Saya mahu percaya

"I want to believe" atau "saya mahu percaya" merupakan satu kata-kata penting atau slogan dalam siri popular TV X-Files yang ditayangkan dari awal tahun 1990-an sehingga 2018. Ia berkisar tentang fenomena UFO, teori konspirasi dan kejadian paranormal dan saya merupakan salah seorang peminat siri ini kerana unsur-unsur ini selain daripada jalan ceritanya yang menarik. 


Poster "I want to believe" bersama gambar UFO terpampang dalam pejabat watak utama Agen FBI Fox Mulder yang bergandingan dengan agen FBI dan juga doktor perubatan Dana Scully. Mulder mahu membuktikan teorinya betul mengenai kejadian paranormal dan alien sementara Sculley adalah seorang yang bersikap skeptikal dan mahukan pembuktian sains. Oleh itu "I want to believe" merupakan unsur penting dalam X-Files dalam membawa mesej bahawa dunia ini lebih daripada apa yang dapat dirasai oleh deria, sementara tidak dinafikan orang akan bersikap skeptikal tanpa pembuktian saintifik, dan kebenaran terus dicari dengan berusaha dan bersikap ingin tahu. 

Pembentukan agama sebagai respons kepada sesuatu yang tidak dapat dijelaskan

Dalam bukunya American Cosmic, profesor teologi dan penyelidik Prof Dr Diana Walsh Pasulka (D.W. Pasulka) dari Amerika Syarikat berkata pengalaman mistik yang dialami oleh beberapa orang suci (saint) Kristian seperti St Teresa of Avila (nun yang hidup pada abad ke-16) boleh dikaitkan dengan pengalaman berjumpa dengan makhluk asing tetapi pada masa itu ditafsirkan sebagai pengalaman nun itu bertemu dengan tuhan.

Beliau menulis bagaimana beliau mengkaji dokumen dan buku-buku yang tersimpan di perpustakaan Vatican mengenai banyak kejadian mistik dan luar biasa yang dialami oleh paderi dan nun Kristian seperti boleh terapung, berada di dua tempat dalam satu masa, dan juga melihat jelmaan seperti kejadian matahari menari yang pernah saya tulis sebelum ini.

Pasulka menulis lagi bahawa pengalaman yang dialami oleh orang yang mendakwa berjumpa alien atau mengalami peristiwa supernatural dan paranormal pada zaman ini adalah sama seperti pengalaman mistik yang dilalui oleh paderi dan nun Kristian pada masa lalu. Bezanya pada masa itu ia mungkin ditafsirkan dalam bentuk pengalaman kerohanian seperti penyatuan dengan tuhan atau berjumpa dengan malaikat. Oleh itu pengalaman mereka yang mengalami paranormal dan supernatural termasuk diculik oleh alien boleh dikatakan sebagai pengalaman kerohanian juga.

Persoalan yang dibawa oleh Pasulka dalam bukunya adalah kemungkinan pengalaman bertemu dengan alien, melihat UFO, terapung dan sebagainya pada zaman sekarang ini boleh membawa kepada pembentukan sistem agama baharu dengan tafsirannya sendiri tentang konsep tuhan, consciousness, kehidupan selepas mati dan sebagainya.

Bagi Pasulka, agama itu terbentuk bukan berdasarkan set doktrin atau kepercayaan yang tetap tetapi melalui proses penciptaan maksud dan hubungan terhadap pengalaman yang tidak dapat dijelaskan. Beliau berkata lagi agama muncul daripada interaksi antara manusia dan kepintaran bukan manusia sama ada ia makluk ghaib seperti malaikat dan syaitan, atau makhluk berteknologi seperti alien atau kepintaran buatan. Agama itu apa yang orang zahirkan apabila mereka mahu berasa berada dalam satu komuniti yang berkongsi nilai dan inspirasi mereka.

Selain pengalaman mistik dan luar biasa, sesuatu yang tidak dapat dijelaskan boleh juga tentang persoalan kewujudan dan tujuan manusia, dari mana kesedaran atau conscious itu datang, dan apa akan jadi kepadanya selepas kita mati nanti? 

Pendedahan besar akan datang tidak lama lagi? 

Beberapa minggu lepas, saya menulis tentang pembocor maklumat David Grusch yang bercakap tentang alien dan teknologi kepada saluran berita Amerika News Nation. Rakaman penuh temuramah bersama Grusch boleh ditonton di sini

Beberapa perkara menarik yang diperkatakan oleh Grusch ialah Vatican sudah lama tahu mengenai kewujudan alien dan membantu kerajaan AS dalam mendapatkan maklumat kapal alien yang terhempas di Itali pada masa Perang Dunia Kedua. Grusch juga berkata ada kemungkinan alien ini berasal daripada dimensi lain, bukan datang dari angkasa lepas. 

Dalam perbincangan forum mengenai UFO di Internet, mereka memperkatakan tentang disclosure atau pendedahan yang akan dibuat sedikit demi sedikit. Ini kerana pihak yang menyimpan maklumat ini berkemungkinan tidak mahu menyebabkan keruntuhan masyarakat (collapse of the human society) yang akan menyebabkan orang ramai tidak lagi mempercayai agama-agama utama seperti Kristian dan Islam lagi.

Timbul juga teori konspirasi yang bukan baharu tentang Projek Blue Beam yang mana antara objektifnya adalah untuk mendedahkan sejarah yang sebenar tentang tamadun manusia melalui bukti arkelogi yang akan muncul daripada lautan dan sebagainya yang menjelaskan asal kejadian manusia dan sejarah masa lalu.

Kebenaran yang akan timbul jua

Seperti agen Mulder, saya percaya dunia ini lebih daripada sekadar yang dapat dirasai oleh pancaindera. Saya mahu percaya. Tapi seperti agen Scully saya mahu melihat pembuktian. Saya sudah menemui yang Islam itu palsu dan kini saya terbuka untuk apa sahaja. Yang bagusnya dengan tidak mempunyai satu sistem kepercayaan seperti Islam, saya boleh meneruskan ke perkara yang seterusnya atau move on sekiranya ia tidak benar. Saya tidak perlu menutup fikiran dan berpegang membabi buta kepada sesuatu. Tapi saya percaya kebenaran itu akan timbul jua sekali pun ia mengambil masa yang lama.

 

Ulasan

Catatan Popular Terpilih

Siri 3: Keindahan ateisme, penentuan sendiri tujuan hidup

Siri 2: Keindahan ateisme, memperakui kepelbagaian, hak manusia untuk berfikir

Masyarakat barat yang sentiasa ingin tahu