Kekeliruan kata ganti Kami untuk Allah dalam Quran

Sejak kecil lagi saya tertanya-tanya kenapa kata ganti diri bagi Allah boleh berubah menggunakan kata jamak "kami" yang menunjukkan lebih daripada satu orang. Kalau dikatakan Allah itu esa dan satu, kenapa Allah ada ketikanya membahasakan dirinya dengan "kami" yang menunjukkan ramai atau jamak.

Keagungan manusia, keagungan tuhan

Justifikasi yang diberikan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan adalah penggunaan kata ganti diri jamak "kami" menunjukkan tuhan itu ingin mengagungkan, membesarkan dan memuliakan dirinya.  Pejabat Mufti menerangkan: "Di sisi masyarakat Arab, seseorang itu apabila dia ingin membesarkan dan memuliakan dirinya, maka dia akan menggunakan kata ganti diri yang bersifat jamak (kata banyak). Justeru, seseorang itu tidak menyebut : ‘Buku ini telah saya tulis dalam tempoh sebulan’ sebaliknya dia menyebut: 'Kami telah menulis buku ini dalam tempoh sebulan’." 

Masalah pertama bagi saya adalah contoh yang diberikan di atas adalah bagi manusia. Saya belum lagi pergi jauh untuk memeriksa sama ada betul atau tidak kenyataan yang orang Arab membahasakan diri dengan kami untuk mengagungkan atau memuliakan diri. Tapi masalahnya mengapa Allah, yang dikatakan tuhan dan tentu sekali tidak sama dengan manusia, begitu ingin mengagungkan dirinya sendiri seperti manusia? Lagi pun perlukah tuhan sebenar begitu mengambil berat tentang mengagungkan dirinya sendiri? 

Masalah seterusnya adalah dalam satu ayat Quran misalnya, terdapat ayat yang sekejap menggunakan kata ganti diri jamak "kami" dan sekejap menggunakan kata ganti diri seorang seperti "Dia", "Nya" atau "Allah". Contohnya ayat-ayat dari Surah An-Nisa dan Al-Israa' di bawah:

Dan Kami tidak mengutuskan rasul, kecuali untuk ditaati, dengan izin Allah.

(An-Nisa 4: 64)

Perhatikan perkataan yang ditebalkan (bold). Dalam ayat 64, surah An-Nisa, Kami di sini merujuk kepada tuhan atau Allah, kerana tidak logik rasul itu diutus oleh manusia. Tetapi kenapa pula pengutusan rasul itu bergantung kepada "dengan izin Allah". Ia seolah-olah memberitahu pembaca ayat itu bahawa Kami (Allah) memerlukan izin daripada Allah untuk mengutus ratus. Bukankah ini mengelirukan? Kenapa tidak berkata "Dan Aku tidak mengutuskan rasul, kecuali untuk ditaati, dengan izin-Ku." Dengan campur aduk kata ganti diri seorang dan jamak menjadikan ayat itu pelik lebih-lebih lagi dikatakan Quran itu adalah kata-kata Allah, dan sepatutnya sempurna daripada kekeliruan dan cacat cela ini.

Lihat pula contoh ayat di bawah:


Maha Suci Dia yang telah menjalankan hamba-Nya pada malam hari dari Masjid Al-Haram ke Masjid Al-Aqsa, yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda Kami. Sesungguhnya Dia jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

(Al-Israa' 17: 1)

Perhatikan lagi perkataan yang ditebalkan. Dalam ayat 1, surah Al-Israa', perkataan Dia dan Nya membawa maksud Allah membawa Muhamad pada malam Isra' dan Mikraj, namun tiba-tiba berubah kepada Kami untuk merujuk Allah. Kemudian berubah pula kembali kepada Dia.  Jika anda seorang penulis, anda akan memastikan konsistensi dan tidak akan mengubah kata ganti diri sewenang-wenangnya kerana akan mengelirukan pembaca. Nah, sungguh mengelirukan Al-Quran ini!

Kemungkinan kekeliruan daripada peniruan konsep Triniti Kristian

Seperti Quran, dalam Bible juga Tuhan membahasakan dirinya dengan kata ganti diri jamak seperti "Kita" dan "Kami". Contoh dalam Genesis, 26: “Sekarang Kita akan mencipta manusia yang akan menjadi seperti Kita dan menyerupai Kita. Namun tuhan dalam kitab Bible boleh menggunakan kata jamak "Kita" atau "Kami" dan ini tidak mengelirukan dalam agama Kristian terdapat konsep Triniti yang menggambarkan tuhan itu boleh wujud dalam tiga bentuk iaitu Bapa, Roh Suci, dan Anak. Alasan Kristian adalah kerana tuhan itu maha berkuasa, maka tiada yang mustahil baginya untuk menjelmakan bentuknya. 

Sementara Islam pula menekankan konsep Tauhid (yang sebenarnya boleh juga bermaksud penyatuan). Namun, kerana Quran itu meniru Bible maka penggunaan kata ganti diri untuk tuhan itu menjadi kekeliruan, bukannya menunjukkan keagungan atau kemuliaan Allah.

Sebenarnya isu ini juga mengingatkan saya tentang dasar "gender pronoun" yang dilaksanakan di sekolah-sekolah di Barat di mana guru diminta untuk memanggil pelajar dengan nama dan pronoun (kata ganti diri) yang pelajar mahu. Contohnya walau pun pelajar itu dilahirkan sebagai perempuan, tetapi kerana sebab tertentu mereka mahu dipanggil dengan kata ganti diri lelaki seperti Mr, he, atau him. Apakah Allah terkeliru dengan identitinya atau sebenarnya penulis Quran yang terkeliru?


Ulasan

Catatan Popular Terpilih

Siri 3: Keindahan ateisme, penentuan sendiri tujuan hidup

Siri 2: Keindahan ateisme, memperakui kepelbagaian, hak manusia untuk berfikir

Masyarakat barat yang sentiasa ingin tahu