Politik kalimah Allah

Kecoh apabila kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim menarik balik rayuan dalam kes mahkamah tentang penggunaan nama Allah oleh orang Kristian. Maka berduyunlah parti politik berasaskan Melayu dan Islam, persatuan-persatuan, lebai, dan warga maya yang membantah penarikan balik rayuan kerajaan ini dengan mengapi-apikan sentimen perkauman dan agama. Kononnya umat Melayu Islam akan menjadi keliru dan menukar agama kepada agama Kristian kerana Bible dalam bahasa Melayu menggunakan perkataan Allah untuk tuhan.

Alkisah isunya bermula pada era Mahathir

Apa yang saya faham, isunya bermula pada zaman pemerintahan Mahathir Muhammad pada tahun 1986. Kabinet pada masa itu membenarkan penganut Kristian menggunakan beberapa perkataan seperti syukur, doa, iman, ibadah oleh penganut agama Kristian. Sementara empat perkataan Arab iaitu Allah, Baitullah, Kaabah dan solat, tidak dibenarkan. Tetapi hendaklah ditulis "Untuk agama Kristian" pada kulit muka depannya. Namun pada tahun sama, Kementerian Dalam Negeri melarang terus penggunaan empat perkataan ini oleh penganut agama Kristian.

Arahan Kementerian ini juga bercanggah dengan satu lagi Perintah di bawah Seksyen 22, Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (P.U (A) 134/1982).  Perintah ini memperuntukkan bahawa Al-Kitab (Bible) versi bahasa Indonesia tidak boleh diedarkan secara terbuka tetapi boleh digunakan oleh penganut Kristian di dalam gereja. Jadi tidak ada larangan mutlak terhadap penggunaan kalimah Allah (yang ada dalam Bible).

Pada tahun 2008, Kementerian Dalam Negeri merampas lapan CD Kristian kepunyaan Jill Ireland, seorang bumiputra Melanau Kristian dari Sarawak. Jill mencabar tindakan Kementerian di mahkamah untuk mengisytiharkan hak perlembagaan beliau menggunakan kalimah Allah. Kes mahkamah ini berlarutan sehinggalah membawa pada tahun 2021, apabila Hakim Nor Bee Ariffin memutuskan bahawa penganut Kristian boleh menggunakan empat perkataan tersebut. Hakim juga menyifatkan arahan Kementerian Dalam Negeri adalah tidak konsisten, tidak sah dan tidak rasional serta bercanggah dengan keputusan Kabinet 1986.

Kerajaan merayu keputusan ini pada tahun 2021. Namun pada 16 Mei 2023, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution berkata kerajaan menarik balik rayuannya kerana mengakui terdapat percanggahan antara keputusan Kabinet dan Arahan Pentadbiran Kementerian Dalam Negeri dalam isu penggunaan kalimah Allah.

Hipokrasi Muslim dan modal politik



Dalam keputusan penghakiman, mahkamah menekankan bukti sejarah yang tak dapat disangkal bahawa kalimah Allah sebagai tuhan telah digunakan oleh komuniti Kristian di Sarawak dan Sabah dalam amalan bahasa Melayu mereka selama lebih 400 tahun (para 164-165).

Perkataan Allah telah lama digunakan sebelum Islam lagi. Ia merujuk kepada tuhan yang agung daripada tuhan-tuhan lain. Dalam kalangan Kristian berbahasa Melayu, Allah merujuk kepada tuhan. Ia digunakan dalam kitab-kitab agama mereka yang diterbitkan seawal tahun 1514 (Kitab Salat As-Sawai). Sementara Injil Matthew oleh A.C. Ruyl pada tahun 1629 juga menggunakan Allah merujuk kepada tuhan.

Apa yang hipokrasinya tentang Muslim ini ialah dalam ceramah-ceramah propaganda mereka seperti ceramah Ahmad Deedat dan yang lain, mereka memberi gambaran Allah dalam Quran sama dengan tuhan dalam Bible. Mereka berbuat demikian untuk menarik penganut Kristian menganut Islam. Mereka juga melabel Jesus sebagai seorang Muslim dan mengakui ketuhanan Allah dalam kitab Bible. Sedangkan bagi penganut Kristian, Jesus itu adalah tuhan.

