Rakyat Iran bangkit menolak Islam

 Satu gelombang kebangkitan rakyat sedang melanda Republik Islam Iran. Gelombang kebangkitan rakyat yang menolak Islam di negara yang mengamalkan sistem teokratik Islam. Gelombang kemarahan ini menjadi lebih parah dengan kematian Mahsa Amini, wanita berusia 22 tahun, yang mati dibelasah oleh polis agama Iran kerana tidak memakai tudung dengan menampakkan rambut. 



Gambar: Wanita Iran membakar hijab dan memotong rambut sebagai protes terhadap kerajaan Islam Iran.

Di jalan-jalan di Iran, gadis Iran, pemuda, pelajar universiti dan rakyat Iran secara umumnya melaungkan "marg bar diktator" atau "hancurlah diktator" dan nama Mahsa Amini. Sementara itu, wanita dan gadis Iran memotong rambut mereka dan membakar hijab sebagai tanda protes. Berada di luar tanpa hijab adalah kesalahan jenayah di Iran.

Dalam sebuah video yang disiarkan dalam akaun Twitter pejuang demokrasi Iran Masih Alinejad, seorang wanita muda Iran berkata:

"Kami benci dengan Republik Islam. Republik Islam adalah suatu benda mengarut. Islam tidak percaya kepada demokrasi." 

Pada akhir video, wanita muda itu melontar hijabnya keluar dari tingkap keretanya. Anda saksikan video ini di bawah.


Kebangkitan dan kemarahan rakyat Iran bukan semata-mata tentang kematian tragik Mahsa Amini yang dipukul kerana menampakkan rambut. Kebangkitan dan kemarahan rakyat Iran adalah kerana penolakan mereka terhadap Islam. Mereka telah menderita lebih 40 tahun di bawah Islam.

Obsesi aurat 

Sementara itu di Malaysia, terdapat golongan yang mahu Islam memainkan peranan yang lebih luas dan keras dan sangat obses dengan aurat. Di Kelantan misalnya Enakmen Kanun Jenayah Syariah diperketatkan dengan denda sehingga RM1,000 atau penjara enam bulan jika tidak menutup aurat. Sementara itu panggung wayang diharamkan di Kelantan, antaranya atas alasan pelakon-pelakon dalam filem ramai yang tidak menutup aurat. Pada masa yang sama, papan-papan iklan hanya memaparkan wanita yang bertudung. 

Lama sebelum saya menemui Islam hanyalah agama kopi pes daripada ajaran agama lain seperti Kristian, Yahudi dan Zorastrian, saya tidak menyetujui dengan tafsiran aurat. Pada masa itu saya tertarik dengan hujah oleh Astora Jabat. Antara hujah yang dibawa adalah pendapat Imam Waliyullah dalam kitab Hujjatullah al-Balighah pada halaman 688, jilid 2, seperti di bawah:

“Ketahuilah bahawa menutup aurat, saya maksudkan ialah anggota-anggota yang mendatangkan keaiban dengan sebab ia terbuka di hadapan khalayak ramai mengikut adat umat yang sederhana hidupnya seperti yang terdapat pada bangsa Quraisy pada masa itu, ia termasuk di dalam pokok (asas) tamadun yang diakui di sisi setiap golongan yang dinamakan manusia, dan ia di antara perkara yang membezakan manusia daripada sekalian pelbagai jenis haiwan. Dengan sebab itu syariat mewajibkan menutup aurat tersebut, dua kemaluan manusia (qubul/depan dan dubur/belakang), dua buah kemaluan, ari-ari dan bahagian anggota yang mengiringinya termasuk pangkal kedua-dua paha dikira yang paling jelas dari segi agama bahawa ia termasuk ke dalam bahagian aurat."

Selain Astora Jabat, terdapat juga tentangan dan hujah tentang hijab dan aurat yang dibawa oleh kumpulan feminis dan liberal Muslim seperti Sisters in Islam atau SIS. Contohnya dalam artikel daripada The Malay Mail tahun 2015 ini, SIS berhujah bahawa tiada nas jelas dalam Quran yang mengatakan rambut sebagai aurat wanita. 

