UFO, alien dan masa depan agama

Tengah hari tadi saya berkesempatan berjumpa rakan rapat yang saya sudah lama kenal hampir 30 tahun. Kami sama-sama belajar di Amerika Syarikat dan berkongsi banyak pandangan mengenai Islam, politik, dan misteri dunia termasuklah fenomena UFO, alien (makhluk asing), kejadian mistik, dan gerakan Freemason di Malaysia. Selalunya memang seronok bercakap dengan orang yang mempunyai "wavelength" yang sama dengan kita tanpa dipandang sebagai orang pelik yang percaya dengan teori-teori konspirasi. Walaupun ada terdapat perbezaan pandangan dan pernah berbalah dalam hal politik pada masa dahulu, saya seronok bercakap dengannya kerana banyak mendapat perkara baharu yang saya tidak ikuti perkembangannya.


Perbualan kami tadi ada menyentuh tentang fenomena UFO dan alien. Menurut rakan saya ini, dengan teknologi telefon pintar sekarang amat mudah untuk merakam kejadian pelik seperti UFO. Dia berkata terdapat banyak video di TikTok mengenai fenomena UFO, terutama yang terbaharu kelihatan di Las Vegas hanya beberapa hari lalu (lihat video di atas). Dia percaya bahawa lambat-laun kerajaan-kerajaan di dunia akan mendedahkan perkara sebenar tentang UFO, mungkin dalam masa dua tahun lagi. Sekarang ini pun banyak fail mengenai UFO atau objek terbang yang tidak dikenal pasti telah dinyahklasifikasikan oleh kerajaan Amerika Syarikat.

Mengenai alien, dia berkata ia mungkin jin yang sebenarnya menggunakan alatan elektronik dan teknologi moden. Saya memberitahu dia bahawa sebenarnya terdapat juga dalam kalangan orang Barat yang percaya bahawa jin atau demon kepada mereka ialah entiti eletrik. Saya memberitahunya lagi bahawa mereka berkata Kuil Sulaiman dan kebanyakan kuil-kuil dahulu dibina seperti motherboard. Ini semua adalah perbualan santai kami sahaja tapi kami berdua bersetuju bahawa terdapat banyak misteri dunia ini yang tidak atau belum diterokai oleh manusia.

Piramid, tamadun purba yang maju dan bencana besar 

Ketika ini di Netflix terdapat satu siri dokumentari Ancient Apocalypse oleh Graham Hancock, seorang pengkaji arkeologi dan sejarah Inggeris. Melalui dokumentari bersiri ini Hancock berpendapat bahawa tamadun manusia sudah mencapai tahap kemajuan yang tinggi beratus ribu tahun lamanya sebelum hancur musnah oleh bencana besar yang melanda dunia. Saya baru menonton dua episod. Episod pertama mengenai kewujudan piramid di Gunung Padang, Indonesia, yang berkemungkinan dibina lebih 200,000 tahun dahulu atau 10,000 tahun lebih lama daripada Piramid di Mesir. Bagi saya ini bermaksud sudah ada tamadun yang maju daripada di Mesir yang wujud di nusantara. Tapi malangnya, tiada pakar sejarah dan ahli arkeologi yang berani mengakui sejarah ini. Perkara ini juga mengingatkan saya tentang beberapa tahun dahulu pernah sedikit heboh di akhbar tempatan mengenai kemungkinan kewujudan piramid di Tasik Chini. 

Episod kedua Ancient Apocalypse pula mengenai kewujudan piramid-piramid di Mexico dan juga tokoh mitos terkenal Mexico yang dipanggil Quetzalcoatl. Quetzalcoatl dikatakan muncul di Mexico atau datang dari tempat yang jauh selepas kejadian banjir besar atau bencana yang maha hebat di dunia. Beliau dikatakan mengajar ilmu pengetahuan berkenaan pertanian, pembinaan, seni, dan agama kepada penduduk asli di Mexico sehinggalah terbinanya tamadun-tamadun hebat di Amerika Selatan. Disebabkan sumbangan besarnya, beliau dipuja sebagai tuhan oleh tamadun purba di Mesoamerica seperti Teotihuacan dan Aztec.

Sejarah evolusi manusia yang lama

Apa yang menarik kepada saya ialah manusia itu dikatakan sudah wujud lebih kurang 300,000 tahun. Namun dokumentasi sejarah manusia dikatakan hanya bermula pada lebih kurang 5,000 tahun lalu melalui rekod bertulis di Mesir dan Sumeria purba. Mana perginya lagi lebih 250,000 tahun tanpa rekod bertulis? Saya memberitahu rakan saya bahawa sedangkan dalam masa lebih kurang 200 tahun manusia berjaya mencipta kenderaan seperti kereta daripada berkuasa wap kepada kereta yang menggunakan minyak.

