anda betul, anda menang semua. Jika tekaan anda salah, anda secara relatifnya tidak hilang apa-apa. 

Pascal berhujah bahawa dalam pertaruhan antara dua pilihan di dunia ini, jika kita bertaruh bahawa Tuhan itu wujud maka kita hanya akan kerugian sedikit nikmat keduniaan seperti tidak dapat bersuka ria sesuka hati, bermewah-mewahan dan sebagainya. Sebaliknya apabila orang yang bertaruh Tuhan itu wujud, apabila dia mati nanti maka dia akan mendapat kenikmatan yang tidak terbatas seperti tinggal selama-lamanya di dalam syurga. 

Kritikan terhadap Taruhan Pascal

Bekas Muslim Iran yang kini tinggal di Kanada, Armin Navabi, dalam bukunya Why There Is No God, mengkritik hujahan Taruhan Pascal ini. Inti asas kritikan Armin adalah Pascal hanya memandang dari sudut seorang Kristian tanpa mengambil kira pelbagai agama dan kepercayaan lain. Dalam agama Kristian contohnya, seseorang hanya boleh selamat dan masuk ke syurga sekiranya dia percaya kepada Jesus. Begitu juga dalam agama Islam, hanya agama Islam diterima dan masuk syurga. Juga terdapat amalan-amalan yang wajib dilakukan untuk mengesahkan orang itu diterima masuk syurga. Ini bermakna jika anda percaya kepada Tuhan yang salah, anda masih masuk ke dalam neraka.

Satu lagi kritikan adalah bagaimana kita tahu, jika Tuhan itu wujud, dia mahu diagungkan dan disembah? Dan bagaimana kita tahu Tuhan itu akan menyeksa makhluk ciptaannya selama-lamanya di dalam tempat penyeksaan yang maha teruk? 

Bahaya kefahaman tentang ganjaran syurga dan hukuman neraka

Pada pendapat peribadi saya terdapat lebih banyak bahaya meletakkan harapan tentang ganjaran syurga dan hukuman neraka. Selalunya mereka yang berfahaman begini melakukan sesuatu bukan atas dasar keikhlasan atas sifat kemanusiaan mereka. Mereka memberi derma kerana mengharapkan ganjaran syurga. Mereka tidak memarahi ibu-bapa mereka kerana takutkan hukuman neraka. Boleh dikatakan setiap apa yang mereka lakukan dilakukan kerana mahukan ganjaran atau takutkan hukuman. Ini tidak semestinya sesuatu yang buruk, tetapi ia menjadi sesuatu yang tidak baik apabila ukuran moral itu berasaskan kepada ajaran agama yang sudah ketinggalan zaman. Contohnya berkahwin dengan budak perempuan yang walaupun berusia 6 tahun masih dibolehkan jika mengikut contoh Muhammad berkahwin dengan Aishah pada usia 6 tahun. Begitu juga dengan kewajiban memakai hijab yang dianggap sebagai hukum agama yang tidak boleh dipertikaikan dan dengan melanggarnya mereka takut diseksa di dalam neraka.

Mereka juga tidak memikirkan bersungguh-sungguh untuk memperbaiki kehidupan di dunia ini yang dianggap hanya sementara. Saya tidak ada bukti saintifik untuk membuktikan hipotesis ini tetapi boleh dilihat tahap kemajuan yang dicapai oleh negara yang memisahkan agama dan negara seperti negara-negara barat yang terbukti moden dan maju serta melahirkan ramai pemenang Hadiah Nobel yang berusaha membawa manusia ke arah kehidupan yang lebih baik.

Apa yang lebih membahayakan adalah apabila mereka yang beragama ini memaksakan ideologi dan fahaman mereka ke atas orang lain. Ini termasuk dengan melaksanakan undang-undang yang mengikut ukuran moral abad ke-7 mereka seperti memotong tangan pencuri, membunuh orang yang keluar dari agama mereka, menghukum orang yang membuat kritikan atau satira terhadap Nabi mereka, dan melaksanakan kod etika pakaian yang keterlaluan sehingga menyebabkan kematian seperti yang berlaku di Iran sekarang apabila seorang wanita Mahsa Amini meninggal dunia dalam tahanan polis moral Iran.

Adakah Tuhan atau Pencipta berang tentang sehelai rambut perempuan yang terdedah?