Nas pemakaian tudung ini diambil daripada Surah An-Nur, ayat 31. Perkataan "khimar" menjadi kata kunci dalam hujahan aurat ini. Menurut artikel SIS: 

"Tudung kepala atau khimar yang dimaksudkan ini dilihat oleh sesetengah para sarjana sebagai selendang perhiasan yang sering dipakai oleh wanita Arab di zaman jahiliyyah yang dibiar meleret dibelakang mereka; sejajar dengan fesyen ketika itu, leher baju wanita begitu luas hingga mendedahkan dada mereka. Oleh yang demikian, perintah menutup belahan leher baju wanita dengan khimar tidak semestinya bermaksud penggunaan khimar itu sendiri. Tafsiran surah tersebut mengutarakan bahawa perintah berkenaan menjelaskan yang bahagian dada wanita tidak termasuk dalam bahagian badan “yang zahir padanya” yang boleh didedahkan."

Alasan pendapat minoriti

Tidak kira berapa banyak hujah yang dibawa oleh Astora Jabat, SIS dan kumpulan-kumpulan liberal dan moderat Islam lain tentang fleksibiliti dalam hijab dan aurat, hujah mereka sentiasa akan dibalas dan dipatahkan dengan alasan hujah mereka daripada "pendapat minoriti".

Tambahan pula dengan cerita-cerita seperti penghuni neraka paling ramai adalah wanita, dan kononnya kerana mereka banyak menderhaka perintah Allah termasuk tidak memakai hijab. Malah ada yang menyalahkan kejadian rogol dan gangguan terhadap wanita kerana dengan mendedahkan rambut mereka boleh membuatkan lelaki bernafsu.  

Sejarah bakal dilakar di Iran

Saya tidak hairan mengapa wanita dan rakyat Iran menolak Islam terus secara total daripada terus berhujah menggunakan nas Islam yang sampai bila-bila pun tidak akan menyebelahi mereka. Tiada cara lain untuk menghentikan penindasan menggunakan hujah agama Islam selain menolak terus Islam daripada sistem kehidupan.

Saya berharap apa yang berlaku di Iran, dengan penolakan total Islam ini, akan membawa kesan riak dan berantai ke dunia Islam lain termasuk Malaysia. Sama seperti yang berlaku ketika Revolusi Islam Iran pada tahun 1979 yang merebak ke negara-negara Muslim di dunia yang membawa kepada penerimaan Islam secara jumud.

Namun penolakan terhadap Islam yang sedang berlaku di Iran ini bukannya baru semalam atau secara mendadak. Ia satu proses panjang yang berlaku bertahun lamanya sejak tahun 1990-an dan menjadi barah yang terkumpul sedia untuk meletus. Dalam artikel-artikel SIS tentang hijab pada akhir tahun 1990-an dan seterusnya contohnya sudah disebut pemberontakan wanita Iran yang menampakkan sedikit rambut di depan dan di belakang.

Gambar: Meme tentang proses transisi pemakaian hijab di Iran

Malangnya apa yang berlaku di Malaysia adalah regresif dan mundur ke belakang, dengan semakin ramai artis dan selebriti yang "berhijrah" dengan memakai tudung. Ada yang lebih ekstrim dengan purdah yang menutup semua kecuali mata mereka. Tidak dinafikan ada artis atau selebriti ini yang mengambil kesempatan untuk menaikkan populariti dan menjual tudung jenama sendiri dengan harga yang lebih mahal. Apa pun bukan salah mereka sepenuhnya sebaliknya mereka melakukannya kerana merasakan itulah yang diminta oleh Islam. Lainlah jika mereka tahu yang Islam itu tidak lebih daripada agama buatan manusia yang hidup di padang pasir pada abad ke-7!

Ulasan

  1. Tudung pun sudah semakin lari dari konsep asal menutup aurat. Dengan fesyen yang beraneka dan warna warna menarik.. Apa motifnya? Supaya terlihat cantik? Harga dan jenama pula boleh menimbulkan riak kepada si pemakai.

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan Popular Terpilih

Siri 3: Keindahan ateisme, penentuan sendiri tujuan hidup

Siri 2: Keindahan ateisme, memperakui kepelbagaian, hak manusia untuk berfikir

Masyarakat barat yang sentiasa ingin tahu