Perkara ini juga membawa kritikan saya terhadap Islam dan agama samawi lain seperti Yahudi dan Kristian yang sejarahnya hanya tertumpu kepada kawasan Timur Tengah. Meskipun kita tahu bahawa tamadun manusia itu bukan hanya tertumpu kepada kawasan Timur Tengah seperti Israel, Palestin, Iran, dan Iraq malah menjangkau kepada kawasan di Amerika Selatan, China, India dan Nusantara sendiri. Malah jika dibaca tentang hadith akhir zaman, dengan penekanan kepada turunnya Isa di kawasan sekitar syria dan pertempuran antara tentera Muslim dan Yakjuj dan Makjuj di sana seolah-olah hanya kawasan Timur Tengah yang penting. Bagaimana dengan Amerika Syarikat? Yang agak kelakar mengenai cara peperangan akhir zaman adalah menggunakan panah dan kuda. Juga dikatakan Yakjuj dan Makjujj akan memanah ke arah langit untuk membunuh penduduk di langit termasuklah malaikat dan Allah. Saya tak yakin panah boleh melepasi begitu jauh. Saya pasti Muslim akan mengatakan itu hanya metafora dan sebagainya untuk menjustifikasikan kepercayaan agama mereka.

Masa depan agama

Menurut satu projeksi ramalan, menjelang tahun 2100, ateisme akan mengatasi semua agama-agama di dunia termasuk Islam dan Kristian (Islam berada di tempat kedua diikuti oleh Kristian). Berkemungkinan kerana pertumbuhan penduduk tanpa agama seperti di China dan penolakan terhadap orang beragama Kristian yang bertukar kepada tidak percaya agama di negara-negara Barat dan Amerika Syarikat. Ada juga projeksi yang meramalkan Islam akan mengatasi semua agama kerana pertumbuhan penduduk yang tinggi di negara-negara Islam. Bagaimana pun ini semua hanyalah ramalan tanpa mengambil kira perkembangan-perkembangan yang berlaku dari sekarang dan masa depan. Berbanding dengan agama-agama yang mempunyai sistem dan struktur seperti Islam dan Kristian, jika ateisme dapat mengatasi agama-agama tradisional seperti kepercayaan orang cina dan agama tradisi lain pun dah cukup bagus. Lagi pun perbandingan seperti ini tidak begitu tepat kerana ateisme itu bukan agama tapi kepercayaan yang tidak mempercayai sebarang agama.

Hakikatnya yang sebenarnya terancam dengan perkembangan teknologi, penemuan-penemuan arkeologi, dan perkembangan lain seperti pendedahan tentang UFO dan sebagainya adalah agama seperti Islam. Seperti yang saya tulis perkembangan di Iran dengan penolakan agama, dan di Arab Saudi dengan keterbukaan yang cuba dilakukan oleh pemerintahnya boleh memainkan peranan penting dalam mempengaruhi penolakan atau sekurang-kurangnya pentafsiran baharu agama Islam. 

Bagaimana jika ramalan rakan saya bahawa dalam masa dua tahun lagi kerajaan-kerajaan dunia akan mendedahkan mengenai UFO? Sudahkah ulama Islam bersedia untuk membawa naratif baharu kewujudan makhluk selain manusia di alam semesta ini? Cukupkah sahaja dengan melabel makhluk ini sebagai jin? Agensi angkasa lepas Amerika Syarikat iaitu NASA sendiri dilaporkan telah melakukan kajian bersama pakar-pakar teologi dan agama untuk mengkaji reaksi manusia terhadap kewujudan alien. Berita ini dilaporkan pada tahun lepas. 

Semua ini belum lagi masuk ke lubang arnab untuk beberapa lagi teori menarik seperti reset yang dikatakan berlaku setiap ribuan tahun terhadap tamadun manusia, dan kehidupan di dunia ini yang hanya simulasi. Apa pun semua ini pada saya adalah misteri dunia yang boleh terbuka di luar kerangka pemikiran Islam yang terhad. Betul atau tidak belum dapat ditentukan, sama juga perkara yang dikatakan oleh Islam mengenai hidup selepas mati. Tiada lagi orang yang sudah mati dan hidup semula untuk menceritakan tentang azab kubur dan pertanyaan malaikat di dalam kubur. 


Ulasan

Catatan Popular Terpilih

Siri 3: Keindahan ateisme, penentuan sendiri tujuan hidup

Siri 2: Keindahan ateisme, memperakui kepelbagaian, hak manusia untuk berfikir

Masyarakat barat yang sentiasa ingin tahu