Islam yang menggalakkan perpecahan

Keputusan Piliharaya di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, dan Terengganu sudah diketahui dengan keputusan yang sudah diramal oleh kebanyakan orang. Niat PN untuk menguasai lima daripada enam negeri tidak kesampaian tetapi mereka berjaya menyemai perpecahan dalam kalangan masyarakat Malaysia berbilang kaum yang memilih berdasarkan kaum dan agama antara Melayu dan Bukan Melayu di enam negeri. Calon-calon Melayu BN hampir semuanya kalah di kawasan majoriti Melayu dengan di Terengganu semuanya kalah terhadap calon PN, terutamanya PAS.

Ramai orang merasa risau dengan kebangkitan "hijau" PAS ini, terutama mereka yang berada di tengah (atau moderat), liberal, dan Bukan Islam. Tetapi bagi saya kita tidak perlu risau kerana Islam itu adalah agama perpecahan dan mereka ini tidak akan bersatu sampai bila-bila. 

Sejarah Islam penuh dengan pembunuhan, perpecahan, dan perebutan kuasa

Dalam sejarah awal Islam pun umatnya sudah mula berpecah selepas kematian Muhammad apabila pengikut-pengikut Muhammad dan umat Islam awal mula berebut kuasa. Mereka berebut kuasa mengenai siapa yang patut menjadi ketua sama ada dilantik dari kalangan keluarga Muhammad atau pemimpin dari kabilah Arab yang lain. Kecuali Abu Bakar, semua pemimpin atau khalifah awal Islam yang empat iaitu Umar, Uthman dan Ali mati dibunuh. 

  • Khalifah Umar, yang memerintah dari 634 hingga 644, ditikam enam kali oleh hamba Parsi Abu Luluah di sebuah masjid di Madinah. Dia meninggal dunia tiga hari kemudian daripada luka yang dialaminya. 
  • Khalifah Usman, yang memerintah dari 644 hingga 656, ditikam sebanyak enam kali oleh pemberontak yang mengepung rumahnya di Madinah selama 40 hari. Dia dituduh mengamalkan nepotisme dan korupsi dan meninggal dunia ketika membaca al-Quran.
  • Khalifah Ali, yang memerintah dari 656 hingga 661, meninggal selepas dua hari cedera diserang oleh Abd al-Rahman ibn Muljam, seorang Khawarij atau golongan yang menolak kepimpinan Ali dan Muawiyah, di sebuah masjid di Kufa.

Sementara itu dua orang cucu Muhammad iaitu Hassan dan Hussain juga meninggal bukan dengan cara semulajadi tapi diracun dan dibunuh. Hassan meninggal dunia pada 670 pada umur 46 selepas diracun oleh isterinya sendiri selepas dirasuah oleh Muawiyah. Sementara itu Hussain mati ketika berperang dengan tentera Yazid anak Muawiyah di Karbala dan kematiannya diingati oleh pengikut Syiah sehingga hari ini.

Selain itu kita tidak lupa juga akan perang yang menyebabkan terpecahnya Islam kepada Sunni dan Syiah sehingga hari ini iaitu Perang Jamal atau Unta. Perang ini berlaku pada 656 antara tentera Ali dan tentera Aisyah bersama Talha dan Zubayr, yang juga merupakan sahabat Muhammad dan mereka yang dikatakan pertama memeluk Islam. Perang ini juga disebabkan perebutan kuasa apabila Aisyah menunggang unta meminta tentera dan meminta Ali supaya meletak jawatan Khalifah dan menghukum pembunuh Uthman.  

Ideologi dan sistem Islam yang menggalakkan perpecahan

Saya juga berpendapat ideologi asas Islam itu sendiri menggalakkan perpecahan apabila membahagikan manusia kepada Islam dan Kafir (Bukan Islam). Dari segi ideologinya hanya mereka yang Islam atau mengakui ketuhanan Allah dan kerasulan Muhammad akan tergolong dalam tempat imaginasi bernama syurga. Bukan setakat itu sahaja malah tanda-tanda kiamat Islam sendiri menggalakkan perpecahan dengan meramal perang besar antara orang Islam dan Kafir yang kononnya dimenangi oleh orang Islam di bawah Imam Mahdi. Dan kemudian Isa turun dengan menghancurkan salib dan membunuh babi-babi. Kasihan babi, makhluk tuhan juga (kalau tuhan itu ada) kenapa disuruh bunuh? 

Begitu juga dengan pembahagian antara Islam dan Bukan Islam dalam hukum hudud yang diperjuangkan oleh PAS dengan cubaan memperkenalkan hukuman jenayah syariah terhadap orang Islam sahaja. Disebabkan itu saya menunggu dengan penuh harapan beberapa cabaran perudangan yang dibawakan oleh beberapa orang Melayu terhadap kanun jenayah syariah oleh kerajaan negeri Kelantan oleh Nik Elin dan juga hukuman liwat oleh Ika Putra. Undang-undang yang adil adalah undang-undang yang terpakai kepada semua orang tanpa mengira siapa mereka.

Bersatu atas kepentingan bersama, hadapi ancaman

Sudah banyak kali saya tekankan yang manusia itu adalah pelbagai. Manusia itu mempunyai pelbagai ragam dan tidak mungkin kita mempunyai fikiran yang sama, kehendak yang sama, idealisme yang sama dan sebagainya. Tidak perlulah berdegar-degar meminta agar Melayu bersatu demi agama, kerana tafsiran agama Islam itu sendiri berbeza antara orang Melayu dan Islam sendiri. 



Presiden Amerika Syarikat Ronald Reagan ketika berucap dalam Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu pada 21 September 1987 berkata:

"Dalam kita terlalu menumpa pada permusuhan ketika ini, kita sering mengabaikan ikatan bersama yang menghubungkan umat manusia. Mungkin kita memerlukan ancaman luar, universal untuk membuat kita mengiktiraf ikatan bersama ini. Saya kadang-kadang berfikir betapa cepatnya perbezaan kita di seluruh dunia akan lenyap jika kita menghadapi ancaman makhluk asing dari luar dunia ini. Namun, saya bertanya kepada anda, bukankah ancaman asing sudah ada di kalangan kita? Apakah yang lebih asing kepada aspirasi sejagat rakyat kita daripada peperangan dan ancaman perang?"

Mungkinkah hanya dengan ancaman daripada makhluk asing dan peperangan besar baru manusia itu akan bersatu tanpa mengira agama? 


 




Ulasan

Catatan Popular Terpilih

Siri 3: Keindahan ateisme, penentuan sendiri tujuan hidup

Siri 2: Keindahan ateisme, memperakui kepelbagaian, hak manusia untuk berfikir

Masyarakat barat yang sentiasa ingin tahu