Cabaran menghadapi gelombang hijau politik Islam

Terlebih dahulu saya ucapkan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pelantikan sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 pada 24 November. Seumur hidup saya rasanya inilah pengumuman pelantikan PM yang paling lama selepas tamat Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November. Sudahlah drama pelantikan PM mengambil masa berhari-hari lamanya, pengumuman barisan menteri kabinet pun dibuat pada 2 Disember iaitu sembilan hari selepas Anwar menjadi PM. 

Tapi yang menarik perhatian pada PRU15 ini adalah prestasi tinggi Perikatan Nasional (PN) yang bertunjangkan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dengan memenangi kawasan majoriti Melayu terutama di Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis dan Pahang. UMNO/BN tidak langsung menang kerusi parlimen di Perlis, Kedah, Kelantan, dan Terengganu yang disapu bersih oleh PN. Dengan 49 kerusi PAS merupakan parti tunggal terbanyak yang menang, diikuti oleh DAP sebanyak 40. Jika kerajaan persekutuan dibentuk oleh PN, tentu sekali PAS akan mendapat jawatan kanan dan yang terbanyak. Bayangkan jika Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang menjadi Timbalan Perdana Menteri disertai dengan geng lebainya dan ustazah bertudung labuh.



Gelombang hijau lebai PAS

Para penganalisis politik mengatakan inilah kebangkitan gelombang hijau. Anak Hadi, Muhammad Khalil berkata inilah bukti popularnya politik Islam. Sebagai seorang yang dibesarkan dalam keluarga pengundi PAS, ada benarnya apa yang dikatakan oleh penganalisis dan anak Hadi Awang ini. Pengundi-pengundi parti PAS ini sudah diindoktrinasikan bahawa satu-satunya parti yang layak diundi hanyalah PAS yang dianggap sebagai Islam. Mereka tidak akan berubah undi, walau sebaik mana pun parti lawan lain, mereka tidak akan diundi jika menjadi musuh PAS atau tidak bersama dengan PAS.

Saya mengaku saya bukan penganalisis politik yang mempunyai maklumat terus daripada parti-parti di Malaysia. Orang seperti saya ini selalunya dipanggil "armchair critic" atau mereka yang hanya pandai mengkritik tanpa ada pengalaman atau kelayakan yang relevan. Apa pun gelaran yang diberi, ini zaman Internet dengan maklumat di hujung jari. Tak perlu jadi ahli parti pun sebab selalunya ahli politik sendiri yang mendedahkan rahsia belakang tabir dengan menulis di media sosial. 

Tapi daripada pembacaan, dan perbincangan dengan rakan dan di Internet dan media sosial, sesiapa pun sebenarnya layak memberi pendapat, seperti juga memberi pendapat tentang Islam. Bagi saya kesilapan lawan PAS adalah mengikut rentak PAS sendiri dengan menampilkan gaya keislaman. Anda tak akan dapat menandingi PAS, lihat saja apa yang berlaku kepada AMANAH, sampai sekarang masih tidak dapat menyaingi PAS di kawasan Melayu.

Indoktrinasi awal perlu dicantas

Bagi saya salah satu cara menyekat kemaraan politik Islam ialah dengan mencantas percambahan politik Islam melalui pusat-pusat indoktrinisasi PAS daripada prasekolah seperti PASTI. Seperti Islam, orang Melayu melalui indoktrinasi awal sejak mula dilahirkan lagi apabila bayi mula didengarkan dengan suara azan. Selepas itu, indoktrinasi dikuatkan dengan ibu-bapa dan guru-guru di sekolah yang menanamkan ideologi Islam dengan mentaliti "Muslim lawan Kafir", ketuanan Islam dan agenda Islam untuk memerintah dunia.