Pada saya isu ini dicetuskan tidak lebih sebagai modal politik untuk kempen pilihan raya negeri yang akan berlangsung seawal bulan enam nanti. Orang Melayu akan diapi-apikan tentang ancaman kristianisasi dengan menggunakan perkataan Allah untuk mengelirukan mereka dan seterusnya memperdaya orang Melayu untuk masuk Kristian. Ini semua taktik lama tapi berkesan selagi kebenaran tentang Islam itu disorokkan.

Kepercayaan senipis bawang

Persoalannya adakah kepercayaan masyarakat Melayu Muslim di Malaysia senipis bawang hinggakan tidak dapat membezakan perbezaan teologi yang ketara antara Islam dan Kristian? Secara peribadinya saya tidak merasakan begitu kerana isu penggunaan kalimah Allah untuk merujuk kepada tuhan ini tidak menjadi perkara besar dalam masyarakat Muslim di lain-lain tempat seperti di negara Arab dan Indonesia.

Secara peribadinya juga saya merasakan penggunaan Allah merujuk kepada tuhan dalam Bible itu tidak memberi impak yang besar untuk mempengaruhi masyarakat Melayu kepada menganut agama Kristian kerana halangan-halangan perundangan yang ketat di Malaysia mengenai penyebaran agama bukan Islam kepada masyarakat Islam. 

Secara peribadinya saya juga tidak bersetuju jika ada orang yang menyamakan tuhan Kristian sama dengan tuhan Allah dalam agama Islam. Jelas sekali perkara ini tidak sama termasuk cerita-cerita tentang ajaran Kristian, Jesus dan kisah-kisah Sulaiman, Musa, penghuni gua dan sebagainya yang diambil oleh Islam daripada agama Kristian tetapi diselewengkan oleh Muhammad, jika benar dia wujud, dan ulama Islam sehingga hari ini.

Malangnya penyelewengan kisah-kisah yang diciplak oleh Islam daripada agama Kristian ini tidak dititik beratkan dan diperbetulkan. Cara berkesan untuk menyedarkan umat Melayu Muslim adalah dengan tidak menyamakan agama Kristian dan Islam ini sebaliknya menunjukkan penyelewengan yang dilakukan oleh ulama Islam berkenaan sumber dan kisah yang diambil daripada tradisi Kristian, termasuk Yahudi. 

Sumber berguna

Mujurlah dengan teknologi Internet, kesedaran mengenai penyelewengan Quran semakin banyak terdedah. Ambil maklum bahawa laman web seperti Answering Islam, yang banyak memberi artikel ilmiah tentang penyelewengan Islam, telah disekat di Malaysia (atau boleh cuba di https://answeringislamblog.wordpress.com/). Anda juga boleh mencari dalam saluran YouTube oleh apologis Kristian. Jika saluran itu disekat ubah sahaja seting dalam YouTube kepada negara Amerika Syarikat. Meskipun konten yang dibuat oleh apologis Kristian ini selalunya dan expected mempromosikan agama Kristian, tapi bagi saya kajian dan penyelidikan yang mereka lakukan tentang Islam sarat dengan maklumat yang jangan harap akan diberitahu oleh para ustaz dan lebai.

Jika anda rimas dengan propaganda Kristian, cuba baca Islam vs Atheism atau cari di halaman YouTube untuk Ex-Muslim.

Baca juga komen saya berkaitan isu yang sama dalam ajaran sesat: Isu ajaran sesat, seperti mengata dulang paku serpih

Ulasan

Catatan Popular Terpilih

Siri 3: Keindahan ateisme, penentuan sendiri tujuan hidup

Siri 2: Keindahan ateisme, memperakui kepelbagaian, hak manusia untuk berfikir

Masyarakat barat yang sentiasa ingin tahu