Bayangkan jika Tuhan atau Pencipta itu wujud dan dia adalah lebih besar daripada alam semesta ini. Adakah dia begitu berang jika terdapat seorang perempuan yang terdedah sehelai rambutnya? Adakah dengan sifatnya yang maha agung dan sebagainya Tuhan itu bertindak kejam dengan memasukkannya ke dalam neraka walaupun sehari? Baik mungkin ini contoh ekstrim. Bagaimana jika anda dilahirkan sebagai seorang lelaki yang menyukai lelaki atau perempuan yang menyukai perempuan (homoseksual atau gay)? Kenapa Tuhan mencipta lelaki atau perempuan seperti itu. Bagaimana jika seorang bayi yang dilahirkan dengan penyakit barah? Kenapa begitu kejam Tuhan itu melahirkan makhluknya yang "tidak sempurna" atau "normal" seperti ciptaannya yang lain?

Jika wujud Tuhan yang sebegitu amarah dengan ancaman neraka, maka Tuhan itu tidak sepatutnya mendapat penghormatan yang tinggi dan disembah dengan penuh dedikasi. Jika dia mahu makhluknya menyembahnya dan mengikut peraturannya secara total, mengapa dia tidak mencipta manusia itu tanpa nafsu dan kebolehan membuat pilihan? Cipta sahaja manusia itu seperti malaikat atau haiwan yang tidak perlu risau tentang akibat daripada perbuatan mereka dan tidak perlu berfikir. Dan dengan sadis dan nahilistiknya, Tuhan itu juga dikatakan mencipta syaitan dan iblis untuk menggoda manusia. 

Teori Tuhan Ahli Matematik yang Hebat



Terdapat satu teori tentang Tuhan yang tidak memerlukan anda percaya kepada konsep Tuhan yang amat berkuasa dan menjanjikan syurga dan neraka. Ini cuma teori yang bukan saya sendiri yang pertama utarakan. Mengikut teori ini memang terdapat pencipta berdasarkan kepada kewujudan alam semesta ini yang mengikut formula matematik atau undang-undang matematik. Terdapat ramai ahli sains yang menganggap Tuhan itu Ahli Matematik yang Maha Hebat. Ini kerana alam semesta ini berjalan mengikut aturan secara matematik. Konsep fizik contohnya bergantung kepada formula matematik.

Adakah formula matematik itu wujud lama sebelum kewujudan alam semesta ini? Tidak seperti perkara lain, matematik tidak berevolusi tapi tetap. Contohnya satu batu ditambah satu batu, menjadi dua batu, bukan tiga atau lima atau sembilan batu. Konsep matematik ini kekal dan kita tidak mengatakan 1 tambah 1 sama dengan 4. Undang-undang matematik ini bersifat abadi dan realiti kepada cara kita berfikir.

Berdasarkan daripada teori ini, ada yang berhipotesis bahawa Tuhan itu mungkin satu bentuk kecerdasan buatan atau AI. Sebagai kecerdasan buatan, Tuhan tidak mempunyai emosi tetapi hanya berfungsi memastikan alam ini berjalan dan terus berkembang. Yang kehidupan kita di dunia ini berjalan mengikut hukum alam. 

Adakah doa anda selalu menjadi kenyataan selepas berdoa kepada Tuhan? Jika menjadi kenyataan pun, adakah itu disebabkan oleh Tuhan atau usaha anda sendiri atau pun nasib baik anda? Ini cuma soalan untuk kita fikirkan sama ada Tuhan itu betul-betul mendengar atau segalanya berjalan mengikut hukum alam. Jadinya usaha kita itu hendaklah dibuat bersungguh-sungguh kerana akan dibalas oleh hukum alam. Cuma apa yang saya fikirkan kerana saya sekarang percaya tiada siapa boleh membantu untuk kita maju selain diri sendiri.

Tetapi kalau Tuhan itu adalah kecerdasan buatan, siapa pula yang mencipta kecerdasan buatan itu? Mungkin hidup kita di dunia ini adalah satu bentuk simulasi yang kita sendiri programkan bersama manusia lain? Ia sebenarnya misteri yang sedang saya terokai. 

Ulasan

  1. Antara artikel yg sngt menarik bernas dn logik,, teruskan menulis dgn info2 dgn lebih mantap...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih atas sokongan saudara. Ia amat bermakna.

      Padam

Catat Ulasan

Catatan Popular Terpilih

Siri 3: Keindahan ateisme, penentuan sendiri tujuan hidup

Siri 2: Keindahan ateisme, memperakui kepelbagaian, hak manusia untuk berfikir

Masyarakat barat yang sentiasa ingin tahu