Tragedi Nabi Musailamah

Menurut naratif standard Islam, selepas kematian Muhammad, berlaku banyak pemberontakan dan kemunculan nabi-nabi palsu. Salah seorang nabi palsu ini dikenali sebagai Musailamah Al-Khazzab atau Musailamah Si Pembohong. Musailamah akhirnya berjaya dipenggal kepalanya dengan kejam oleh tentera Muslim yang juga membunuh 7,000 pengikut Musailamah dalam perang itu. Tragedi ini berlaku pada tahun 632 dalam perang Yamamah, sebahagian daripada kempen peperangan Riddah untuk menumpaskan pemberontakan dan menghapuskan nabi-nabi palsu. 

Siapa sebenarnya Musailamah? Nama sebenar beliau adalah Maslama ibn Habib. Saya sebenarnya tertarik untuk mendalami cerita di sebalik Maslama selepas menonton video oleh seorang bekas Muslim Arab di saluran YouTube AhmadExMuslim. Menurut AhmadExMuslim, perkataan Muslim itu sebenarnya diambil daripada nama Maslama sendiri atau bermakna Keamanan, bukannya daripada "menyerah" seperti yang dikatakan oleh kebanyakan sejarawan dan sarjana Islam.

Tulisan ini adalah sebahagian daripada bacaan saya. Ia bukan tulisan akademik tapi sekadar renungan tentang betapa banyak perkara yang kita (atau saya sekurang-kurangnya) tidak ketahui mengenai sejarah awal Islam. Terima kasih kepada teknologi Internet, forum perbincangan, dan penterjemahan sumber-sumber ini ke dalam bahasa Inggeris, semakin banyak pengetahuan dan sejarah alternatif atau bukan arus perdana mengenai Islam dapat didedahkan. Untuk tulisan ini, Maslama dan Musailamah merujuk kepada orang yang sama. 

Kisah mengenai Maslama ini didapati daripada Dabestan-e Mazaheb atau Mazhab Agama-Agama. Ia sebuah buku bahasa Parsi yang mengkaji dan membuat perbandingan agama-agama Samawi (Ibrahimiah iaitu Yahudi, Kristian dan Islam), Dharmik (agama yang berasal tadi kawasan India), dan mazhab-mazhab pada pertengahan kurun ke-17 di Eurasia Selatan. Buku ini berkemungkinan ditulis pada 1655 dan penulisnya tidak jelas. Terjemahan bahasa Inggeris yang berkaitan dengan Maslama boleh didapati di sini dan merupakan sumber kebanyakan fakta yang saya tulis di bawah selain daripada entri daripada Wikipedia.

Di bawah pula saluran YouTube AhmadExMuslim yang mencetuskan inspirasi saya untuk menulis tentang Maslama. Tonton video ini juga untuk mengetahui mengapa Allah itu dikatakan Syaitan.


Nabi Maslama dan solat tiga waktu

Maslama ibn Habib lahir dalam puak Banu Hanifa, salah satu puak terbesar Arab yang mendiami kawasan Najd. Banu Hanifa adalah penganut agama Kristian daripada cabang Banu Bakr. Satu perkara menarik tentang Banu Bakr ialah keluarga Saud yang memerintah Arab Saudi sekarang adalah tergolong dalam Banu Bakr.

Maslama hidup pada zaman Muhammad. Seperti Muhammad, beliau juga mendakwa mendapat wahyu daripada tuhan. Pengikut Maslama memanggil diri mereka sebagai Rahmaniah. Mereka memberi gelaran Maslama sebagai Rihm atau Pengasih dan menegaskan bahawa perkataan Bismillahi rahmani rahim berkaitan dengan Maslama.

Menurut catatan Dabestan-e Mahazeb (dan juga Wikipedia), yang berikut adalah beberapa ciri ajaran Maslama yang dikatakan masih diamalkan sehingga sekurang-kurangnya pada abad ke-17 (kerana buku Dabestan-e ditulis pada pertengahan abad ke-17).

Kitab suci: Mereka mendakwa, selain daripada Quran, terdapat satu lagi kitab suci yang dipanggil Faruk yang diberikan kepada Maslama.

Mukjizat: Maslama dituduh sebagai ahli silap mata oleh sejarawan Muslim. Beliau dikatakan meletakkan telur di dalam botol, memotong bulu burung dan menyambungkan kembali untuk membolehkan ia terbang. Dalam buku Dabestan-e, Maslama boleh memanggil bulan jatuh ke riba (teringat pula saya peribahasa bulan jatuh ke riba), menjadikan daun kering kembali hijau dan membuatkan anak yang baru lahir mengesahkan kenabiannya.

Kepercayaan tentang Iblis: Iblis tidak wujud. Cerita tentang Iblis yang disuruh sujud kepada Adam adalah karut. Ini kerana tuhan tidak memerintah makhluknya sujud atau menyembah makhluk lain. Sementara itu kepercayaan tentang Iblis yang menyesatkan umat manusia juga karut kerana tuhan memberi manusia kebebasan memilih atau free will dan manusia pada hari penghakiman nanti akan dipertanggungjawabkan atas tindakannya sendiri disebabkan free will ini.

Solat dan arahnya: Hanya tiga waktu, dan boleh dibuat tanpa menghala ke arah tempat spesifik. Tiada istilah kiblat atau rumah tuhan bagi Maslama. Ini kerana tuhan itu tiada berbadan jadi tidak memerlukan rumah. Solat bagi mereka bukan kelakuan seperti yang dibuat oleh Muslim tetapi membaca perkataan-perkataan suci tuhan. Dan hanya perkataan menyucikan tuhan disebut, bukan nama nabi atau manusia (tidak seperti Muslim yang menyebut nama Allah dan Muhammad setaraf seperti dalam kalimah syahadat).

Amalan lain: Maslama dan pengikutnya berpuasa pada malam hari bukannya pada siang hari pada bulan Ramadan. Beliau juga melarang pengikutnya daripada melakukan amalan bersunat kerana amalan itu menyerupai amalan orang Yahudi. 

Pandangan tentang hubungan lelaki dan perempuan: Maslama juga menganggap lelaki dan perempuan sama taraf. Jadi tidak hairanlah beliau melarang poligami tetapi membenarkan lelaki mengahwini secara sementara atau kontrak dengan wanita lain sekiranya mahu. Perkahwinan dengan sepupu dilarang.

Bagaimanakah agaknya jika Musailamah tidak dapat dibunuh dalam Perang Yamamah dan ajarannya menjadi ajaran standard Islam zaman sekarang? Mungkin Islam yang lebih aman sesuai dengan namanya Maslama. Apa pun, perkara ini menunjukkan agama itu buatan manusia dan sejarah ditulis oleh pihak yang menang.




Ulasan

Catatan Popular Terpilih

Siri 3: Keindahan ateisme, penentuan sendiri tujuan hidup

Siri 2: Keindahan ateisme, memperakui kepelbagaian, hak manusia untuk berfikir

Masyarakat barat yang sentiasa ingin tahu