Indoktrinasi ala komunis ini akhirnya menjadi sebati dalam diri sehingga Islam dianggap sebagai satu-satunya agama yang benar dan agama atau fahaman lain sebagai buatan manusia dan salah. Akibatnya, seorang Melayu tidak berani mempersoalkan kebejatan dan keburukan ajaran Islam seperti ketaksamaan antara lelaki dan perempuan, penindasan terhadap wanita dari segi hukum syariah dan pewarisan, ketaksuban kepada pemakaian pakaian Islam, penyekatan kreativiti dalam seni dan muzik, serta berbagai-bagai lagi.

Sikap apati tidak kisah orang Melayu

Daripada hasil pemerhatian, saya mendapati sikap apati atau tidak kisah orang Melayu, terutamanya dalam isu keburukan Islam amat mengecewakan. Saya selalu juga menforward banyak bahan mengenai bantahan isu hijab di Iran dan kekejaman yang dilakukan oleh Regim Republik Islam Iran terhadap pemprotes ke dalam grup WhatsApp. Namun dalam banyak keadaan, segala kekejaman dan keganasan ini tidak diambil kisah malah saya pernah ditegur supaya jangan memforward bahan-bahan seperti itu lagi. Paling keras adalah tindakan mereka yang terus menandang saya keluar daripada grup WhatsApp kerana hantaran-hantaran saya yang mengkritik Islam. Dalam perbincangan dengan orang secara bersemuka pula, mereka tidak menghiraukan dengan alasan itu adalah isu dalaman Iran yang tidak ada kena mengena dengan orang Malaysia.

Bagaimanakah ini menjadi isu dalaman Iran sedangkan bibit-bibit kerigidan Islam itu sudah bertapak di Malaysia? Tengok sahaja dengan kelulusan Undang-Undang Syariah Terengganu baru-baru ini yang bertindak sembrono memijak-mijak prinsip keadilan sejagat dengan undang-undang tidak adil kepada wanita yang mengandung di luar perkahwinan misalnya. Juga dengan membuat peraturan tentang apa jenis pakaian yang seseorang perlu pakai atau berdepan dengan tindakan denda atau penjara. Ini semua adalah kerana mindset bahawa peraturan Islam itu adalah undang-undang tuhan yang perlu ditegakkan walaupun zalim, tidak munasabah, dan tidak wajar.

Mencorak masa depan

Kuasa politik yang ada oleh kerajaan PH sekarang wajar digunakan untuk mencorak masa depan untuk Malaysia yang lebih sekular, terbuka, maju, dan inklusif. Apa yang berlaku pada masa depan belum terlaksana lagi. Jika tidak mahu melihat Malaysia mundur, maka bertindaklah secara aktif untuk mencorak masa depan.

Manfaatkan keterbukaan teknologi seperti Internet untuk memecah tembok ekstremisme Islam dalam kalangan orang Melayu. Saya mendokong Piagam MSC yang dilancarkan oleh bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad bahawa Internet tidak akan disensor. Saya juga menyambut baik kenyataan Anwar yang satira dan kritikan terhadap beliau jangan disekat. Sesungguhkan satira itu amat berkuasa dan berpengaruh dan boleh mencetuskan reaksi yang kuat dan berkesan. 

Begitu berpengaruh karya satira The Animal Farm oleh George Orwell sehinggakan ia dinamakan oleh Time sebagai salah satu 100 novel terbaik berbahasa Inggeris dan memenangi beberapa anugerah ulung seperti Anugerah Hugo pada tahun 1996. Masyarakat kita perlu digalakkan untuk lebih terbuka menerima satira dan lawak meskipun terhadap agama.   






Ulasan

  1. Saya akan share juga link blog ini dia blog saya ya tuan? Boleh ya, untuk sy bantu promosikan lg blog tuan ni

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan Popular Terpilih

Siri 3: Keindahan ateisme, penentuan sendiri tujuan hidup

Siri 2: Keindahan ateisme, memperakui kepelbagaian, hak manusia untuk berfikir

Masyarakat barat yang sentiasa ingin tahu